Mencari makanan dari tong sampah.
Makan buah epal yang telah dibuang.
Semua itu terpaksa dilakukan demi mengisi perut yang benar-benar kelaparan dan tekak yang kehausan.
Beberapa anggota jemaah yang berusia turut menangis kerana tidak larat dengan cuaca panas.
Semua ini bukanlah satu cereka tetapi pengalaman sebenar yang dilalui oleh sebahagian anggota jemaah Singapura yang menunaikan fardu haji menggunakan permit tidak sah pada 2024.
Permit tidak sah itu termasuk menggunakan visa pelancong, visa perniagaan, visa furada (visa jemputan), visa umrah dan sebagainya.
Harga pakej yang ditawarkan pula biasanya berlipat ganda mahalnya untuk ‘menyusup’ bersama jemaah.
Malah ada yang menggunakan visa khas untuk rakyat Saudi sahaja, sekali gus menyebabkan jemaah sentiasa berasa bimbang bakal dikesan, ibarat hidup seperti pendatang tanpa izin yang terus diburu pihak berkuasa.
Kerajaan Saudi boleh mengambil tindakan undang-undang termasuk mengenakan hukuman penjara, denda dan pengusiran.
Pastinya, ia bukan perasaan yang mereka inginkan semasa menunaikan haji – ketenangan.
Masalah mereka yang memilih menunaikan haji tanpa mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan Saudi berlaku bukan sahaja di Singapura, malah di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia.
Contohnya pada 2024, media melaporkan sekitar 300 bakal haji Malaysia yang sudah berada di Makkah terkandas apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada tahun itu.
Difahamkan, kumpulan bakal haji terbabit terperdaya dengan tawaran pakej haji selain menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu oleh agensi berkenaan.
Malah, beberapa tahun sebelum itu, jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.
Visa furada adalah visa haji yang diperoleh dan tidak membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) atau kuota haji sesebuah negara.
Memang tidak dinafikan penantian itu satu penyeksaan.
Peluang menunaikan haji kadangkala tiba mungkin hanya selepas bertahun-tahun, malah berdekad setelah pendaftaran, ekoran keterbatasan kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi.
Anggota jemaah mungkin berasa penantiannya begitu lama apatah lagi jika mereka sudah lanjut usia dan terdapat kebimbangan keadaan kesihatan mungkin tidak mengizinkan apabila undangan tiba.
Keadaan itu mungkin membuat mereka terdorong mencari jalan lain bagi memenuhi hasrat yang terpendam.
Jika tidak di Singapura, ada yang mungkin menimbangkan kemungkinan menggunakan saluran di luar negara yang mereka percaya tidak seketat di negara ini.
Dengan perkembangan teknologi masa kini, perkara ini mungkin menjadi pilihan kerana kita telah melihat bagaimana jemaah Singapura memilih untuk menunaikan umrah dari negara seberang lantaran kos yang lebih rendah.
Apatah lagi keberangkatan boleh dilakukan dari Lapangan Terbang Changi.
Namun, bagi musim haji, adakah ia langkah yang bijak?
Hakikatnya, tidak kira sama ada ia dilakukan melalui Singapura mahupun di luar negara, mungkin ada baiknya kita merenung risiko yang mungkin timbul daripada tindakan sebegitu.
Patutkah kita mendedahkan diri kita kepada pelbagai risiko walhal agama sendiri tidak mahu kita menzalimi diri.
Menggunakan visa di luar kuota rasmi visa haji Majlis Ugama Islam (Muis) untuk menunaikan rukun Islam itu sangat berisiko.
Ada yang mabit tanpa khemah di Mina. Jemaah mabit di tepi jalan kerana khemah yang dijanjikan terlalu jauh.
Malah, ada yang terpaksa tidur bersebelahan tong sampah atau di luar pintu bilik air.
Ini belum termasuk perjalanan panjang yang perlu dilakukan di tengah panas terik tanpa mengambil kira kebajikan bakal haji.
Semasa musim haji 2024, suhu di Makkah adalah antara 46 darjah Celsius dengan 51 darjah Celsius, mengakibatkan lebih 2,700 kes strok haba dalam sehari dan terdapat juga beberapa kematian berkaitan haba.
Kerajaan Saudi telah mengetatkan lagi beberapa langkah untuk kemasukan ke Makkah.
Bahkan awal sebelum ini, terdapat kenyataan daripada pihak Mufti mereka yang menyatakan bahawa adalah haram mengerjakan haji tanpa permit yang sah.
Mufti Besar kerajaan Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah bin Mohammed Al-Sheikh, yang juga Pengerusi Majlis Ulama Kanan dan Presiden Umum Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa, menekankan menunaikan haji tanpa permit “adalah berdosa bagi orang yang melakukannya”.
Arab Saudi mengharamkan kemasukan ke Makkah mulai 29 April ini tanpa permit haji 1446 yang sah.
Langkah itu adalah sebahagian daripada peraturan lebih luas yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Ia demi memastikan keselamatan semua individu yang menyertai ibadah haji.
Kementerian Haji dan Umrah negara itu melalui wadah X menasihatkan bakal jemaah haji 2025 supaya mengelakkan saluran tidak rasmi.
Haji 2025 dijangka menjadi haji musim panas terakhir selama 16 tahun.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan haji 2025 akan menjadi haji terakhir musim panas.
Musim haji tahunan akan beralih ke musim bunga mulai 2026 dan musim sejuk – dengan kelewatan sekitar 10 hari mengikut kalendar Islam.
Mulai 2026 hingga 2033, haji dijangka jatuh pada musim bunga dan pada musim sejuk dari 2034 hingga 2041, sebelum kembali ke musim panas pada 2042.
Ia pasti perubahan yang dinantikan oleh jutaan anggota jemaah haji yang telah berdepan dengan suhu yang melambung semasa menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum ini.
Maka, itu nantikan sahaja undangan rasmi melalui saluran haji yang sah dalam suasana yang lebih nyaman dan tenang.
Bak kata orang, rezeki tidak salah alamat.
Kita akan menjadi tetamu Allah pada masa yang memang telah ditentukan-Nya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg