PUTRAJAYA: Seramai 632 petugas haji Malaysia di tanah suci berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat bermula 24 April, bagi membuat persiapan awal bagi operasi musim haji 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, Tabung Haji menempatkan petugas haji di tanah suci, merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadah haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.
“Bagi musim haji 1446H ini, terdapat dua kumpulan petugas utama iaitu Petugas Rombongan Kebajikan seramai 358 orang dan Petugas Rombongan Perubatan seramai 274 orang.
“Saya percaya gabungan daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.
Datuk Syed Hamadah berkata dua penerbangan kumpulan petugas seramai 74 orang telah mula berlepas pada 24 April, diikuti dengan selebihnya yang akan berlepas secara berperingkat, bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.
“Kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni 31,600 bakal haji Malaysia,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan bermula pada 29 April, manakala penerbangan terakhir pada 1 Jun.
Bagi 2025, hari wuquf jatuh pada 9 Zulhijah, 5 Jun.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk bakal jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg