Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Syria sambut baik batal sekatan, Trump gesa pulih hubungan dengan Israel

May 15, 2025 | 1:40 PM
Donald Trump,  Ahmed al-Sharaa, Mohammed bin Salman
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (tengah), ketika menemui Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, sambil diperhatikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kanan), dalam satu pertemuan di Riyadh pada 14 Mei 2025. Encik Trump menjadi Presiden Amerika pertama dalam tempoh 25 tahun yang menemui pemimpin Syria. - Foto AFP

ISTANBUL: Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menyambut baik keputusan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menarik balik sekatan lama ke atas Syria, dan menyifatkannya sebagai satu titik perubahan penting dalam sejarah negara itu.

“Hari ini menandakan permulaan usaha serius dan pelancaran perjalanan Syria moden,” kata Encik al-Sharaa dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan, lapor agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi (AA).

Beliau menyifatkan langkah Encik Trump sebagai satu “keputusan berani yang meletakkan asas kepada kestabilan serantau” dan menzahirkan penghargaan kepada negara yang telah menyokong Syria selama ini, khususnya Turkey.

“Presiden (Turkey) Recep Tayyip Erdogan sentiasa berdiri bersama rakyat Syria, dan negaranya telah banyak berkorban sepanjang 14 tahun lalu,” katanya.

Encik al-Sharaa turut menyeru pelabur antarabangsa agar tidak melepaskan peluang menyertai usaha pemulihan Syria.

“Kami mengalu-alukan semua pelabur dan menjemput mereka untuk menyertai pembinaan semula negara kami. Syria kini terbuka untuk peluang dan pelaburan,” ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa pemerintah pimpinannya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha memecahbelahkan negara.

“Kami tidak akan benarkan Syria dipecahkan, dan kami juga tidak akan memberi ruang kepada naratif rejim terdahulu yang cuba memecahbelahkan rakyat kami,” katanya.

Menurut Encik Trump, pertemuannya dengan Presiden Syria itu adalah satu pertemuan yang sangat berjaya.

Dalam kenyataan ringkas di dalam pesawat yang membawanya ke Qatar pada 14 Mei, beliau berkata,

“Al-Sharaa adalah pemimpin sejati. Beliau memimpin revolusi dan beliau luar biasa.”

Encik Trump menyifatkan Encik al-Sharaa sebagai pemimpin muda, menarik dan bersemangat tinggi.

“Beliau seorang pejuang dengan sejarah yang kuat, dan saya percaya beliau mempunyai peluang sebenar untuk memastikan perpaduan Syria kekal terpelihara,” ujar Encik Trump.

Apabila ditanya mengenai laporan bahawa Presiden Syria itu bercadang membina Menara Trump di Damsyik, Encik Trump menjawab secara berseloroh dengan berkata:

“Beliau ada kemampuan. Beliau memang seorang pemimpin sejati.”

Encik Trump turut mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada sekutunya, Israel, mengenai keputusannya untuk menarik balik sekatan terhadap Syria.

“Ini adalah langkah penting untuk Timur Tengah,” katanya, sambil menggesa Encik al-Sharaa agar mengambil langkah ke arah memulihkan hubungan dengan Israel.

Dalam pertemuan bersejarah di Arab Saudi itu, Encik Trump turut menggesa Syria supaya menyertai gelombang pemulihan hubungan seperti yang dijalani Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menerusi Perjanjian Abraham yang dimeterai pada 2020 dengan pengantaraan Amerika.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, dalam sidang media selepas pertemuan itu, menyatakan Riyadh akan menyokong usaha pemulihan ekonomi Syria.

“Terdapat banyak peluang pelaburan di Syria selepas sekatan dilonggarkan,” katanya.

Israel, sebagai sekutu rapat Amerika, secara terbuka menolak tindakan melonggarkan sekatan terhadap Syria dan sejak penggulingan rejim mantan Presiden Bashar al-Assad telah meningkatkan operasi ketenteraannya di selatan Syria.

Dalam kenyataannya, Israel berkata ia “tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran Islamis di selatan Syria”.

Pertemuan antara Encik Trump dengan Encik al-Sharaa itu merupakan pertemuan pertama di peringkat presiden antara kedua-dua negara dalam tempoh 25 tahun.

Pada malam sebelumnya, Encik Trump mengumumkan keputusan rasmi untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Syria di bawah rejim terdahulu, semasa berucap di Forum Pelaburan Saudi-AS di Riyadh.

“Sudah tiba masanya kita beri Syria peluang. Saya ucapkan semoga berjaya,” kata Encik Trump.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu diambil selepas perbincangan bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Encik Erdogan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg