WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan rancangan beliau untuk melawat Arab Saudi, sekali gus menandakan hubungan ekonomi dan diplomasi yang semakin erat antara Washington dan Riyadh.
Lawatan ini dijangka akan memfokuskan kepada perjanjian pelaburan besar dari Arab Saudi ke Amerika Syarikat, selain membincangkan peranan negara itu dalam rundingan antara Amerika dan Russia berhubung perang Ukraine.
Ketika ditanya oleh wartawan mengenai kemungkinan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, di Arab Saudi, Encik Trump tidak mengulas secara lanjut, tetapi menegaskan bahawa lawatan itu lebih berorientasikan perniagaan.
“Saya akan ke Arab Saudi,” kata Trump kepada wartawan tanpa menyebut tarikh lawatan. “Saya katakan, saya akan pergi jika mereka membayar AS$1 trilion ($1.33 trilion) kepada syarikat-syarikat Amerika, diagihkan dalam tempoh empat tahun. Mereka telah bersetuju, jadi saya akan ke sana.”
Sumber menyatakan bahawa lawatan itu boleh berlaku seawal Mei ini.
Sejak penggal pertamanya, Encik Trump telah menjalin hubungan erat dengan Arab Saudi, menjadikan negara itu destinasi pertama lawatan luar negaranya pada 2017. Ketika itu, beliau memilih Arab Saudi berbanding Britain kerana janji pembelian produk Amerika bernilai AS$450 bilion oleh Riyadh.
Encik Trump juga mempunyai kepentingan perniagaan di Arab Saudi. Pada Disember lalu, Trump Organization mengumumkan pembinaan Trump Tower di Jeddah, mengukuhkan lagi hubungan ekonomi peribadinya dengan kerajaan Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan di Rumah Putih, Trump memuji Arab Saudi kerana melabur secara besar-besaran dalam ekonomi Amerika, terutamanya dalam sektor ketenteraan.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka, dan mereka sangat baik kepada kami. Mereka akan membelanjakan banyak wang untuk membeli peralatan ketenteraan dan barangan lain dari syarikat Amerika,” kata EncikTrump.
Selain perniagaan, Arab Saudi kini muncul sebagai lokasi utama bagi diplomasi AS dengan Rusia dan Ukraine. Utusan khas Trump ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, mengesahkan bahawa Riyadh akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat Amerika-Ukraine minggu depan untuk membincangkan gencatan senjata dalam perang Ukraine.
Pada Februari, Trump menjadi Presiden AS pertama yang berucap di Future Investment Initiative (FII) Institute di Arab Saudi dan memuji kepimpinan negara itu kerana menjadi tuan rumah rundingan antara Washington dan Moscow.
Selain itu, pada Februari, Trump turut bertemu pegawai PGA Tour dan LIV Golf – liga golf yang dibiayai Arab Saudi – bagi mencari penyelesaian terhadap pertikaian antara kedua-dua pihak.
Encik Jared Kushner, menantu Encik Trump yang juga penasihat kanan Timur Tengah semasa penggal pertamanya, turut menerima pelaburan besar dari Arab Saudi. Selepas Encik Trump meninggalkan jawatan Presiden, firma ekuiti swasta Kushner mendapat pelaburan AS$2 bilion daripada kerajaan Saudi.
Lawatan Trump ke Arab Saudi juga dijangka membawa masuk pelaburan tambahan dari negara itu ke Amerika Syarikat. Tahun 2024 lalu, Encik Trump menyatakan bahawa Arab Saudi bersedia untuk melabur AS$600 bilion dalam ekonomi AS dalam tempoh empat tahun, satu angka yang boleh membawa impak besar terhadap industri Amerika.
Selain pelaburan dari Arab Saudi, Trump baru-baru ini mengumumkan beberapa projek ekonomi berskala besar melibatkan Taiwan Semiconductor Manufacturing dan Apple, yang akan mengembangkan operasi mereka di Amerika.
Dengan lawatan ini, Trump dilihat berusaha mengukuhkan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Riyadh, sambil memperkukuh kedudukannya dalam geopolitik global.
“Arab Saudi adalah tempat yang istimewa dengan pemimpin yang istimewa,” kata Trump dalam satu kenyataan terbaru mengenai lawatannya ke negara itu. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg