WASHINGTON: Presiden Donald Trump memulakan penggal kedua pemerintahannya dengan menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), dalam perbualan pertama beliau bersama pemimpin asing.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang kerjasama antara Arab Saudi dengan Amerika untuk menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah selain meningkatkan kerjasama dua hala untuk memerangi keganasan, seperti yang menjadi keutamaan dalam penggal pertama Encik Trump.
Menurut kenyataan Rumah Putih yang dikeluarkan pada 23 Januari, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha membawa kestabilan ke Timur Tengah, memperkukuh keselamatan serantau, dan memerangi keganasan.
Mereka juga berbicara tentang visi ekonomi Arab Saudi untuk empat tahun akan datang serta peluang perdagangan bagi meningkatkan kemakmuran bersama antara kedua-dua negara.
Kerajaan Arab Saudi dalam kenyataan berasingan menyebut bahawa negara itu merancang memperluaskan pelaburan dan perdagangan dengan Amerika dalam tempoh empat tahun akan datang yang dianggarkan bernilai AS$600 bilion ($810.7 bilion) dengan potensi untuk meningkat lebih tinggi pada masa depan.
Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), perkara itu antara topik yang dibincangkan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman ketika panggilan telefon dengan Presiden Trump pada petang 22 Januari.
Mereka juga membincangkan cara untuk mengeratkan hubungan dalam pelbagai bidang dan Putera Mahkota menekankan keupayaan pentadbiran Amerika untuk mencipta kemakmuran dan peluang ekonomi yang tidak pernah berlaku melalui pembaharuan yang dijangka di Amerika.
Encik Trump menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan Arab Saudi dalam semua perkara yang memberi manfaat kepada kepentingan kedua-dua negara.
Dalam ucapannya secara maya di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada 23 Januari, Encik Trump memuji Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai “seorang yang hebat” dan menyatakan hasratnya untuk meminta Arab Saudi meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat sehingga AS$1 trilion.
Encik Trump turut menyebut rancangan untuk menggesa Arab Saudi dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) menurunkan harga minyak.
“Anda mesti turunkan harga minyak, sejujurnya, saya terkejut mereka tidak lakukan sebelum pilihan raya. Itu bukan tanda kasih sayang daripada mereka kerana tidak melakukannya. Saya sedikit terkejut,” ujar Encik Trump.
Semasa penggal pertama beliau, Encik Trump menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pertama lawatan luar negara.
Dalam tempoh empat tahun itu, hubungan Amerika-Arab Saudi tetap kukuh meskipun terdapat kontroversi, termasuk pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, yang merupakan pengkritik utama kerajaan Arab Saudi.
Encik Trump pernah menyatakan bahawa walaupun agensi perisikan Amerika menyimpulkan bahawa Mohammed bin Salman mungkin terlibat dalam pembunuhan itu, hubungan dengan kerajaan Arab Saudi lebih penting kepada kepentingan strategik Amerka.
“Mungkin Putera Mahkota tahu, mungkin dia tidak tahu. Namun, hubungan kita adalah dengan kerajaan Arab Saudi,” katanya pada masa itu.
Sepanjang penggal pertamanya, Encik Trump turut memveto usaha Kongres menghentikan penjualan senjata kepada Arab Saudi dan menghentikan bantuan ketenteraan Amerika dalam perang di Yaman.
Keputusan ini menegaskan keutamaan Encik Trump terhadap hubungan strategik dengan negara Timur Tengah itu.
Ketika menandatangani perintah eksekutif di Pejabat Oval pada 20 Januari, Encik Trump mengingatkan wartawan bahawa lawatan ke Arab Saudi dalam penggal pertamanya dilakukan kerana negara itu bersetuju untuk membeli produk Amerika bernilai AS$450 bilion.
Ditanya sama ada beliau merancang melawat Arab Saudi lagi, Encik Trump secara berseloroh berkata: “Jika mereka mahu membeli $450 bilion lagi, atau mungkin $500 bilion kerana inflasi, saya mungkin akan pergi ke sana.”
Seperti yang dinyatakan Encik Trump di WEF: “Arab Saudi bukan sahaja sekutu strategik, tetapi juga rakan ekonomi yang penting. Hubungan ini adalah untuk kebaikan bersama.’‘
Namun, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, memberitahu NBC News bahawa tiada rancangan rasmi untuk lawatan Encik Trump ke Arab Saudi buat masa ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg