Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palestin dakwa Israel sekat bantuan kemanusiaan sebagai ‘senjata perang’

Prosiding berhubung tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap penduduk Gaza dimulakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Apr 29, 2025 | 10:46 AM
Encik Ammar Hijazi (empat dari kiri), Wakil Tetap Negara Palestin ke Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa di Belanda, dan Riyad Mansour (tengah), Pemerhati Tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bercakap kepada media selepas hari pertama pendengaran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu ‘Tanggungjawab Israel berkaitan Kehadiran dan Kegiatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Antarabangsa Lain, serta di Negara Ketiga dan berkaitan Wilayah Palestin yang Diduduki’, di The Hague, Belanda, pada 28 April 2025. Sebanyak 45 pihak pendakwa menuduh Israel menghalang akses bekalan bantuan ke Gaza.
Encik Ammar Hijazi (empat dari kiri), Wakil Tetap Negara Palestin ke Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa di Belanda, dan Riyad Mansour (tengah), Pemerhati Tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bercakap kepada media selepas hari pertama pendengaran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu ‘Tanggungjawab Israel berkaitan Kehadiran dan Kegiatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Antarabangsa Lain, serta di Negara Ketiga dan berkaitan Wilayah Palestin yang Diduduki’, di The Hague, Belanda, pada 28 April 2025. Sebanyak 45 pihak pendakwa menuduh Israel menghalang akses bekalan bantuan ke Gaza. - Foto EPA-EFE

THE HAGUE (Belanda): Seorang pegawai kanan Palestin menuduh Israel menggunakan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai “senjata perang” dalam keterangannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 April 2025.

Perbicaraan tersebut menandakan permulaan satu minggu sesi pendengaran berprofil tinggi di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague.

Israel, yang memilih untuk tidak menyertai perbicaraan ini, segera membalas dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada “penganiayaan sistematik dan usaha untuk menafikan kesahihan” negara itu di mata antarabangsa.

ICJ kini mendengar hujah daripada lebih 50 negara dan pertubuhan untuk menyediakan satu pendapat penasihat berhubung tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, selepas lebih 50 hari sekatan total dikenakan terhadap bantuan ke wilayah yang dilanda perang itu.

Dalam keterangannya, wakil Palestin, Encik Ammar Hijazi mengemukakan fakta-fakta mengerikan tentang keadaan di Gaza.

“Semua kedai roti yang disokong PBB di Gaza telah dipaksa untuk menghentikan operasi. Sembilan daripada sepuluh rakyat Palestin tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat. Gudang-gudang penyimpanan makanan agensi PBB dan pertubuhan bantuan lain kini kosong.”

Beliau menegaskan: “Kebuluran sudah berlaku di Gaza. Bantuan kemanusiaan kini dijadikan senjata perang terhadap penduduk awam.”

Di Baitulmakdis, Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, menolak prosiding di ICJ itu, sambil mendakwa:

“Ia bukan Israel yang sepatutnya dibicarakan, tetapi PBB dan UNRWA,” katanya kepada media, merujuk kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin  (UNRWA).

Israel telah mengharamkan operasi UNRWA di wilayahnya, selepas mendakwa beberapa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Namun, siasatan bebas mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, membalas dengan berkata: “Sebagai kuasa pendudukan, Israel mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan atau memudahkan penghantaran perkhidmatan asas kepada penduduk Palestin, termasuk melalui agensi seperti UNRWA.”

Pada Disember 2024, Perhimpunan Agung PBB mengemukakan permintaan rasmi kepada ICJ untuk mendapatkan pendapat penasihat segera berkenaan dengan kewajipan undang-undang Israel terhadap operasi kemanusiaan.

PBB meminta ICJ mengesahkan bahawa Israel bertanggungjawab untuk “memastikan dan memudahkan penyaluran bekalan penting yang diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk awam Palestin tanpa halangan.”

Sejak konflik memuncak, Israel telah mengawal ketat setiap kemasukan bantuan ke Gaza.

Pada 2 Mac lalu, Israel menghentikan semua penghantaran bantuan, hanya beberapa hari sebelum gencatan senjata yang rapuh runtuh.

Kini, bekalan semakin merosot dengan pantas.

Program Makanan Sedunia (WFP) mengumumkan pada 25 April bahawa mereka telah mengagihkan “stok makanan terakhir” kepada dapur awam di Gaza.

Rakaman AFP di Bandar Gaza menunjukkan beratus-ratus kanak-kanak beratur dengan periuk dan kuali, berebut mendapatkan sedikit makanan yang masih berbaki.

Sejak pertengahan Mac, serangan udara dan darat Israel telah disambung semula, memaksa kira-kira 500,000 penduduk Palestin berpindah sekali lagi, menurut anggaran PBB.

Pertubuhan antarabangsa itu menyifatkan keadaan kini sebagai “mungkin krisis kemanusiaan paling buruk” yang pernah melanda Gaza sejak permulaan perang.

Sejak 18 Mac sahaja, sekurang-kurangnya 2,111 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan baru Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan angka kematian itu dengan sokongan PBB yang menganggap data tersebut “umumnya boleh dipercayai.”

Israel mendakwa operasi ketenteraan bertujuan untuk memaksa Hamas membebaskan baki 58 tebusan yang masih ditahan di Gaza, walaupun keluarga tebusan menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan itu boleh mengorbankan nyawa mereka.

Walaupun pendapat penasihat ICJ tidak mengikat secara undang-undang, ia mempunyai “nilai moral dan kewibawaan perundangan” yang tinggi.

Duta Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, dalam kenyataannya berkata: “Kami membangunkan kes ini blok demi blok berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan kami yakin keadilan kini semakin berpihak kepada Palestin.”

Beliau menegaskan bahawa dunia kini sedang menyaksikan “arus perubahan keadilan” yang semakin cenderung ke arah pengiktirafan hak-hak rakyat Palestin. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg