Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan WHO masuk Gaza, Netanyahu dilapor setuju tamatkan konflik

Jun 27, 2025 | 11:00 AM
Penduduk Palestin menerima bungkusan makanan sumbangan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari pusat pengagihan yang diawasi oleh sukarelawan dalam kalangan keluarga Palestin yang membentuk jawatankuasa khas bagi mengelakkan kejadian kecurian, di Bandar Gaza pada 26 Jun 2025.
Penduduk Palestin menerima bungkusan makanan sumbangan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari pusat pengagihan yang diawasi oleh sukarelawan dalam kalangan keluarga Palestin yang membentuk jawatankuasa khas bagi mengelakkan kejadian kecurian, di Bandar Gaza pada 26 Jun 2025. - Foto AFP

GAZA/BAITULMAKDIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia berjaya menghantar bantuan perubatan pertama ke Jaluran Gaza sejak 2 Mac.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, penghantaran tersebut melibatkan sembilan trak yang membawa bekalan perubatan penting termasuk 2,000 unit darah dan 1,500 unit plasma.

Penghantaran itu dibuat melalui lintasan Kerem Shalom di selatan Gaza dan disifatkan oleh WHO sebagai satu kejayaan dalam keadaan berisiko tinggi.

Walaupun laluan itu sering dilanda kekacauan dan kejadian tembakan, penghantaran kali ini tidak menghadapi sebarang insiden penjarahan.

Dr Tedros berkata darah dan plasma itu disimpan di kemudahan penyejukan Kompleks Perubatan Nasser dan akan diagihkan ke hospital yang menghadapi kekurangan genting.

Namun, WHO turut memberi amaran jumlah bantuan yang dibawa masuk masih jauh daripada mencukupi.

“Bekalan ini hanya umpama setitis air di lautan. Bantuan dalam skala besar amat penting untuk menyelamatkan nyawa,” katanya di wadah media sosial X.

Beliau turut menggesa supaya penghantaran bantuan kesihatan dibenarkan segera, tanpa halangan, dan berterusan melalui semua laluan yang tersedia.

Sejak Israel melaksanakan sekatan menyeluruh ke atas Gaza pada awal Mac, tiada bantuan perubatan dibenarkan masuk.

Hanya makanan dibenarkan masuk secara terhad sejak akhir Mei, dan dijalankan dalam suasana penuh risiko, dengan laporan tembakan terhadap penduduk yang beratur menunggu bantuan semakin kerap dilaporkan.

WHO kini menunggu empat lagi trak bantuan yang masih berada di lintasan Kerem Shalom, dan lebih banyak lagi dalam perjalanan ke Gaza.

Dalam perkembangan berasingan, akhbar Israel Israel Hayom, mendedahkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan perang di Gaza dalam tempoh dua minggu.

Perbincangan tersebut dilapor berlangsung menerusi satu panggilan telefon lewat malam 23 Jun, yang turut disertai oleh Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Encik Ron Dermer.

Menurut laporan tersebut, rancangan damai yang sedang dirangka melibatkan penyingkiran Hamas dari Gaza dan penubuhan pentadbiran baru yang diterajui oleh empat negara Arab, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Pemimpin Hamas dijangka diasingkan ke luar negara, semua tebusan dibebaskan, dan beberapa negara akan menerima rakyat Gaza yang ingin berhijrah.

Israel turut bersetuju untuk menyatakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara, dengan syarat Penguasa Palestin (PA) melakukan perubahan menyeluruh.

Sebagai balasan, Amerika dijangka mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas beberapa bahagian di Tebing Barat.

Namun begitu, pelaksanaan pelan tersebut masih jauh daripada pasti.

Negara-negara Arab yang disebut sebagai bakal pentadbir Gaza telah berulang kali menyatakan mereka tidak akan menyertai sebarang usaha pemulihan pasca perang jika PA tidak diberikan peranan rasmi.

Encik Netanyahu pula secara terbuka menolak penglibatan PA di Gaza.

Di samping itu, Hamas juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menerima pengasingan secara paksa ke luar negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg