Bekalan peluru berpandu tentukan hala tuju perang Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan peluru berpandu tentukan hala tuju perang Iran

Mar 16, 2026 | 5:30 AM

Bekalan peluru berpandu tentukan hala tuju perang Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perang iran
Sekumpulan wanita berjalan berhampiran kenderaan pelancar peluru berpandu balistik di Teheran pada 11 Februari 2026 semasa satu perhimpunan menandakan ulang tahun ke-47 Revolusi Islam 1979. - Foto AFP

TEHERAN: Perang antara Iran dengan gabungan Amerika Syarikat dan Israel kini bukan sahaja ditentukan oleh kejayaan di medan tempur.

Satu faktor yang kurang kelihatan namun sangat penting adalah jumlah bekalan peluru berpandu dan keupayaan industri ketenteraan untuk menggantikannya.

Sejak operasi udara Amerika dan Israel dilancarkan terhadap Iran, sejumlah besar peluru berpandu jelajah serta senjata berpandu tepat digunakan untuk memusnahkan sistem peluru berpandu balistik Iran, pelancarnya serta kemudahan ketenteraan lain milik Republik Islam itu.

Pada masa yang sama, Iran melancarkan gelombang serangan balas menggunakan peluru berpandu balistik dan dron ke Israel, pangkalan tentera Amerika di rantau itu serta beberapa negara Teluk.

Serangan tersebut memaksa sistem pertahanan udara Israel, Amerika dan negara-negara Teluk bekerja pada tahap maksimum.

Namun, di sebalik pertempuran itu, penganalisis memberi amaran perang mungkin akhirnya bergantung kepada satu persoalan asas iaitu siapakah yang mempunyai lebih banyak peluru berpandu dan siapakah yang mampu menggantikannya dengan lebih cepat.

Tekanan terhadap bekalan peluru berpandu

Jika konflik berlanjutan selama beberapa minggu seperti yang dibayangkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, beberapa penganalisis percaya bekalan peluru berpandu canggih dan peluru berpandu pemintas mungkin berdepan tekanan serius.

Ia termasuk peluru berpandu jelajah Amerika seperti Tomahawk serta peluru berpandu pemintas bagi sistem pertahanan udara seperti Patriot, THAAD dan Arrow.

Masalahnya, kebanyakan sistem itu sangat mahal dan mengambil masa yang lama untuk dihasilkan.

Penganalisis keselamatan sejagat bagi Asia Barat dan Afrika Utara di syarikat risikan risiko RANE, Encik Freddy Khoueiry, berkata kemampuan sistem pertahanan udara bukanlah isu utama.

Menurut beliau, masalah sebenar ialah jumlah bekalan peluru berpandu pemintas.

“Kekangan sebenar bukanlah keupayaan sistem pertahanan udara, tetapi kedalaman inventori peluru berpandu pemintas,” katanya.

“Sistem seperti Arrow-3, THAAD dan Patriot PAC-3, menggunakan peluru berpandu yang mahal, kompleks, dan pengeluarannya mengambil masa yang panjang.”

Dalam konflik semasa, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron secara langsung terhadap semua enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Sebelum ini, serangan terhadap negara Teluk kebanyakannya dilakukan oleh kumpulan sekutu Iran seperti Houthi di Yaman.

Namun kali ini, Iran sendiri melancarkan serangan langsung ke seluruh rantau, sekali gus meningkatkan risiko konflik menjadi perang serantau yang lebih besar.

Negara Teluk seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) memiliki sistem pertahanan udara canggih buatan Amerika, termasuk sistem THAAD yang mampu memintas peluru berpandu balistik di altitud tinggi.

Setakat ini, UAE mendakwa kadar pemintasan mereka terhadap serangan Iran sangat tinggi.

Namun, sukar untuk menentukan jumlah sebenar peluru berpandu yang berjaya dipintas.

Penganalisis daripada Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (Acled), Dr Clionadh Raleigh, berkata angka yang dikumpulkan oleh mereka jauh lebih rendah berbanding angka rasmi yang diumumkan oleh negara-negara Teluk.

Ini kerana data Acled berdasarkan laporan saksi mengenai letupan di udara, manakala pemerintah negara-negara Teluk hanya mengumumkan jumlah keseluruhan tanpa butiran lokasi.

“Jika Amiriah Arab Bersatu memintas 50 dron dalam satu gelombang serangan, mereka mungkin mengumumkan 50 pemintasan berasingan. Tetapi dalam data kami ia akan dicatat sebagai satu peristiwa sahaja,” kata penganalisis Acled.

Pakar pertahanan daripada Pusat Analisis Dasar Eropah, Encik Federico Borsari, berkata tekanan terhadap bekalan peluru berpandu pemintas sebenarnya boleh dikurangkan jika pelancar Iran berjaya dimusnahkan.

Menurut beliau, serangan udara Amerika dan Israel terhadap pelancar mudah alih serta depoh dron Iran telah mengurangkan kadar serangan Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Keamatan dan kepadatan serangan Iran telah berkurang berbanding fasa awal operasi,” katanya.

“Serangan berterusan terhadap pelancar dan depoh Iran telah mengurangkan jumlah pelancaran, sekali gus mengurangkan penggunaan peluru berpandu pemintas.”

Namun, strategi itu juga memerlukan masa dan ketepatan operasi yang tinggi.

Pengeluaran senjata ambil masa bertahun

Walaupun Amerika mempunyai bekalan senjata yang jauh lebih besar berbanding negara lain, penggunaan peluru berpandu dalam konflik intensif boleh menghabiskan stok dengan cepat.

Dalam operasi ketenteraan sebelum ini, Amerika dilaporkan menggunakan lebih banyak peluru berpandu dalam beberapa hari berbanding jumlah yang dihasilkan sepanjang setahun.

Sebagai contoh, dalam ‘Operasi Rough Rider’ pada 2025 terhadap kumpulan Houthi di Yaman, Amerika melancarkan peluru berpandu Tomahawk pada kadar yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemampanan bekalan.

‘Operasi Midnight Hammer’ pada Jun 2025 pula menyaksikan kira-kira 30 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan terhadap kemudahan nuklear Iran.

Menurut Encik Khoueiry, operasi semasa terhadap Iran juga menggunakan senjata serupa dalam jumlah besar.

“Jika konflik ini berterusan pada kadar semasa, sangat mungkin Amerika menggunakan sejumlah besar senjata berpandu jarak jauh seperti Tomahawk,” katanya.

“Ini adalah ciri utama strategi Amerika untuk memusnahkan pelancar peluru berpandu, pusat arahan dan sasaran ketenteraan Iran.”

Namun, beliau menegaskan bahawa penggunaan berterusan boleh memberi tekanan kepada inventori senjata Amerika di peringkat sejagat.

“Penggunaan berterusan di Asia Barat boleh memberi tekanan kepada perancangan kesiapsiagaan sejagat Amerika,” katanya.

Dron mungkin jadi ancaman utama

Dalam minggu-minggu akan datang, ramai penganalisis menjangkakan dron akan menjadi ancaman utama dalam konflik kini.

Berbeza dengan peluru berpandu balistik atau peluru berpandu jelajah, dron lebih murah, mudah dihasilkan dan boleh dilancarkan dari pelbagai lokasi.

Encik Borsari berkata kelebihan itu memberi Iran satu alat penting untuk terus memberi tekanan kepada lawannya walaupun berdepan kelebihan udara Amerika dan Israel.

Menurut beliau, sistem pemintas dron kos rendah seperti APKWS atau LIDS boleh membantu mengurangkan kos pertahanan.

Sistem itu jauh lebih murah berbanding peluru berpandu pertahanan udara tradisional.

Bagi Encik Khoueiry, konflik semasa menunjukkan peperangan moden semakin menjadi ujian daya ketahanan ekonomi dan industri, bukan sekadar teknologi ketenteraan.

“Iran tidak semestinya perlu menembusi pertahanan udara pada kadar tinggi untuk memberi tekanan kepada lawannya,” kata beliau.

“Memaksa musuh menggunakan sejumlah besar peluru berpandu pemintas yang mahal juga boleh mencipta tekanan strategik dalam jangka panjang.”

Bagi Amerika dan sekutunya, cabaran utama ialah mengekalkan pertahanan terhadap serangan Iran sambil memastikan bekalan senjata mencukupi untuk konflik lain di seluruh dunia.

Dalam erti kata lain, perang ini tidak hanya berlaku di medan tempur, bahkan juga di kilang senjata dan rangkaian industri pertahanan.

Seperti yang dirumuskan Encik Khoueiry, “konflik ini bukan sekadar pertarungan teknologi, malah juga pertarungan daya ketahanan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg