Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesakan Trump agar negara Arab/Islam lain meterai Perjanjian Abraham disambut dingin
Desakan Trump agar negara Arab/Islam lain meterai Perjanjian Abraham disambut dingin
Kebanyakan negara Islam lihat isu Palestin jauh lebih penting berbanding usaha perluas hubungan dengan Israel
Desakan Trump agar negara Arab/Islam lain meterai Perjanjian Abraham disambut dingin
RIYADH: Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, supaya beberapa negara Arab dan Islam menandatangani Perjanjian Abraham sebagai syarat bagi menamatkan perang dengan Iran kini menimbulkan pelbagai persoalan baharu di Asia Barat.
Cadangan itu dianggap mengejutkan kerana dibuat ketika rundingan sensitif antara Washington dengan Teheran sedang berlangsung, selain konflik di Gaza dan Lebanon masih belum reda.
Encik Trump pada 25 Mei lalu berkata negara seperti Arab Saudi, Qatar dan beberapa negara lain perlu menyertai Perjanjian Abraham sebagai “balasan minimum” terhadap usaha Amerika membantu menstabilkan rantau tersebut.
Perjanjian Abraham yang diperkenalkan semasa penggal pertama Encik Trump pada 2020 membuka jalan kepada beberapa negara Arab termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi untuk menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.
Namun kali ini, cadangan Encik Trump menerima sambutan dingin daripada kebanyakan negara yang disebutnya.
Tiada kenyataan rasmi menyokong cadangan itu dari negara-negara Arab utama, malah pemerintah Israel sendiri dilihat tidak menunjukkan reaksi seperti yang dijangkakan.
Penganalisis serantau berkata tuntutan Encik Trump dilihat terlalu mendadak dan sukar dilaksanakan dalam keadaan konflik Gaza masih berterusan.
Zamil Kanan, Endowmen Carnegie bagi Keamanan Antarabangsa, Encik Aaron David Miller, menyifatkan saranan itu sebagai tidak realistik.
“Ia seperti cubaan terdesak untuk mendapatkan kemenangan diplomatik besar,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan negara Arab kini melihat isu Palestin sebagai jauh lebih penting berbanding usaha memperluaskan hubungan dengan Israel.
Seorang pegawai kanan Arab yang terlibat dalam rundingan damai antara Washington dengan Teheran turut berkata Encik Trump sebenarnya salah memahami sentimen rantau itu.
“Kami sepatutnya dihargai kerana membantu meredakan konflik, bukannya dipaksa membayar harga politik baharu,” katanya.
Banyak negara Teluk termasuk Arab Saudi, Qatar dan Jordan sebelum ini memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam usaha mengurangkan ketegangan antara Iran dengan Amerika.
Pada masa sama, negara-negara itu juga terkesan dengan serangan balas Iran walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam serangan awal Amerika dan Israel terhadap Teheran.
Penganalisis berkata perang di Gaza menjadi faktor utama mengapa kebanyakan negara Arab sukar menerima cadangan Encik Trump.
Walaupun beberapa negara Teluk semakin melihat Iran sebagai ancaman strategik lebih besar, Israel masih kekal tidak popular dalam kalangan rakyat dalam dunia Islam susulan operasi ketenteraan di Gaza sejak Oktober 2023.
Arab Saudi dan Qatar sebelum ini menegaskan bahawa hubungan diplomatik rasmi dengan Israel hanya boleh dipertimbangkan jika wujud laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin merdeka.
Seorang pegawai Asia Barat yang enggan dikenali berkata pendirian itu sudah lama menjadi dasar tetap negara Arab.
“Bagi kami, isu paling penting sejak 2002 ialah penubuhan negara Palestin.
“Kami sudah lama menjelaskan bahawa penyertaan dalam Perjanjian Abraham hanya boleh berlaku jika ada laluan yang boleh dipercayai ke arah penyelesaian dua negara,” katanya.
Pendirian itu sejajar dengan Inisiatif Damai Arab 2002 yang diperkenalkan Allahyarham Raja Abdullah dari Arab Saudi dan diterima secara sebulat suara oleh negara-negara Arab.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sebelum ini turut menyatakan Riyadh bersedia mempertimbangkan penyertaan dalam Perjanjian Abraham, tetapi mesti disertakan jalan jelas ke arah penubuhan negara Palestin dengan sempadan 1967 dan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Menariknya, pemerintah Israel sendiri dilihat berhati-hati terhadap cadangan terkini Encik Trump itu.
Walaupun Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menjadikan peluasan Perjanjian Abraham sebagai matlamat dasar luar utama, beliau tidak memberikan reaksi terbuka terhadap kenyataan Encik Trump.
Seorang pegawai pemerintah Israel hanya berkata negara itu “berminat memperluaskan lingkungan keamanan” dan menyifatkan Encik Trump sebagai tokoh penting dalam usaha tersebut.
Namun, penganalisis Israel berkata hubungan isu Iran dan pemulihan hubungan dengan negara Arab mungkin sebenarnya tidak begitu menguntungkan Israel.
Penyelidik kanan Institut Kajian Keselamatan Nasional Israel, Dr Yoel Guzansky, berkata kenyataan Encik Trump sering berubah-ubah dan sukar dijangka.
“Mungkin minggu depan kita akan dengar kenyataan yang berbeza pula,” katanya.
Encik Michael Koplow dari Forum Dasar Israel pula berkata Israel sedar sebarang peluasan Perjanjian Abraham mungkin memerlukan tolak ansur terhadap isu Palestin.
“Mereka tentu mahu pemulihan dengan Arab Saudi, tetapi menghubungkan isu Iran dengan pemulihan mungkin tidak semestinya menguntungkan Israel,” katanya.
Pemerhati melihat pendekatan Encik Trump kali ini lebih menyerupai tekanan politik berbanding diplomasi tradisional.
Encik Trump dilihat mahu membina semula imej sebagai pencipta keamanan Asia Barat ketika perang dengan Iran semakin tidak popular di dalam negara.
Namun, ramai penganalisis percaya keadaan geopolitik Asia Barat hari ini jauh berbeza berbanding 2020 ketika Perjanjian Abraham mula diperkenalkan.
Konflik Gaza, serangan di Lebanon, ketegangan Iran-Israel dan krisis kemanusiaan yang berterusan menjadikan pemulihan hubungan dengan Israel semakin sensitif bagi kerajaan Arab.
Pada masa sama, penutupan Selat Hormuz dan ketidaktentuan pasaran tenaga sejagat turut meningkatkan tekanan ekonomi di rantau itu.
Bagi banyak negara Arab, keutamaan kini ialah menamatkan peperangan dan mengelakkan konflik lebih besar, bukannya membuka hubungan diplomatik baharu dengan Israel.
Walaupun Encik Trump terus menekankan bahawa Perjanjian Abraham boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian serantau, reaksi senyap daripada negara Arab menunjukkan bahawa isu Palestin masih kekal sebagai batasan garisan merah utama dalam politik Asia Barat. – Agensi berita.
