KAHIRAH: Ketiadaan Mesir dalam pakatan keselamatan bersama Turkey, Pakistan, dan Arab Saudi – yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Makkah‘ – mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju strategik Kahirah.

Perkembangan itu sekali gus menguji kedudukan politik Mesir ketika susunan keselamatan baharu mula dibentuk di Timur Tengah.

Namun, keputusan Mesir tidak menyertai pakatan itu setakat ini tidak semestinya bermakna Kahirah menolak kerjasama keselamatan serantau.

Sebaliknya, ia mencerminkan pendekatan yang sudah lama menjadi teras dasar luar Mesir – mengekalkan kebebasan strategik, bekerjasama dengan pelbagai kuasa mengikut kepentingan tertentu dan mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada satu-satu pakatan.

Pendekatan itu semakin penting ketika Mesir berdepan ancaman dari beberapa arah serentak – perang di Gaza; konflik Amerika Syarikat-Israel-Iran; ancaman terhadap perkapalan Laut Merah dan Terusan Suez; serta pertikaian dengan Habsyah mengenai Sungai Nil.

Dalam persekitaran yang semakin tidak menentu itu, Kahirah kelihatan lebih selesa menggunakan diplomasi, pengantaraan dan kerjasama keselamatan berdasarkan isu tertentu berbanding mengikat dirinya kepada satu blok ketenteraan.

Diplomasi benteng keselamatan

Pendekatan berhati-hati Mesir bukan sesuatu yang baharu.

Pada 1955, Presiden Mesir ketika itu, Encik Gamal Abdel Nasser, menyuarakan keraguan terhadap kebolehpercayaan Amerika sebagai rakan keselamatan ketika berbincang dengan Penolong Setiausaha Negara Amerika, Encik George Allen, mengenai pembelian senjata Czechoslovakia oleh Mesir.

Encik Nasser turut membangkitkan kebimbangan mengenai pengaruh dan cita-cita wilayah Israel.

Episod itu menggambarkan satu ciri penting pemikiran strategik Mesir: Kahirah tidak mahu keselamatan negaranya terlalu bergantung kepada satu kuasa luar.

Ketua Pasukan Afrika di inisiatif penyelidikan dan badan pemikir yang berpangkalan di Washington, Critical Threats Project, Encik Liam Karr, berkata Mesir sejak sekian lama memberi tumpuan kepada usaha mengurus dan mengimbangi hubungan dua hala dengan kuasa-kuasa utama serantau bagi menangani ketidakstabilan dan ancaman yang semakin meningkat.

Kini, strategi itu menghadapi ujian lebih besar.

Perang di Gaza meningkatkan kebimbangan keselamatan Mesir, terutama apabila timbul gesaan Israel supaya penduduk Palestin dipindahkan ke Semenanjung Sinai.

Kahirah berulang kali menegaskan bahawa pemindahan penduduk Palestin ke wilayah Mesir merupakan “garis merah”.

Israel turut menguasai Koridor Philadelphi, jalur sempit di sepanjang sempadan Gaza-Mesir yang aturan keselamatannya berkait rapat dengan Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979 dan perjanjian susulan.

Zamil Bersekutu Program Timur Tengah dan Afrika Utara di Chatham House, Encik Ahmed Aboudouh, berkata persepsi ancaman Mesir dibentuk terutama oleh apa yang dilihat Kahirah sebagai peluasan keselamatan Israel secara sepihak.

Keadaan itu mendorong Mesir memberi lebih banyak penekanan kepada pengantaraan sambil mengimbangi kuasa pesaingnya, terutama Israel.

Gaza penting kepada keselamatan Mesir

Pendekatan itu paling jelas dalam perang Gaza.

Bersama Qatar, Mesir memainkan peranan utama sebagai pengantara antara Israel dengan Hamas.

Awal September, utusan khas Amerika, Encik Jared Kushner, bertemu delegasi Hamas yang diketuai Encik Khalil al-Hayya, di Mesir dalam pertemuan langsung peringkat tinggi yang jarang berlaku.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan hala tuju Lembaga Keamanan, termasuk persoalan nyahsenjata Hamas.

Bagi Kahirah, menamatkan perang Gaza secara berkekalan bukan sekadar matlamat diplomatik. Ia mempunyai kepentingan langsung terhadap keselamatan dan ekonomi Mesir.

Konflik itu meningkatkan tekanan di sepanjang sempadannya dan menjejas keselamatan Laut Merah.

Terusan Suez, antara sumber utama mata wang asing Mesir, turut menerima kesan besar apabila serangan Houthi ke atas kapal di Laut Merah menyebabkan hasil terusan itu merosot sekitar dua pertiga pada kemuncak gangguan.

Serangan baharu terhadap perkapalan Laut Merah serta perang Amerika-Israel-Iran kini menambah tekanan.

Mesir juga sangat bergantung kepada pelaburan dan bantuan kewangan negara Teluk. Justeru, kestabilan Teluk dan Laut Merah semakin sukar dipisahkan daripada keselamatan ekonomi Mesir sendiri.

Ekonomi Mesir menunjukkan tanda pemulihan.

Pada Julai, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan keyakinan terhadap program pembaharuan ekonomi negara itu dan membuka laluan kepada tambahan dana AS$1.8 bilion ($2.3 bilion).

Namun, kelemahan asas ekonominya masih belum hilang.

Risiko keselamatan pula semakin hampir apabila sebuah dron menyerang Pelabuhan Damietta di Mesir pada akhir Julai.

Ia merupakan serangan pertama di wilayah Mesir sejak perang Amerika-Israel-Iran tercetus dan menunjukkan bagaimana konflik serantau kini boleh merebak merentasi sempadan.

Kekalkan hubungan dengan pelbagai pihak

Kelebihan diplomatik Mesir terletak pada keupayaannya berhubung dengan pihak yang saling bermusuhan.

Awal 2026, Kahirah menggunakan saluran diplomatik dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) untuk mengekalkan komunikasi ketika ketegangan serantau meningkat.

Pada masa sama, Mesir tidak teragak-agak memberikan sokongan ketenteraan kepada rakan serantaunya apabila diperlukan.

Semasa lawatan Presiden Abdel Fattah al-Sisi ke Abu Dhabi pada Mei, beliau melawat pasukan pesawat pejuang Mesir yang ditempatkan di Amiriah Arab Bersatu (UAE), terdiri daripada pesawat Rafale dan juruterbang Mesir.

Terdapat juga laporan mengenai penempatan pertahanan Mesir di Arab Saudi.

Keselamatan negara Teluk jelas berkait dengan kepentingan Mesir.

Menyertai pakatan pertahanan rasmi seperti Perjanjian Makkah boleh membawa risiko lain – termasuk mengurangkan kebebasan Kahirah untuk berhubung dengan pihak yang bersaing.

Ketiadaan Mesir daripada Perjanjian Makkah lebih menarik kerana Kahirah sebenarnya mempunyai hubungan keselamatan kukuh dengan ketiga-tiga anggotanya – Arab Saudi, Turkey dan Pakistan.

Hubungan Mesir-Turkey khususnya berubah dengan ketara selepas bertahun-tahun tegang.

Pada Jun, kedua-dua negara mengadakan latihan bersama pesawat F-16, yang pertama seumpamanya dalam hampir dua dekad. Ia menyusuli latihan maritim bersama ‘Samudera Persahabatan’ atauSea of Friendship’ pada 2025.

Ankara dan Kahirah turut meningkatkan penyelarasan mengenai Sudan, Libya dan Gaza.

Kerjasama industri pertahanan turut berkembang, dengan kedua-dua negara menandatangani perjanjian bernilai sekitar AS$350 juta pada awal 2026, terutama untuk meningkatkan pengeluaran pertahanan bersama.

Hubungan Kahirah dengan Riyadh pula sudah lama kukuh.

Mesir adalah antara 14 anggota pengasas pasukan keselamatan maritim Laut Merah yang dipimpin Arab Saudi.

Mesir kini juga memimpin, buat kali kedua, Pasukan Petugas Gabungan 153 (CTF-153), yang memberi tumpuan kepada keselamatan Laut Merah.

Menurut Encik Karr, Mesir mahu kekal sebagai kuasa utama dalam pendekatan serantau, seperti ditunjukkan melalui penglibatannya dalam usaha mengenai Sudan serta inisiatif keselamatan Laut Merah dan proses damai Libya dan Palestin.

Penyertaan dalam pakatan keselamatan rasmi mungkin meningkatkan daya cegah Mesir terhadap ancaman luar.

Tetapi langkah sedemikian juga boleh mengehadkan ruang diplomatik Kahirah dan menyukarkan Mesir memainkan peranan sebagai pengantara.

“Mesir akan mengekalkan pendekatan berhati-hati, defensif dan mengelakkan risiko bagi mengelak daripada menimbulkan permusuhan dengan mana-mana pihak yang mempunyai keupayaan menekan kepentingan nasionalnya secara langsung,” kata Encik Aboudouh.

Hubungan pertahanan Mesir dengan China menunjukkan strategi kepelbagaian ini.

Dari pertengahan Ogos hingga awal September, kedua-dua negara mengadakan latihan udara bersama ‘Eagles of Civilisation’, buat kali kedua selepas latihan pertama pada 2025.

Ini membolehkan Kahirah memperluaskan pilihan strategiknya tanpa menggantikan hubungan keselamatan sedia ada dengan Amerika atau negara Arab.

Pada masa sama, Mesir perlu mengelakkan tenteranya daripada dibebani terlalu banyak cabaran serentak.

Selain Timur Tengah dan Laut Merah, Kahirah menghadapi satu lagi tekanan strategik di selatan.

Rancangan Habsyah membina tiga lagi empangan hidroelektrik di Sungai Nil Biru selepas Empangan Besar Kebangkitan Habsyah (GERD) sudah mencetuskan bantahan keras Mesir.

Ini bermakna Mesir perlu menguruskan tekanan keselamatan di dua kawasan yang sama penting – Timur Tengah dan Lembangan Nil.

Ketiadaan Mesir daripada Perjanjian Makkah, sekurang-kurangnya buat masa ini, tidak harus dilihat sebagai tanda Kahirah meminggirkan diri daripada susunan keselamatan baru rantau.

Sebaliknya, Mesir kelihatan mahu terlibat mengikut syaratnya sendiri.

Kahirah mahu bekerjasama dengan Arab Saudi dalam keselamatan Teluk dan Laut Merah, memperluaskan kerjasama ketenteraan dengan Turkey, mengekalkan hubungan dengan Amerika dan China, serta pada masa sama mempunyai saluran komunikasi dengan Iran.

Strategi itu memberi Mesir sesuatu yang mungkin hilang jika ia terikat terlalu ketat kepada satu blok – kebebasan untuk bergerak antara pihak yang bersaing.

Dalam rantau yang semakin berpecah dan konflik mudah merebak merentasi sempadan, fleksibiliti itu mungkin menjadi aset keselamatan Mesir yang paling penting.

Cabaran bagi Kahirah ialah memastikan kepelbagaian hubungan tersebut benar-benar meningkatkan keselamatannya dan bukan menyebabkan sumber ketenteraan serta diplomatiknya terlalu terbeban.

Dalam susunan keselamatan baru Timur Tengah, Mesir tampaknya tidak mahu sekadar memilih satu pihak.

Ia mahu mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa yang mampu bekerjasama dengan pelbagai pihak, menjadi pengantara apabila diperlukan dan, paling penting, menentukan sendiri bila serta bagaimanakah ia akan bertindak. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti