Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi, Pakistan, Turkey susun semula aturan keselamatan serantau
Pakatan Makkah cetus spekulasi kemunculan ‘Nato Sunni’, namun struktur masih jauh berbeza daripada Nato
MAKKAH: Apabila Arab Saudi, Turkey dan Pakistan bersetuju bahawa serangan terhadap salah satu daripada mereka akan dianggap sebagai serangan terhadap ketiga-tiganya, mesej yang mahu dihantar cukup jelas.
Ia bermakna keselamatan Saudi tidak lagi hanya bergantung kepada Amerika Syarikat.
Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang dimeterai pada 7 Ogos itu menunjukkan perubahan penting dalam strategi Saudi selepas perang Iran menggugat keyakinan terhadap kemampuan Amerika melindungi sekutu Teluk daripada serangan peluru berpandu dan dron.
Riyadh kini memilih untuk tidak meletakkan semua harapannya kepada satu kuasa.
Ia sedang membina beberapa lapisan perlindungan – hubungan pertahanan dengan Amerika dikekalkan, kerjasama negara-negara Teluk diteruskan, manakala Turkey dan Pakistan kini dibawa masuk ke dalam satu kerangka pertahanan bersama yang lebih formal.
Inilah kepentingan sebenar Perjanjian Makkah.
Ia bukan “Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Islam” yang mempunyai tentera bersama atau mekanisme tindak balas automatik.
Sebaliknya, ia adalah alat pencegahan dan isyarat politik bahawa sebarang serangan terhadap Saudi pada masa depan mungkin membawa risiko berdepan bukan sahaja Riyadh, bahkan juga dua kuasa ketenteraan utama dunia Islam.
Tiga negara, tiga kekuatan dan kesan perang Iran
Perjanjian itu ditandatangani Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; dan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif.
Gabungan ketiga-tiganya mempunyai nilai strategik yang besar.
Saudi mempunyai kekuatan ekonomi dan kedudukan sebagai kuasa utama Arab serta satu-satunya ekonomi Arab dalam Kumpulan 20 (G20).
Turkey mempunyai tentera kedua terbesar dalam Nato, selain industri pertahanan yang semakin maju.
Pakistan pula mempunyai angkatan tentera besar dan berpengalaman serta merupakan satu-satunya negara majoriti Islam yang memiliki senjata nuklear.
Namun, gabungan kekuatan itu tidak bermakna ketiga-tiga negara sudah membentuk sebuah pakatan ketenteraan seperti Nato.
Setakat ini, perjanjian itu belum mempunyai struktur perintah bersama, pasukan tentera tetap atau mekanisme yang mewajibkan pengerahan tentera secara automatik jika salah sebuah negara diserang.
Bentuk bantuan yang perlu diberikan oleh setiap anggota juga belum diperincikan dengan jelas.
Pengerusi firma perunding Killowen Group, Encik Harlan Ullman, berkata perkara itu penting dalam menentukan sejauh manakah komitmen pertahanan bersama tersebut benar-benar mengikat ketiga-tiga negara.
Menurut beliau, jika deklarasi itu menyatakan bahawa serangan terhadap satu negara “harus” dianggap sebagai serangan terhadap semua, penggunaan perkataan tersebut tidak semestinya bermakna setiap anggota diwajibkan bertindak secara ketenteraan.
Ini bermakna Pakistan dan Turkey masih mempunyai ruang untuk menentukan bentuk bantuan berdasarkan keadaan.
Mereka boleh, misalnya, menghantar sistem pertahanan udara, berkongsi maklumat risikan atau menyediakan sokongan logistik tanpa perlu menyertai peperangan secara langsung.
Perjanjian Makkah sukar dipisahkan daripada perubahan besar yang berlaku selepas tercetusnya perang Iran pada Februari lalu.
Serangan peluru berpandu dan dron Iran serta kumpulan yang disokong Teheran menunjukkan negara Teluk masih terdedah meskipun mempunyai hubungan pertahanan rapat dengan Amerika.
Saudi sendiri pernah menjadi sasaran Iran dan kumpulan sekutunya, manakala Riyadh turut melancarkan serangan terhadap kumpulan yang disokong Teheran di Iraq.
Pengalaman itu menimbulkan persoalan lebih luas: Sejauh manakah negara Teluk boleh terus bergantung kepada Amerika sebagai penjamin utama keselamatan mereka?
Jawapan Saudi bukan untuk menggantikan Washington, tetapi menambah pilihan.
Dalam istilah strategik, Riyadh sedang melakukan ‘hedging’ – mengekalkan hubungan dengan kuasa tradisional sambil membina kerjasama dengan kuasa lain bagi mengurangkan risiko sekiranya satu hubungan gagal memberikan perlindungan yang diperlukan.
Saudi sebenarnya sudah mempunyai perjanjian pertahanan bersama dengan Pakistan sejak September 2025 dan bersama enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sejak 2000.
Namun, perjanjian baharu yang membawa Turkey masuk ke dalam kerangka itu meningkatkan nilai politik dan ketenteraannya.
‘Nato’ Sunni?
Pemilihan Makkah sebagai lokasi menandatangani perjanjian turut mempunyai lambang tersendiri.
Delegasi Pakistan menunaikan umrah sebelum majlis itu, manakala kenyataan rasmi menekankan “pencegahan bersama” dan perpaduan Islam.
Ketiga-tiga negara juga mempunyai penduduk majoriti Sunni.
Ini menyebabkan muncul gambaran bahawa satu ‘Nato Sunni’ mungkin sedang dibentuk untuk mengimbangi Iran yang dipimpin Syiah.
Saudi segera menolak tafsiran tersebut.
Timbalan Menteri Diplomasi Awam Saudi, Encik Rayed Krimly, menegaskan perjanjian itu bukan usaha membentuk pakatan ketenteraan atau blok mazhab dan tidak bertujuan mengancam keselamatan mana-mana negara di rantau tersebut.
Penjelasan itu bukan sekadar diplomasi.
Saudi mempunyai sebab kukuh untuk mengelakkan konflik dengan Iran daripada berubah menjadi persaingan Sunni-Syiah.
Riyadh mahukan pencegahan, bukan satu lagi peperangan.
Pakistan juga tidak mahu berdepan Iran kerana kedua-duanya berkongsi sempadan dan Islamabad mempunyai masalah keselamatan tersendiri di Balochistan.
Turkey pula mempunyai hubungan ekonomi dan diplomatik yang kompleks tetapi penting dengan Teheran.
Justeru, ketiga-tiga negara mempunyai kepentingan yang sama iaitu meningkatkan kos serangan Iran tanpa membuka medan perang baharu dengan Teheran.
Israel melihat dengan lebih curiga dan payung ‘nuklear’
Jika Iran mempunyai sebab untuk berhati-hati, Israel mungkin mempunyai alasan lebih besar untuk memerhatikan perkembangan itu.
Hubungan Israel dengan Turkey semakin merosot, sedangkan Ankara merupakan satu-satunya dari tiga negara tersebut yang mengiktiraf Israel secara rasmi.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sudah membangkitkan kemungkinan kemunculan “paksi Sunni”.
Penyelidik kanan Institut Kajian Keselamatan Nasional Israel, Dr Gallia Lindenstrauss, menyifatkan perkembangan itu sebagai membimbangkan dari perspektif Israel.
Menurut beliau, perjanjian tersebut menambah dimensi ketenteraan kepada hubungan politik antara negara yang semakin mengambil pendirian tegas terhadap Israel.
Faktor Pakistan turut mendapat perhatian kerana kemampuan nuklearnya.
Walaupun Islamabad menegaskan perjanjian pertahanannya dengan Saudi tidak menyediakan “payung nuklear”, hubungan pertahanan lebih rapat antara sebuah kuasa nuklear dengan Saudi dan Turkey tetap mempunyai implikasi strategik.
Ini tidak bermakna senjata nuklear Pakistan kini secara automatik melindungi Riyadh.
Tiada bukti perjanjian Makkah memberikan jaminan sedemikian.
Tetapi dalam strategi pencegahan, persepsi dan ketidakpastian sendiri boleh mempengaruhi perhitungan pihak lawan.
Perjanjian itu juga tidak harus ditafsir sebagai Saudi berpaling daripada Amerika.
Ketiga-tiga negara masih mempunyai hubungan penting dengan Washington, sementara Turkey kekal sebagai anggota Nato.
Malah, terdapat hujah bahawa kerjasama itu sesuai dengan kehendak Amerika supaya sekutu serantaunya memikul lebih banyak tanggungjawab terhadap keselamatan sendiri.
Pakar kanan Royal United Services Institute (Rusi), Dr Burcu Ozcelik, berpandangan perjanjian tersebut selari dengan kecenderungan Washington yang mahu kuasa serantau memikul tanggungjawab lebih besar dalam aspek pencegahan dan keselamatan.
Namun, hakikat bahawa Saudi berasa perlu membentuk jaringan pertahanan tambahan tetap membawa mesej kepada Washington.
Riyadh tidak lagi melihat hubungan dengan Amerika sebagai satu-satunya jawapan kepada semua ancaman keselamatannya.
Saudi mahu Amerika kekal sebagai rakan utama, tetapi bukan satu-satunya rakan.
Pakistan dan Turkey turut meraih manfaat
Pakistan pula memperoleh peningkatan pengaruh di Timur Tengah.
Rantau itu penting kepada Islamabad kerana menjadi sumber utama bekalan tenaga, tempat tinggal jutaan rakyat Pakistan serta sumber pelaburan dan bantuan ekonomi.
Hubungan keselamatan lebih rapat dengan Saudi turut mengukuhkan imej Pakistan sebagai pemain strategik yang mempunyai peranan melangkaui Asia Selatan.
Turkey memperoleh manfaat yang mungkin lebih besar dari sudut ekonomi.
Industri pertahanannya berpeluang mendapat akses lebih luas kepada pasaran Saudi, sementara Ankara dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa keselamatan serantau.
Kerjasama itu juga melengkapkan jaringan hubungan keselamatan Turkey dengan Qatar, Syria dan Libya.
Pada masa sama, Ankara berada dalam kedudukan lebih selesa berbanding dua rakan lain.
Saudi paling terdedah kepada serangan Iran dan sekutunya, sementara Pakistan berkongsi sempadan dengan Iran.
Turkey mempunyai ruang lebih besar untuk meraih manfaat politik, ekonomi dan pertahanan tanpa semestinya berada di barisan hadapan konflik.
Pakatan yang belum diuji
Ujian sebenar Perjanjian Makkah hanya akan datang apabila salah sebuah negara benar-benar diserang.
Jika serangan besar terhadap Saudi mengorbankan ramai penduduk atau memusnahkan prasarana penting, apakah tindakan Pakistan dan Turkey?
Adakah mereka sekadar berkongsi risikan dan menghantar sistem pertahanan udara, atau akan menyerang pihak yang bertanggungjawab?
Jika tindak balas terlalu terhad, kredibiliti perjanjian boleh dipersoal.
Jika tindak balas terlalu besar, ia boleh menyeret ketiga-tiga negara ke dalam peperangan serantau.
Inilah dilema utama pakatan tersebut.
Perjanjian Makkah boleh meningkatkan pencegahan kerana pihak lawan tidak lagi pasti siapakah yang akan dihadapinya sekiranya menyerang salah sebuah anggota.
Tetapi ia juga boleh mengukuhkan pembentukan blok baharu – Saudi, Turkey dan Pakistan di satu bahagian; Iran dan sekutunya di bahagian lain; sementara Israel membuat perhitungan keselamatannya sendiri.
Buat masa ini, Perjanjian Makkah bukan kelahiran sebuah ‘Nato Sunni’.
Ia lebih merupakan pengakuan bahawa aturan keselamatan lama Timur Tengah sedang berubah.
Mungkin itulah mesej strategik paling penting daripada Perjanjian Makkah.
Dalam persekitaran keselamatan Timur Tengah yang semakin tidak menentu, Riyadh enggan lagi mahu bergantung kepada satu kuasa sebagai jaminan keselamatannya.
Sebaliknya, ia berusaha menjalin rangkaian kerjasama pertahanan yang lebih luas bagi menghadapi ancaman serantau yang kian kompleks. – Agensi berita.
