TEL AVIV: Sebuah dokumen yang didakwa ditulis mantan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, menunjukkan beliau menjangkakan Israel akan melancarkan serangan balas berskala besar, malah berkemungkinan menggunakan senjata nuklear, sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober 2023, namun tetap menganggap operasi itu berbaloi diteruskan.

Dokumen berkenaan didedahkan pada 13 Julai oleh Pusat Maklumat Perisikan dan Keganasan Meir Amit (ITIC), sebuah pusat penyelidikan Israel yang mendakwa ia ditemui tentera Israel ketika operasi ketenteraan di Gaza.

Bagaimanapun, kandungan dokumen itu belum dapat disahkan secara bebas dan agensi berita Reuters menyatakan ia tidak dapat mengesahkan ketulenan dokumen mahupun sama ada ia benar-benar ditulis oleh Encik Sinwar.

Menurut ITIC, dokumen bertarikh 24 Ogos 2022 itu ditulis lebih setahun sebelum Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.

Dalam dokumen itu, Encik Sinwar didakwa menulis bahawa Israel akan terkejut pada peringkat awal serangan sebelum menggunakan segala keupayaan ketenteraan untuk bertindak balas.

“Musuh tidak akan teragak-agak menggunakan semua cara dan senjata yang dimilikinya. Mereka mungkin menggunakan bom nuklear,” menurut petikan yang diterbitkan oleh penyelidik Israel.

Namun, beliau didakwa percaya keadaan huru-hara yang berlaku pada peringkat awal serangan akan memberi ruang kepada Hamas mencapai objektifnya.

Dokumen itu turut menyebut bahawa operasi tersebut adalah “pertempuran hidup atau mati”, walaupun berisiko menyebabkan kemusnahan besar di Gaza.

Menurut laporan ITIC, Encik Sinwar tetap berpegang kepada wawasannya walaupun menyedari kemungkinan Israel bertindak balas secara besar-besaran.

Jika dokumen itu sahih, ia menunjukkan kepimpinan Hamas telah menjangkakan skala serangan balas Israel sebelum melancarkan operasi yang mengorbankan kira-kira 1,200 penduduk Israel dan membawa kepada penculikan lebih 250 tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza yang sehingga kini mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin serta memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

Dokumen yang didedahkan turut menggariskan rancangan Hamas untuk menghantar sehingga 10,000 anggota untuk menyerang lebih 200 penempatan dan pangkalan tentera Israel.

Bagaimanapun, menurut penyelidik Israel, pelan yang akhirnya dilaksanakan melibatkan kira-kira 2,000 anggota Hamas dalam gelombang pertama, diikuti jumlah hampir sama dalam gelombang kedua serta kira-kira 1,600 penduduk Gaza yang menyertai serangan secara tidak tersusun.

ITIC turut mendakwa beberapa dokumen dalaman Hamas yang dirampas menunjukkan kumpulan itu melaksanakan strategi memperdayakan Israel sepanjang 2022 dan 2023 supaya negara itu tidak menjangkakan serangan mengejut.

Salah satu dokumen bertarikh September 2022 didakwa bertajuk “Membina Pelan Penipuan Strategik Sebagai Asas Serangan Mengejut Hamas ke atas Israel”.

Menurut penyelidik, strategi itu bertujuan meyakinkan Israel bahawa Hamas tidak berminat mencetuskan peperangan berskala besar, sekali gus mengurangkan tahap kesiapsiagaan tenteranya.

Dokumen lain yang diterbitkan turut mendakwa Hamas menjangkakan konflik itu akan berkembang menjadi peperangan serantau dengan penglibatan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di beberapa negara Asia Barat.

Penyelidik Israel berkata, Encik Sinwar percaya tekanan serentak dari beberapa medan peperangan mampu melemahkan keupayaan Israel untuk bertindak balas dengan pantas.

Selain itu, beberapa dokumen yang diterbitkan oleh media Israel mendakwa Hamas cuba mendapatkan sokongan Hezbollah sebelum serangan 7 Oktober.

Menurut laporan itu, bekas ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh, pernah menghantar surat kepada bekas pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, memohon kumpulan itu menyertai operasi menentang Israel.

Laporan itu turut mendakwa Hamas mengadakan kerjasama rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, termasuk menubuhkan pusat operasi risikan bersama di Beirut pada 2021.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan mengenai kerjasama tersebut.

Pendedahan dokumen itu dibuat ketika usaha rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih diteruskan menerusi pengantara serantau.

Ia juga muncul ketika perdebatan berterusan mengenai sejauh mana kepimpinan Hamas telah menjangkakan tindak balas Israel sebelum melancarkan serangan yang mencetuskan perang di Gaza serta konflik lebih luas melibatkan Lebanon, Yaman, Iraq dan Iran.

Encik Sinwar terbunuh dalam operasi tentera Israel di Rafah pada Oktober 2024 selepas mengetuai Hamas sepanjang sebahagian besar perang.

Adiknya, Encik Mohammed Sinwar, yang menurut Israel mengambil alih kepimpinan sayap ketenteraan Hamas selepas kematian abangnya, turut dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel beberapa bulan kemudian.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dokumen yang diterbitkan oleh ITIC, manakala Israel juga belum mendedahkan keseluruhan kandungan dokumen berkenaan untuk pengesahan bebas. – Agensi berita.