Dron murah Iran ubah wajah peperangan moden
WASHINGTON: Peperangan yang tercetus antara Iran dengan Amerika Syarikat dan sekutunya bukan sahaja memperlihat pertembungan kuasa geopolitik di Asia Barat, bahkan mendedahkan perubahan besar dalam cara peperangan moden dijalankan.
Di sebalik serangan udara, operasi siber dan peluru berpandu jarak jauh, satu teknologi yang semakin menentukan arah konflik adalah penggunaan dron murah yang dihasilkan secara besar-besaran.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Iran melancarkan gelombang serangan menggunakan dron jenis Shahed terhadap pangkalan tentera Amerika serta sasaran strategik di negara Teluk.
Pada masa yang sama, Washington turut menggunakan versi dron yang hampir sama, dikenali sebagai Lucas, yang dibangunkan dengan meniru reka bentuk dron Iran.
Fenomena itu menunjukkan satu realiti baharu dalam peperangan moden.
Senjata yang murah dan mudah dihasilkan kini mampu memberikan kesan strategik yang besar, sekali gus mencabar kekuasaan ketenteraan kuasa besar dunia.
Dalam konflik moden, saiz tentera atau kecanggihan teknologi tidak lagi menjamin kemenangan mutlak.
Dron murah yang boleh dihasilkan secara besar-besaran kini muncul sebagai pengimbang kuasa baharu, membolehkan negara atau kumpulan yang lebih kecil mencabar kelebihan ketenteraan pihak yang lebih kuat.
Dron Shahed yang digunakan oleh Iran dianggarkan berharga antara AS$20,000 ($25,630) dengan AS$50,000 seunit.
Walaupun kosnya relatif rendah, dron itu mampu memaksa pihak lawan menggunakan peluru berpandu pemintas bernilai jutaan dolar untuk menembaknya jatuh.
Ketidakseimbangan kos inilah yang menjadikan dron murah sebagai senjata strategik.
Dengan hanya sejumlah kecil perbelanjaan, sesebuah negara atau kumpulan bersenjata boleh memaksa lawannya membelanjakan sumber kewangan yang jauh lebih besar.
Seorang penganalisis pertahanan di Forecast International, Cik Anna Miskelley, berkata dron seperti Shahed direka untuk mencetuskan gangguan besar kepada sasaran musuh.
“Dron ini direka untuk menimbulkan kekacauan. Ia kecil, murah dan boleh dilancarkan secara besar-besaran, tetapi kesannya terhadap keselamatan dan psikologi awam sangat besar,” katanya.
Pada minggu pertama konflik sahaja, Iran dilaporkan melancarkan hampir 2,000 dron ke arah pangkalan tentera Amerika dan sekutunya di sekurang-kurangnya 12 negara.
Serangan tersebut menyasarkan pelbagai lokasi strategik termasuk lapangan terbang, hotel mewah serta kemudahan tenaga di negara Teluk.
Pada 1 Mac, enam anggota tentera Amerika terbunuh selepas sebuah dron Iran berjaya menembusi sistem pertahanan udara dan mengenai pusat operasi tentera di Kuwait.
Seorang sumber keselamatan memberitahu CBS News bahawa sistem pertahanan sedia ada tidak cukup bersedia menghadapi ancaman dron murah yang dilancarkan secara besar-besaran.
“Kami pada dasarnya tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menangkis dron seperti ini,” katanya.
Serangan tersebut menunjukkan bagaimana teknologi yang relatif murah mampu menembusi sistem pertahanan yang dibangunkan dengan kos berbilion dolar.
Dron Shahed bukanlah teknologi baharu.
Sebelum konflik dengan Amerika tercetus, dron itu telah digunakan secara meluas dalam peperangan lain, termasuk konflik antara Russia dengan Ukraine.
Russia sebelum ini mengimport ribuan dron Shahed dari Iran dan kemudian membina kilang sendiri untuk menghasilkan versi tempatan yang dikenali sebagai Geran.
Dron tersebut digunakan hampir setiap malam untuk menyerang bandar Ukraine.
Di Yaman pula, kumpulan Houthi yang disokong Iran menggunakan dron serupa yang dikenali sebagai Waid untuk menyerang kapal komersial di Laut Merah.
Serangan tersebut berjaya mengganggu laluan perkapalan sejagat selama hampir dua tahun.
Keupayaan dron murah untuk memberi kesan besar terhadap perdagangan antarabangsa menjadikannya salah satu senjata paling berpengaruh dalam konflik moden.
Menariknya, Amerika sendiri akhirnya memilih untuk meniru reka bentuk dron Iran.
Program penyelidikan tentera Amerika sebelum ini telah membedah struktur dron Shahed bagi memahami keupayaannya.
Daripada usaha tersebut, lahirlah sistem dron baharu yang dikenali sebagai LUCAS atau Sistem Udara Tempur Tanpa Pemandu Kos Rendah.
Komander Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom), Laksamana Brad Cooper, berkata dron tersebut pada asalnya dibangunkan dengan mempelajari teknologi Iran.
“Kami menangkap dron itu, membuka komponennya, menghantarnya ke Amerika, kemudian membinanya semula dengan teknologi kami sendiri sebelum menggunakannya terhadap Iran,” katanya kepada wartawan.
Beliau menambah bahawa dron murah kini menjadi ciri penting dalam operasi ketenteraan moden.
“Dron seperti ini kini amat diperlukan dalam peperangan moden,” katanya.
Dron Shahed dan LUCAS masing-masing berharga sekitar AS$35,000 seunit.
Dengan sepanjang kira-kira tiga meter dan sayap sepanjang lebih dua meter, dron itu mampu membawa bahan letupan di bahagian hadapan dan meletup apabila mengenai sasaran.
Selepas koordinat sasaran dimasukkan, dron tersebut boleh meluncur secara autonomi sejauh ratusan kilometer.
Dari segi reka bentuk, ia berada di tengah-tengah antara dron kecil seperti ‘quadcopter’ yang digunakan di Ukraine dengan dron besar Amerika seperti Predator dan Reaper yang bernilai jutaan dolar.
Namun, kelebihan utama dron murah adalah kosnya yang rendah dan keupayaan untuk dihasilkan dalam jumlah besar.
Pakar teknologi pertahanan yang pernah berkhidmat di Pentagon, Encik Michael C. Horowitz, berkata perkembangan teknologi komersial mempercepat lagi penggunaan dron murah dalam peperangan.
“Kini mana-mana negara atau kumpulan bersenjata boleh memiliki keupayaan untuk melakukan pengawasan dan serangan jarak jauh dengan kos jauh lebih rendah,” katanya.
Menurut beliau, perubahan itu sedang mengubah sifat asas peperangan moden.
“Ini benar-benar mengubah karakter peperangan,” katanya.
Salah satu cabaran utama dalam menghadapi dron Shahed adalah sifatnya yang sukar dikesan oleh radar moden.
Dron itu terbang pada kelajuan rendah dan ketinggian rendah, menyebabkan radar sering menapisnya sebagai objek tidak berbahaya seperti burung atau pesawat kecil.
Jika radar diselaraskan untuk mengesan objek perlahan seperti itu, ia boleh menghasilkan banyak isyarat palsu.
Dalam masa yang sama, kos untuk memintas dron tersebut sangat tinggi.
Peluru berpandu pemintas yang digunakan oleh sistem pertahanan udara boleh mencecah sehingga AS$3 juta setiap satu.
Cik Miskelley menjelaskan bahawa ketidakseimbangan kos itulah yang menjadikan dron murah sangat berbahaya.
“Ia cukup kecil untuk mengelak radar, cukup murah untuk dilancarkan secara beramai-ramai, dan cukup mematikan untuk memaksa kita menggunakan teknologi yang jauh lebih mahal untuk menahannya,” katanya.
Bagi ramai penganalisis pertahanan, konflik yang melibatkan Iran itu mungkin menandakan permulaan era peperangan baharu yang kian didominasi oleh sistem autonomi.
Dron pintar, sistem tanpa pemandu dan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini berupaya mengenal pasti sasaran serta melaksanakan operasi pada kelajuan yang jauh melebihi keupayaan manusia, sekali gus mengubah landskap peperangan moden.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi pertahanan UForce, Encik Oleg Rogynskyy, berkata perkembangan teknologi dron, robot darat dan sistem kecerdasan buatan akan mempercepat perubahan tersebut.
“Persekitaran ancaman sejagat kini berkembang dengan sangat pantas,” katanya.
Menurut beliau, gabungan dron udara, dron maritim, robot darat serta sistem perisian berasas AI boleh menghasilkan operasi ketenteraan yang hampir sepenuhnya tanpa manusia.
“Kita sedang memasuki fasa awal era di mana sistem autonomi mula mengatasi manusia di medan perang,” katanya.
Perkembangan itu menunjukkan peperangan masa depan tidak lagi ditentukan oleh siapa yang memiliki senjata paling canggih atau tentera paling besar.
Sebaliknya, keupayaan menghasilkan teknologi murah secara besar-besaran serta menyesuaikan inovasi dengan pantas bakal menjadi penentu utama dalam konflik sejagat pada masa hadapan. – Agensi berita.

