Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duta AS percaya damai Syria-Israel boleh dicapai

May 30, 2025 | 12:55 PM
Syria, Amerika Syarikat, duta,
Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani (dua dari kiri), menyaksikan duta khas Amerika Syarikat ke Syria, Encik Thomas Barrack, menaikkan bendera Amerika di kediaman duta Amerika di Damsyik semasa majlis rasmi pada 29 Mei. - Foto AFP

DAMSYIK: Utusan baru Amerika Syarikat ke Syria, Encik Thomas Barrack, berkata beliau percaya perdamaian antara Syria dengan Israel boleh dicapai, sedang beliau melakukan lawatan pertamanya ke Damsyik pada 29 Mei, sambil memuji pemerintah baru Syria dan menyatakan kesediaan mereka untuk berdialog.

Encik Barrack mengibarkan bendera Amerika di kediaman duta buat kali pertama sejak kedutaan Amerika ditutup pada 2012, menandakan perkembangan pesat hubungan Amerika dengan Damsyik.

Langkah itu menyusuli pengumuman Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenai penggantungan sekatan ke atas negara tersebut, serta pertemuannya dengan Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa.

“Syria dan Israel adalah masalah yang boleh diselesaikan. Namun ia (perlu) bermula dengan satu dialog,” kata Encik Barrack kepada wartawan di Damsyik.

“Saya rasa kita perlu mulakan dengan perjanjian tidak menyerang (antara satu sama lain), berbincang tentang sempadan dan batasan.”

Encik Barrack juga berkata Amerika tidak lagi menganggap Syria sebagai negara penyokong pengganasan, dengan alasan hal itu telah “berakhir dengan tamatnya rejim Assad,” namun Kongres telah menetapkan tempoh semakan enam bulan. Beliau merujuk kepada bekas presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.

“Hasrat Amerika dan visi presiden (Trump) ialah kita perlu memberi peluang kepada pemerintah baru ini dengan tidak campur tangan, tidak meletakkan syarat, dan tidak memaksa budaya kita ke atas budaya mereka,” jelas Encik Barrack.

Encik Sharaa sedang mengubah hala tuju negara itu yang selama lebih lima dekad dikuasai keluarga Assad, yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran serta Russia, dan hubungan tegang dengan negara Barat.

Syria telah lama menjadi kawasan utama dalam konflik Arab-Israel, dengan Israel menduduki Bukit Golan milik Syria sejak perang 1967. 

Selepas kejatuhan bekas Presiden al-Assad pada Disember 2024, Israel merampas lebih banyak wilayah Syria di zon sempadan, atas alasan bimbang terhadap kaitan penguasa baru Syria itu dengan kumpulan militan.

Menurut laporan Reuters pada 27 Mei, pegawai Israel dan Syria sedang berhubung secara langsung, setelah mengadakan pertemuan bersemuka bagi meredakan ketegangan dan mengelakkan konflik di sempadan.

Encik Trump telah menggesa Encik Sharaa agar memulihkan hubungan negara itu dengan Israel, ketika mereka mengadakan pertemuan di Riyadh pada awal Mei.

Encik Barrack, yang juga duta Amerika ke Turkey, dilantik sebagai utusan Amerika ke Syria pada 23 Mei.

Amerika menutup kedutaannya di Damsyik pada Februari 2012, selepas bantahan terhadap Encik Assad berkembang menjadi perang yang berlarutan lebih sedekad.

Mantan duta Amerika ke Syria, Encik Robert Ford, meninggalkan negara itu sebelum penutupan kedutaan tersebut.

Sejak itu, utusan Amerika bagi Syria beroperasi dari luar negara tanpa melawat ibu kota tersebut.

Perang selama 14 tahun itu telah mengorbankan ratusan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk melarikan diri dari Syria, dan menyaksikan negara Barat mengenakan sekatan serta memutuskan hubungan dengan Encik Assad, yang kekal berkuasa dengan sokongan Iran dan Russia. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg