Topik diikuti
Pergi ke BHkuEkonomi Iran beralih arah, papar daya tahan negara di tengah sekatan
Ekonomi Iran beralih arah, papar daya tahan negara di tengah sekatan
Perubahan paling ketara tumpuan dagang ke Asia, khususnya China yang muncul sebagai rakan dagang utama Iran
Ekonomi Iran beralih arah, papar daya tahan negara di tengah sekatan
TEHERAN: Selama hampir lima dekad, Iran berdepan tekanan sekatan ekonomi antarabangsa yang ketat.
Namun, negara itu terus menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri dengan mengubah struktur ekonominya daripada bergantung kepada minyak kepada model yang lebih pelbagai dan kompleks.
Perkembangan itu bukan sahaja mencerminkan daya tahan ekonomi Iran, malah memberi gambaran penting tentang bagaimana negara itu mampu bertahan dalam tekanan geopolitik yang berpanjangan, termasuk konflik terkini dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Sekatan yang dikenakan oleh Amerika, Kesatuan Eropah (EU), Britain dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak beberapa dekad lalu bertujuan melumpuhkan ekonomi Iran, khususnya melalui sekatan terhadap eksport minyak dan akses kepada sistem kewangan sejagat.
Namun, realiti menunjukkan walaupun sekatan melemahkan ekonomi Iran, ia tidak berjaya memusnahkan Teheran sepenuhnya.
Menurut analisis terkini, Iran masih menjalankan perdagangan dengan lebih 170 negara sejak 2019, walaupun berdepan inflasi tinggi, pengangguran dan ketidakstabilan sosial.
Keupayaan itu menunjukkan Iran bukan sahaja bertahan, bahkan menyesuaikan strategi ekonominya bagi mengelakkan kesan sekatan.
Ketua Eksekutif, Yayasan Bursa & Bazar yang berpangkalan di London, Encik Esfandyar Batmanghelidj, menjelaskan bahawa tanggapan umum mengenai pengasingan menyeluruh terhadap Iran adalah tidak tepat.
“Ramai menjangka sekatan akan memutuskan Iran daripada perdagangan sejagat, tetapi ia tidak berlaku sepenuhnya.
“Sebaliknya, perdagangan Iran menjadi lebih kompleks sebagai tindak balas terhadap sekatan,” katanya.
Peralihan Strategik Ke Asia dan China
Perubahan paling ketara dalam strategi ekonomi Iran ialah peralihan tumpuan perdagangan ke Asia, khususnya China.
Dalam tempoh dua dekad lalu, China muncul sebagai rakan dagang utama Iran, mengambil alih peranan yang sebelum ini dimainkan oleh negara Barat.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, China membeli kira-kira 90 peratus eksport minyak Iran pada 2024.
Selain itu, China turut menyumbang sekitar satu perempat eksport bukan minyak Iran antara 2019 dengan 2024, termasuk bahan kimia dan logam.
Hubungan itu melangkaui perdagangan konvensional.
Kedua-dua negara turut menggunakan sistem pembayaran alternatif seperti mata wang yuan bagi mengelakkan penggunaan dolar Amerika, sekali gus mengelak sekatan kewangan.
Malah, terdapat juga sistem barter – perdagangan dengan cara saling menukar barang – yang menyaksikan Iran membekalkan minyak sebagai balasan kepada pembangunan prasarana seperti lapangan terbang dan projek pembinaan oleh syarikat China.
Model itu mencerminkan bagaimana Iran membina ekosistem ekonomi selari di luar sistem kewangan sejagat yang dikuasai Barat, sekali gus mengurangkan keberkesanan sekatan.
Daripada Minyak ke Pelbagai Sektor
Dua dekad lalu, hampir 80 peratus eksport Iran bergantung kepada petroleum.
Namun, tekanan sekatan telah memaksa negara itu mempelbagaikan sumber pendapatan.
Data menunjukkan sejak 2019, Iran mengeksport lebih AS$120 bilion ($152 bilion) barangan bukan petroleum, termasuk bahan binaan, produk makanan, logam, bahan kimia dan tekstil.
Negara seperti Turkey, Iraq dan China kini menjadi pasaran utama bagi eksport bukan minyak Iran.
Pengarah Akademik di Pusat Perniagaan Global, Universiti Maryland, Dr Kislaya Prasad, berkata Iran telah mengambil pendekatan proaktif untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Mereka telah melakukan usaha berterusan untuk menjadi lebih berdikari, terutama dalam sektor pengilangan dan pengeluaran domestik,” katanya.
Iran kini mempunyai sektor pengilangan yang meluas, merangkumi industri automotif, keluli, elektronik dan farmaseutikal, selain pengeluaran makanan dalam skala besar.
Namun, usaha itu masih berdepan cabaran kerana sekatan menyukarkan akses kepada teknologi, mesin dan alat ganti yang diperlukan.
Satu lagi strategi penting ialah penggunaan rangkaian perdagangan tidak formal untuk mengelakkan sekatan.
Ia termasuk penggunaan syarikat proksi, laluan perdagangan alternatif dan sistem kewangan tidak rasmi bagi menyembunyikan identiti sebenar transaksi.
Encik Sebastian Bustos dari organisasi penyelidikan pelbagai disiplin termasuk ekonomi, Harvard Growth Lab, menjelaskan bahawa data perdagangan sejagat kerap tidak menggambarkan keadaan sebenar, khususnya bagi negara yang dikenakan sekatan.
“Ramai menganggap data perdagangan sangat tepat kerana ia dicatat di pelabuhan, tetapi hakikatnya data sejagat sering tidak lengkap, terutama bagi negara yang berdepan sekatan,” katanya.
Ini bermakna kegiatan ekonomi Iran mungkin jauh lebih besar daripada angka rasmi yang dilaporkan.
Kesan Konflik Terhadap Ekonomi
Walaupun Iran berjaya menyesuaikan diri dengan sekatan, konflik semasa dengan Amerika dan Israel membawa cabaran baharu yang lebih serius.
Serangan udara telah merosakkan prasarana penting seperti loji tenaga, sistem pengangkutan, kilang dan institusi pendidikan.
Selain itu, tindakan Iran mengawal laluan di Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi sejagat, malah, turut menjejas keupayaan Iran sendiri untuk berdagang.
Jika konflik berterusan dan gencatan senjata gagal dipertahankan, pemulihan ekonomi Iran boleh mengambil masa bertahun-tahun, malah mungkin berdekad.
Walaupun Iran menunjukkan daya ketahanan ekonomi yang luar biasa, masa depan ekonominya masih bergantung kepada status sekatan antarabangsa.
Teheran secara tekal menegaskan bahawa penghapusan sekatan adalah syarat utama dalam sebarang perjanjian damai.
Tanpa kelonggaran sekatan, usaha membina semula ekonomi akan menjadi lebih perlahan dan sukar, terutama dalam menyediakan barangan asas dan memulihkan prasarana yang rosak.
Namun, Iran juga menunjukkan ia mempunyai keupayaan untuk memberi kesan kepada ekonomi sejagat, terutama melalui kawalan ke atas Selat Hormuz.
Ini memberi Teheran kelebihan strategik dalam rundingan antarabangsa.
Pengalaman Iran menunjukkan bahawa sekatan ekonomi tidak semestinya mampu melumpuhkan sesebuah negara sepenuhnya.
Sebaliknya, ia boleh mendorong perubahan struktur ekonomi dan penciptaan jaringan perdagangan alternatif yang lebih kompleks.
Namun, daya ketahanan itu mempunyai had.
Tanpa kestabilan politik, akses kepada teknologi dan pelaburan, serta kelonggaran sekatan, ekonomi Iran akan terus berdepan tekanan jangka panjang.
Seperti yang dirumuskan oleh Encik Batmanghelidj, “Sekatan mungkin melemahkan ekonomi Iran, tetapi ia tidak mematahkannya.” – Agensi berita.
“
“Ramai menjangka sekatan akan memutuskan Iran daripada perdagangan sejagat, tetapi ia tidak berlaku. Sebaliknya, perdagangan Iran menjadi lebih kompleks sebagai tindak balas terhadap sekatan... Sekatan mungkin melemahkan ekonomi Iran, tetapi ia tidak mematahkannya.”“
“Mereka (Iran) telah melakukan usaha berterusan untuk menjadi lebih berdikari, terutama dalam sektor pengilangan dan pengeluaran domestik.