DUBAI: Lawatan rasmi pertama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi penggal keduanya ke Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar awal Mei lalu menandakan bukan sahaja pemerkasaan semula hubungan strategik Amerika Syarikat dengan negara Teluk.
Bahkan, ia turut menyerlahkan peluasan pantas empayar perniagaan keluarga Encik Trump di rantau yang kaya dengan minyak dan aset kewangan.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mendalam tentang di manakah garis pemisah antara kepentingan komersial peribadi dengan pelaksanaan dasar luar sebuah kuasa besar.
Sejak meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021, Encik Trump dan keluarga termasuk dua anak lelakinya, Eric dan Donald Jr. serta menantunya, Encik Jared Kushner, dilapor giat menandatangani perjanjian hartanah, pelaburan teknologi, lapangan golf dan kini mata wang kripto merentasi Teluk.
Daripada resort bernilai setengah bilion dolar di Oman hingga menara kembar di Jeddah dan Riyadh, rangkaian projek itu memberi pulangan lumayan melalui mekanisme pelesenan jenama ‘Trump’ dan ekuiti langsung.
Menurut firma audit Deloitte, nilai aset dana kekayaan negara (SWF) Teluk dianggar mencecah AS$5 trilion ($6.42 trilion).
Sementara itu, firma perunding ekonomi, Gulf Analytics, menganggarkan sekitar 4 peratus daripada keseluruhan transaksi hartanah komersial bukan berkaitan minyak di rantau tersebut sejak 2024 mempunyai kaitan dengan entiti milik keluarga Encik Trump atau sekutu rapatnya.
Walaupun angka tersebut tampak kecil secara peratusan, ia mewakili tumpuan geografi yang luar biasa bagi sebuah syarikat yang sebelum ini banyak bergantung pada pasaran domestik Amerika.
Encik Michael Wahid Hanna, Pengarah Program Amerika Syarikat,di International Crisis Group – organisasi bebas yang berusaha mencegah peperangan dan membentuk dasar bagi membina dunia lebih aman – menyifatkan fenomena itu sebagai “transaksionalisme teras” dalam interaksi Encik Trump dengan para pemimpin Teluk.
Model perniagaan Encik Trump sejajar dengan budaya rundingan perniagaan agresif yang menjadi amalan di negara Teluk.
“Mereka berkongsi bahasa pelaburan yang sama, jaringan peribadi yang kukuh, serta keutamaan terhadap aliran tunai pantas,” kata Encik Wahid Hanna.
Kenyataan itu memperkukuh tanggapan bahawa motif ekonomi dan hubungan peribadi berpadu erat dalam pembentukan dasar.
Ironinya, semasa lawatan yang sama, pentadbiran Encik Trump, mengumumkan pakej pelaburan bernilai kira-kira AS$2 trilion dalam bidang pertahanan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data tenaga tinggi di UAE.
Langkah itu bertujuan memperkukuh kedudukan Washington dalam persaingan AI sejagat menentang China.
Namun secara tidak langsung akan menambah keterlihatan jenama Encik Trump melalui persidangan perniagaan, hak penamaan hotel dan acara golf tajaan LIV Golf – liga yang dibiayai Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, rakan niaga utama Encik Trump selepas kemelut Capitol Hill 6 Januari 2021 menyebabkan PGA Tour, meletak jarak.
Persilangan antara kepentingan negara dengan pelaburan keluarga semakin jelas apabila Encik Kushner, mantan Penasihat Kanan Presiden yang juga Arkitek Perjanjian Abraham, memperoleh komitmen modal bernilai AS$2 bilion daripada PIF bagi dana pelaburannya, Affinity Partners.
Tidak lama selepas itu, Lunate yang disokong SWF Abu Dhabi menambah AS$1.5 bilion, menjadikan jumlah aset di bawah pengurusan Affinity mencecah AS$4.8 bilion.
Pada masa yang sama, Affinity melabur dalam syarikat teknologi Israel, mewujudkan rangkaian kepentingan merentas tiga blok iaitu Teluk, Israel dan Amerika.
Naib Presiden Institut Timur Tegah berpusat di Washington, Encik Paul salem, menjelaskan:
“Bagi negara Teluk, menawarkan akses komersial kepada keluarga Trump dianggap sebagai ‘insurans diplomatik’.
“Mereka memperoleh laluan pantas dalam rundingan pertahanan Amerika sementara firma Trump menikmati modal murah dan pasaran premium.”
Menurutnya, kestabilan keselamatan yang dijamin Washington masih belum dapat ditandingi Beijing, sekali gus mengukuhkan pragmatisme Teluk.
Bagaimanapun, pengkritik di Washington menyifatkan keadaan itu sebagai percanggahan kepentingan secara terang-terangan.
Cik Meghan Faulkner, daripada Warga Prihatin terhadap Tanggungjawab dan Etika, di Washington berpendapat:
“Rakyat Amerika tidak sepatutnya dibiarkan tertanya-tanya sama ada keputusan dasar luar diambil untuk kepentingan nasional atau demi keuntungan peribadi Presiden.”
Kebimbangan tersebut kian ketara apabila Rumah Putih enggan mengesahkan sama ada Presiden telah melepaskan kepentingan ekonominya dalam syarikat miliknya atau aset Encik Trump hanya dipindahkan ke dalam sebuah amanah yang dikendalikan oleh anak-anaknya.
Isu etika bertambah rumit selepas Encik Trump mengumumkan kerjasama kripto baru, World Liberty Financial, yang dilaporkan dikuasai 60 peratus oleh beliau dan anak-anaknya.
Syarikat itu melancarkan stablecoin AS$1, yang kemudian digunakan firma, AI Abu Dhabi, MGX, untuk melabur AS$2 bilion dalam bursa kripto Binance.
Pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa hari sebelum Rumah Putih memeterai pelan menjadikan UAE pusat data besar untuk AI berasaskan tenaga murah – satu kebetulan waktu yang sukar diabaikan.
Parti Demokrat di Kongres lantas menuntut siasatan Jawatankuasa Etika, manakala Parti Republikan memilih pendekatan ‘tunggu dan lihat’.
Speaker Dewan Perwakilan, Encik Mike Johnson, menegaskan: “Presiden Trump telus sepenuhnya.”
Sebaliknya, Senator Ted Cruz, memberi peringatan bahawa hadiah jet mewah dari Qatar yang katanya bakal disumbangkan kepada Yayasan Perpustakaan Presiden mungkin mencetuskan isu keselamatan perisikan sekiranya tidak diteliti.
Kebergantungan kepada logik pulangan kewangan peribadi berpotensi mengubah hierarki keutamaan dasar.
Contohnya, agenda menekan Iran melalui kempen, “tekanan maksimum”, pada penggal pertama Encik Trump seiring pula dengan peningkatan penjualan senjata kepada Arab Saudi dan Amiriah – negara sama yang kini menaja projek hartanah mewah keluarga Encik Trump.
Encik Wahid Hanna menegaskan: “Apabila jaringan komersial bertindih dengan hubungan diplomasi tinggi, ia mencipta laluan akses luar protokol rasmi.
“Kini hal itu dianggap normal, bukan lagi menimbulkan kejutan seperti sedekad lalu.”
Dari sisi Teluk, corak hubungan itu disifatkan sebagai saling menguntungkan dan pelabur Teluk menikmati rangka perundangan Amerika yang ketat sekali gus menerusi ‘pintu belakang’ ke Rumah Putih.
Sementara itu, Encik Trump meraih kelebihan politik dalam negeri melalui mewujudkan pekerjaan dan pelaburan yang boleh dijadikan bukti kepada para penyokongnya.
Namun keuntungan jangka pendek itu mungkin membawa kos jangka panjang terhadap kewibawaan institusi tadbir urus Amerika.
Perkembangan terakhir di Gaza, Lebanon, rundingan nuklear Iran dan konflik Israel-Iran menunjukkan dasar Timur Tengah-Amerika tidak boleh diukur semata-mata melalui lensa ekonomi.
Konflik berterusan menuntut keutamaan keselamatan yang boleh berselisih dengan kepentingan perniagaan.
“Terlalu sukar untuk menyatakan agenda komersial semata-mata boleh mengatasi realiti konflik mendalam rantau ini.
“Bayang-bayang konflik kepentingan akan kekal mewarnai setiap kunjungan diplomatik dan setiap perjanjian komersial yang menggunakan nama ‘Trump’ di Timur Tengah” tegas Encik Wahid Hanna. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg