Topik diikuti
Pergi ke BHkuEra politik Islam kian tercabar
Era politik Islam kian tercabar
Kajian Barometer Arab dapati majoriti rakyat di beberapa negara Arab percaya agama sepatutnya urusan peribadi dan tidak terlalu mencampuri kehidupan sosioekonomi negara
Era politik Islam kian tercabar
TEHERAN: Selama hampir setengah abad, politik Islam pernah dilihat sebagai jawapan kepada pelbagai krisis yang melanda dunia Islam.
Ia menjanjikan pemerintahan bersih, keadilan sosial, kebangkitan umat serta pembebasan daripada pengaruh Barat dan pemerintah autoritarian.
Bagi jutaan umat Islam, agama bukan sekadar urusan ibadah, malah, sistem lengkap yang boleh mengatur politik, ekonomi dan masyarakat.
Ini terutama selepas era penjajahan Barat dan kebangkitan pemerintah autoritarian di dunia Arab, politik Islam dilihat sebagai alternatif kepada sistem sekular yang dianggap gagal membawa kemakmuran dan keadilan.
Dalam suasana negara Arab bergelut dengan rasuah, kemiskinan dan pemerintahan diktator, gerakan Islamis muncul membawa mesej bahawa “Islam adalah penyelesaian”.
Idea itu menyaksikan momentum besar selepas Revolusi Iran 1979 yang menggulingkan Shah Iran dan membawa Ayatollah Ruhollah Khomeini ke tampuk kuasa.
Ayatollah Khomeini ketika itu menjanjikan sebuah negara Islam moden yang bebas daripada pengaruh Barat dan menjadi contoh kepada seluruh umat Islam.
“Kita mesti berusaha mengeksport revolusi ini ke seluruh dunia,” katanya selepas revolusi berjaya.
Bagi penyokong politik Islam, kejayaan Iran membuktikan agama boleh menjadi asas pemerintahan moden.
Banyak negara majoriti Muslim menjadikan Al-Quran sebagai antara sumber utama perundangan negara.
Arab Saudi, Pakistan dan Afghanistan secara rasmi menegaskan identiti pemerintahan Islam dalam sistem politik masing-masing.
Pada masa sama, parti Islam di negara seperti Iraq, Lebanon, Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Turkey menggunakan saluran politik untuk memperjuangkan dasar yang diinspirasikan oleh ajaran agama.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, muncul pelbagai usaha baharu untuk menggabungkan Islam dengan politik di Asia Barat.
Pemerintah, parti politik dan kumpulan bersenjata di rantau itu cuba meraih kuasa dengan janji bahawa penghayatan Islam yang lebih mendalam mampu membawa pemerintahan yang lebih adil, bersih dan berintegriti.
Percubaan menggabungkan Islam dan politik sebenarnya sudah wujud sejak agama itu muncul di Semenanjung Arab pada abad ketujuh.
Menjelang abad ke-16, amiriah, kesultanan dan pelbagai kerajaan yang berteraskan Islam telah memerintah atau berkembang maju di kawasan luas dari Sepanyol moden hingga ke benua kecil India serta sebahagian Afrika.
Namun, kemunculan negara bangsa moden pada abad ke-20 mengubah peta politik dunia Islam.
Kuasa pemenang Perang Dunia Pertama memecahkan Empayar Uthmaniyah, manakala pusat empayar itu kemudian menjadi Turkey moden – republik sekular yang memansuhkan sistem khalifah pada 1924.
Sejak itu, sistem republik dan monarki mula menguasai dunia Islam, termasuk beberapa negara yang masih mengekalkan undang-undang berinspirasikan Islam dalam pemerintahan mereka.
Revolusi ubah politik Asia Barat
Revolusi Iran menjadi titik perubahan besar dalam sejarah politik moden Asia Barat.
Sebelum itu, kebanyakan negara Arab dan Muslim diperintah sistem sekular, monarki atau pemerintah tentera yang rapat dengan Barat.
Kejayaan Iran memberi inspirasi kepada pelbagai gerakan Islamis di seluruh dunia Islam.
Iran bukan sahaja membina sistem pemerintahan agamawan, malah berjaya mempertahankan negara walaupun berdepan sekatan ekonomi, tekanan diplomatik dan ancaman ketenteraan selama beberapa dekad.
Teheran juga membina pengaruh besar di rantau itu melalui kumpulan sekutu seperti Hezbollah di Lebanon, Hamas di Gaza dan Houthi di Yaman.
Bagi ramai penyokongnya, Iran menjadi lambang penentangan terhadap dominasi Amerika Syarikat dan Israel di Asia Barat.
Namun, ramai rakyat Iran semakin kecewa dengan pemerintahan agamawan yang dianggap terlalu tegar dan menekan kebebasan rakyat.
Golongan muda khususnya mula mempersoalkan sekatan sosial, masalah ekonomi dan kawalan moral yang ketat.
Gelombang bantahan besar berlaku beberapa kali sejak dua dekad lalu, termasuk tunjuk perasaan berkaitan hak wanita dan kebebasan individu.
Sarjana Iran di Universiti Duke, Encik Mohsen Kadivar, berkata banyak janji revolusi akhirnya gagal dipenuhi.
“Republik Islam gagal membawa kebebasan dan keadilan seperti yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
Walaupun begitu, beliau mengakui pemerintah Iran masih berjaya mengekalkan satu agenda utama politik Islam – penentangan terhadap Israel dan pengaruh Barat.
Imej ‘Arab Spring’ tercalar
Kebangkitan ‘Arab Spring’ pada 2011 memberi nafas baharu kepada gerakan politik Islam.
Apabila rakyat Tunisia, Mesir, Libya dan Syria bangkit menentang pemerintah autoritarian, kumpulan Islam muncul sebagai kuasa politik paling tersusun.
Di Mesir, Ikhwanul Muslimin memenangi pilihan raya pertama selepas kejatuhan Encik Hosni Mubarak.
Encik Mohamed Mursi menjadi presiden pertama dipilih secara demokratik dalam sejarah moden negara itu.
Kemenangan itu mencetuskan keyakinan bahawa politik Islam mampu bergerak melalui demokrasi dan bukannya keganasan.
Namun, tempoh itu sangat singkat.
Pemerintahan Encik Mohamed Mursi hanya bertahan kira-kira setahun sebelum digulingkan tentera pada 2013.
Penentang menuduh beliau gagal memerintah secara terangkum dan cuba memperluas pengaruh politik kumpulan Islam.
Tentera kemudian mengambil alih kuasa sebelum Encik Abdel Fattah al-Sisi menjadi presiden baharu Mesir.
Hari ini Mesir kembali diperintah secara autoritarian dan Ikhwanul Muslimin diharamkan.
Keadaan hampir sama berlaku di Tunisia.
Parti Islam Ennahda pada awalnya dianggap modelpolitik Islam sederhana yang demokratik.
Namun, masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik menyebabkan sokongan rakyat semakin merosot.
Presiden Tunisia, Encik Kais Saied, kemudian mengambil alih lebih banyak kuasa dan melemahkan institusi demokrasi negara itu.
Kegagalan Mesir dan Tunisia memberi kesan besar kepada persepsi rakyat terhadap politik Islam.
Ramai mula mempersoalkan sama ada gerakan Islamis benar-benar mampu mentadbir negara moden dengan berkesan.
ISIS dan Al-Qaeda rosak imej politik Islam
Selain kegagalan politik, imej politik Islam turut rosak akibat kebangkitan kumpulan radikal seperti Al-Qaeda dan ISIS.
Cubaan Osama bin Laden melancarkan perang besar terhadap Amerika selepas serangan 11 September akhirnya gagal.
Kemudian ISIS muncul dengan pengganasan lebih ekstrem apabila mengisytiharkan ‘khalifah’ di Syria dan Iraq.
Kumpulan itu memaparkan hukuman bunuh, peperangan dan pengganasan secara terbuka sehingga mencetuskan ketakutan di seluruh dunia.
Profesor Faisal Devji dari Universiti Oxford berkata kemunculan ISIS dan Al-Qaeda menyebabkan ramai umat Islam mula menilai semula idea politik Islam.
“Kemunculan Al-Qaeda dan ISIS menyebabkan berlaku penilaian semula besar-besaran mengenai bagaimana politik Islam sepatutnya dilaksanakan,” kata beliau.
Menurutnya, ramai umat Islam mula menjauhkan diri daripada idea pemerintahan agama yang tegar dan radikal.
Dunia Arab lebih pragmatik
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, banyak negara Asia Barat mula mengubah pendekatan politik mereka.
Di Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengurangkan pengaruh golongan ulama konservatif sambil memperkenalkan identiti nasional Saudi yang lebih moden.
Jika dahulu polis agama mengawal ketat kehidupan awam, kini kerajaan memberi tumpuan pada pelancongan, hiburan dan ekonomi.
Wanita Saudi kini dibenarkan memandu, menghadiri konsert dan bekerja dalam lebih banyak sektor.
Kerajaan Saudi juga semakin menonjolkan nasionalisme Saudi berbanding retorik Islam konservatif.
Perubahan sama berlaku di Syria.
Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, yang dahulu pernah bercakap mengenai penubuhan negara Islam, kini lebih menampilkan imej pemimpin pragmatik dan moden.
Beliau memakai sut, bertemu pemimpin Barat dan cuba menarik pelaburan asing.
Ramai pemerhati melihat perubahan itu sebagai bukti bahawa cogan kata politik Islam tidak lagi mempunyai daya tarikan seperti dahulu.
Generasi muda Muslim mula memisahkan agama dan politik
Perubahan paling besar mungkin berlaku dalam kalangan generasi muda Muslim.
Ramai anak muda hari ini masih berpegang kepada nilai dan ajaran Islam tetapi tidak semestinya mahu agama dijadikan asas utama pemerintahan negara.
Kajian Barometer Arab mendapati majoriti rakyat di beberapa negara Arab percaya agama sepatutnya menjadi urusan peribadi dan tidak terlalu mencampuri kehidupan sosioekonomi negara.
Tinjauan yang dijalankan di negara seperti Mesir, Jordan, Maghribi, Iraq, Lebanon dan Tunisia menunjukkan ramai responden mahukan pemisahan lebih jelas antara institusi agama dan kuasa politik, terutama selepas pengalaman panjang berdepan ketidakstabilan, konflik dan kegagalan pemerintahan.
Walaupun masyarakat di rantau itu masih kuat berpegang kepada Islam sebagai identiti dan cara hidup, ramai rakyat khususnya generasi muda kini lebih memberi perhatian kepada isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, kebebasan individu dan kestabilan ekonomi berbanding cogan kata ideologi agama.
Kajian itu turut menunjukkan hanya sebahagian kecil responden benar-benar mahu ulama mempunyai pengaruh besar dalam menentukan dasar negara, manakala majoriti percaya amalan agama sepatutnya kekal sebagai pilihan dan tanggungjawab peribadi setiap individu.
Profesor politik Asia Barat di Universiti New York Abu Dhabi, Profesor Monica Marks, berkata ini tidak bermaksud masyarakat Muslim menjadi sekular sepenuhnya.
Sebaliknya, ramai mula memisahkan identiti agama daripada kuasa politik.
Beliau berkata generasi muda kini lebih memberi perhatian kepada isu ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kebebasan individu.
“Setiap kali orang menganggap dunia sudah memasuki era pasca politik Islam, mereka sebenarnya silap,” katanya.
Menurut beliau, politik Islam mungkin berubah bentuk, tetapi belum benar-benar hilang.
Politik Islam sedang berubah
Walaupun pengaruh politik Islam semakin lemah, ramai pemerhati percaya ia belum terkubur sepenuhnya.
Selagi masalah rasuah, kemiskinan dan penindasan terus berlaku di Asia Barat, gerakan berasaskan agama masih berpotensi bangkit semula.
Mantan menteri Mesir di bawah pemerintahan Encik Mursi, Encik Amr Darrag, berkata kumpulan Islam gagal bukan kerana rakyat menolak Islam, tetapi kerana mereka ditekan pemerintah autoritarian dan kuasa luar.
“Permainan itu tidak pernah adil sejak awal,” katanya.
Beliau percaya satu hari nanti akan muncul semula gelombang baharu politik Islam.
Gerakan Islam masa depan mungkin lebih pragmatik, nasionalis dan kurang ideologikal.
Ironinya, tekanan luar terhadap Iran mungkin membantu menghidupkan semula semangat politik Islam.
Perang dengan Amerika dan Israel memberi peluang kepada pemerintah Iran menonjolkan diri sebagai lambang penentangan terhadap kuasa asing.
Walaupun ramai rakyat Iran mengkritik pemerintah sendiri, sentimen nasionalisme dan anti-Barat sering meningkat apabila negara itu diserang.
Encik Mohsen berkata tindakan keras Amerika sebenarnya mengukuhkan kedudukan golongan tegar Iran.
“Golongan tegar di Iran kini menjadi lebih kuat dari sebelumnya. Ini adalah hadiah Donald Trump kepada Iran,” katanya.
Pemerhati percaya konflik Gaza dan perang Iran-Israel juga boleh melahirkan bentuk baharu politik Islam yang lebih berasaskan perjuangan nasional dan antipenjajahan berbanding agenda pemerintahan agama semata-mata.
Buat masa ini, Asia Barat sedang melalui perubahan besar.
Politik Islam tidak lagi menjadi kekuatan dominan seperti era 1980-an atau kebangkitan ‘Arab Spring’.
Namun, idea bahawa Islam boleh memainkan peranan dalam keadilan sosial, identiti nasional dan penentangan terhadap kuasa asing masih kekal hidup dalam sebahagian masyarakat Muslim.
Persoalan besar hari ini bukan sama ada politik Islam akan lenyap sepenuhnya, tetapi bagaimana ia akan berubah dalam dunia Islam moden yang kian kompleks dan pragmatik.
Mungkin era cogan kata revolusi Islam sudah semakin pudar.
Namun, pencarian dunia Islam terhadap keadilan, maruah dan kebebasan politik masih belum berakhir. – Agensi berita.
