ANKARA: Turkey merancang memodenkan semula laluan bersejarah Kereta Api Hejaz dan melanjutkannya sehingga Oman dalam usaha mewujudkan laluan perdagangan sejagat alternatif yang mampu mengurangkan kebergantungan pada Selat Hormuz.

Menteri Pengangkutan dan Prasarana Turkey, Encik Abdulkadir Uraloglu, berkata projek itu bukan sekadar usaha membangunkan rangkaian pengangkutan moden, malah langkah strategik untuk mengukuhkan pengaruh ekonomi dan geopolitik Turkey di Asia Barat.

Menurut beliau, fasa awal projek melibatkan sambungan laluan dari Turkey ke Aleppo di Syria menggunakan rangkaian rel sedia ada yang menghubungkan Aleppo, Damsyik dan Jordan.

“Kami mahu menghidupkan semula laluan bersejarah ini untuk pelancongan dan pengangkutan moden,” katanya kepada agensi berita Turkey, Anadolu.

Menurutnya, rundingan dengan Arab Saudi sedang diteruskan bagi menyambung laluan itu ke selatan Semenanjung Arab.

“Matlamat akhir kami ialah memanjangkan laluan ini sehingga Oman supaya dapat mencapai lautan. Ia akan menjadi alternatif strategik kepada laluan perdagangan melalui Selat Hormuz,” katanya.

Kurangkan kebergantung pada Selat Hormuz

Selat Hormuz merupakan antara laluan laut paling penting di dunia kerana hampir satu perlima perdagangan minyak dan gas sejagat melalui kawasan tersebut.

Namun, konflik berterusan antara Iran, Amerika Syarikat dengan Israel menyebabkan laluan itu sering menjadi kawasan berisiko tinggi.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan di Selat Hormuz sekali lagi meningkat apabila Iran menyekat sebahagian laluan kapal susulan konflik serantau.

Pemerhati melihat projek kereta api baharu Turkey itu sebagai usaha membina “laluan darat strategik” yang mampu mengurangkan risiko pergantungan pada laluan laut.

Selain perdagangan, projek itu turut dijangka mengubah hubungan ekonomi dan politik di Asia Barat.

Encik Uraloglu berkata projek tersebut akan menghubungkan Turkey dengan Jordan, Arab Saudi dan Oman sebelum akhirnya mencecah Laut Arab.

Jika berjaya direalisasikan, ia bakal membuka koridor perdagangan baharu dari Eropah ke Asia Barat tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada laluan maritim.

Dalam masa sama, Turkey turut mempercepat projek, Jalan Pembangunan Iraq, sepanjang 1,200 kilometer yang menghubungkan Teluk Basra di Iraq ke sempadan Turkey.

Projek mega itu merangkumi lebuh raya, landasan kereta api, rangkaian tenaga dan komunikasi.

Menurut Encik Uraloglu, fasa reka bentuk projek tersebut sudah selesai dan akan dibiayai menerusi kerjasama antarabangsa melibatkan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Iraq dan Turkey.

Bagaimanapun, beliau berkata pembinaan hanya akan dimulakan selepas keadaan rantau Asia Barat menjadi lebih stabil.

“Dari sudut perancangan, projek ini sudah siap dan mekanisme pembiayaan antarabangsa juga tersedia. Kami hanya menunggu suasana serantau yang lebih tenang,” katanya.

Turkey turut memberi tumpuan pada Koridor Zangezur yang dianggap komponen penting dalam ‘Koridor Tengah’ yang menghubungkan Eropah dan Asia Tengah.

Beliau berkata kerja pembinaan laluan kereta api sepanjang 224 kilometer di wilayah Turkey sudah bermula selepas proses tender dimuktamadkan.

Laluan itu akan menghubungkan Kars, Igdir, Aralik dan Dilucu sebelum bersambung ke Azerbaijan.

Menurutnya, Turkey turut memantau perkembangan laluan melalui Armenia bagi memastikan sambungan lebih pendek dan pantas ke dunia Turkik dan Asia Tengah.

Kebangkitan semula pengaruh Turkey

Penganalisis melihat projek prasarana besar-besaran Turkey sejak dua dekad lalu sebagai faktor utama yang mengubah negara itu daripada sekadar kuasa serantau kepada pusat logistik antarabangsa.

Pemerintah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sebelum ini memberi tumpuan besar pada pembangunan jalan raya, lapangan terbang, tenaga dan pengangkutan awam.

Antara projek yang pernah menerima kritikan hebat tetapi kini menjadi lambang kejayaan Turkey ialah Lapangan Terbang Istanbul dan terowong Marmaray yang menghubungkan Eropah dan Asia di bawah Selat Bosphorus.

Hari ini, Istanbul menjadi antara hab transit udara paling sibuk di dunia.

Penganalisis politik Turkey, Encik Ihsan Aktas, berkata pembangunan prasarana secara besar-besaran membolehkan Turkey membina pengaruh ekonomi dan geopolitik yang lebih luas.

“Apabila sebuah negara mempunyai rangkaian logistik, tenaga dan pengangkutan yang kukuh, negara jiran pasti mahu bekerjasama dengannya,” kata beliau.

Menurutnya, kebangkitan semula Kereta Api Hejaz mempunyai makna lebih besar daripada sekadar projek pengangkutan moden.

Laluan itu pada asalnya dibina semasa era Empayar Uthmaniyah di bawah Sultan Abdulhamid II dengan kerjasama Jerman bagi menghubungkan Istanbul ke Semenanjung Arab termasuk wilayah Hejaz.

Ketika itu, laluan tersebut bukan hanya untuk memudahkan jemaah haji, malah, sebagai koridor ketenteraan dan perdagangan strategik.

Kereta Api Hejaz yang menghubungkan Damsyik dan Amman ke Madinah di Arab Saudi dianggap antara simbol paling penting kreativiti dan keupayaan kejuruteraan Empayar Uthmaniyah dalam memudahkan perjalanan jemaah Islam.

Laluan kereta api itu merupakan antara yang tertua di Asia Barat dan dunia, dibina pada 1902 ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

Ubah landskap dagang dan geopolitik Asia Barat

Sebelum laluan tersebut dibuka, perjalanan jemaah haji ke Tanah Suci mengambil masa kira-kira tiga bulan merentasi padang pasir.

Dengan adanya kereta api itu, tempoh perjalanan berjaya dipendekkan pada hanya 54 jam.

Pengarah Yayasan Kereta Api Hejaz Jordan, Encik Salah al-Lozi, berkata laluan itu mempunyai hubungan sejarah yang rapat dengan Empayar Uthmaniyah dan Republik Turkey moden.

“Sejak awal pembinaannya, matlamat utama laluan ini adalah untuk menjimatkan masa dan tenaga jemaah haji,” katanya kepada Anadolu.

“Ia merupakan antara laluan kereta api tertua di Asia Barat dan dunia,” tambah beliau.

Walaupun laluan dari Jordan masih beroperasi, perkhidmatan melalui Syria terhenti akibat perang saudara yang berlarutan di negara itu.

Menurut Encik al-Lozi, perjanjian terbaru antara Jordan dengan Turkey turut merangkumi pembinaan sebuah muzium khas yang akan memaparkan sejarah pembinaan Kereta Api Hejaz serta gambar dan dokumen berkaitan projek bersejarah tersebut.

Perjanjian pembinaan muzium itu ditandatangani antara agensi Turkey, TIKA dan Yayasan Kereta Api Hejaz Jordan ketika lawatan mantan Perdana Menteri Turkey, Encik Ahmet Davutoglu, ke Jordan.

Penganalisis percaya jika projek moden itu berjaya dilaksanakan, ia boleh mengubah semula landskap perdagangan dan geopolitik Asia Barat.

Di tengah-tengah persaingan sejagat seperti Inisiatif Jalur dan Jalan China (Belt and Road Initiative), projek Kereta Api Hejaz moden dilihat sebagai usaha Turkey dan negara Arab membina semula jaringan ekonomi serantau berdasarkan kepentingan strategik mereka sendiri.

Dengan kekuatan kewangan Arab Saudi dan pengalaman Turkey dalam projek prasarana mega, ramai melihat projek itu bukan lagi sekadar nostalgia sejarah, malah, kemungkinan besar bakal menjadi realiti geopolitik baharu di Asia Barat. – Agensi berita.