KAHIRAH: Kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang fatwa di Mesir telah mencetuskan perdebatan hangat mengenai masa depan pengaruh agama tradisional, khususnya melibatkan institusi ilmiah Islam terbesar dan berpengaruh di Mesir, Al-Azhar Al-Sharif dan institusi rasmi lain seperti Dar al-Ifta.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada fatwa yang dihasilkan oleh algoritma mampu memberikan legitimasi kerohanian atau jika teknologi itu berisiko mengikis peranan ulama sebagai pengawal doktrin dan hukum Islam di Mesir.
Media berbahasa Inggeris, The Arab Weekly, melaporkan pada 17 Julai berhubung kebimbangan mendalam Al-Azhar terhadap peningkatan wadah fatwa berasaskan AI yang mampu memberikan jawapan segera tanpa melalui proses ijtihad dan syura yang dipimpin oleh mufti bertauliah.
Bagi sebahagian anggota masyarakat, khususnya generasi muda, kelebihan AI dilihat pada kelajuan keupayaannya memberikan jawapan dengan pantas, tekal, capaian tanpa sempadan dan dapat diakses tanpa batasan geografi.
Encik Imad Mohamed, 50 tahun, adalah antara individu yang beralih kepada AI untuk mendapatkan jawapan tentang hak mewariskan harta kepada anak perempuan tanpa pewaris lelaki.
Jawapan yang diterimanya: Tindakan itu dibenarkan oleh syariah.
“Orang beralih kepada AI kerana ulama sendiri berbeza pendapat tentang isu harian. Setiap soalan memberi jawapan berbeza bergantung kepada siapa yang kita tanya,” ujar beliau.
Al-Azhar dan Dar al-Ifta segera mengeluarkan amaran melarang penggunaan AI bagi tujuan fatwa, dengan menegaskan bahawa hukum agama memerlukan pengetahuan mendalam, konteks sosial dan disiplin fiqah yang ketat.
Profesor Perbandingan Fiqah di Universiti Al-Azhar, Dr Ahmed Karima, menegaskan:
“AI hanyalah mesin. Ia membuat kesilapan. Ia tidak memahami konteks manusia atau kerumitan syariah. Fatwa ialah hasil pemikiran manusia, bukan algoritma.”’
Pusat Pemantauan Fatwa Mesir pula memberi amaran bahawa penggunaan AI hanya menghasilkan “pengetahuan cetek” dan tidak menjamin kesahihan hukum.
Sebaliknya, pengkritik menuduh institusi agama bersikap memilih.
Mereka mempersoalkan mengapa ulama boleh memberikan fatwa pantas di televisyen atau media sosial tanpa penelitian panjang, tetapi mengkritik AI yang turut memberikan jawapan cepat dengan rujukan sumber klasik.
Seorang pengamat berkata: “Sering kali ulama berkata ‘Biar saya kaji, teliti dahulu’.
“Sebaliknya, AI sering memberikan pelbagai pandangan yang disokong alasan. Isu sebenar di sini bukan hanya ketepatan, tetapi soal kawalan.”
Saluran fatwa tradisional biasanya memerlukan kehadiran fizikal, panggilan telefon atau sesi soal jawab secara langsung.
Sebaliknya, AI menawarkan kerahsiaan identiti, kepantasan dan kepelbagaian pandangan – faktor yang menyebabkan sebahagian masyarakat menganggapnya sebagai pilihan yang lebih praktikal.
Ketegangan itu mencerminkan kegagalan institusi agama Mesir menyesuaikan diri dengan realiti digital.
Institusi Al-Azhar, Dar al-Ifta, dan Kementerian Wakaf Agama dikritik kerana lambat mengemas kini fatwa lama dan enggan melaksanakan reformasi yang lebih terbuka.
Menurut penganalisis undang-undang, Encik Karim Ezzat, fatwa tradisional memberi kestabilan.
“Kini orang ramai berasa kehilangan kepastian dalam mendapatkan panduan agama.
“Dalam konteks fatwa, AI mengisi ruang kosong yang ditinggalkan institusi yang dilihat tidak konsisten atau dipolitikkan,” kata beliau.
Bagi Al-Azhar, isu itu bukan sekadar tentang teknologi, malah tentang legitimasi.
Selama berabad-abad, institusi ini menjadi pengawal utama syariah di Mesir, membentuk norma keagamaan nasional dan memberi pengaruh besar di dunia Islam.
Kehadiran AI mencabar monopoli itu dengan menyediakan alternatif yang tidak tertakluk pada hierarki ulama, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai tafsiran yang mungkin tidak sejajar dengan garis panduan rasmi.
Fenomena itu turut memberi peluang kepada rangkaian seperti Ikhwanul Muslimin (GMB) untuk memanfaatkan wadah digital bagi menyebarkan tafsiran mereka.
Melalui institusi seperti Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa (IUMS) dan aplikasi seperti Euro Fatwa yang dibangunkan Majlis Eropah untuk Fatwa dan Penyelidikan, kelompok itu telah lama menggunakan teknologi untuk mengedarkan fatwa yang selari dengan agenda politik mereka, termasuk isu sensitif seperti hubungan antarabangsa, undang-undang keluarga, dan bantahan sosial.
Strategi itu membolehkan mereka memintas autoriti agama arus perdana seperti Al-Azhar, sambil menyaluti pandangan politik dengan bentuk panduan agama yang kelihatan sahih.
Al-Azhar sendiri telah mengeluarkan fatwa melarang keanggotaan Ikhwanul Muslimin, menuduh kumpulan itu memutarbelitkan doktrin agama dan melemahkan autoriti sah.
Namun, aplikasi dan wadah digital mereka terus berkembang, memanfaatkan ruang dalam talian yang semakin sukar dikawal oleh negara.
Kebolehan AI menghasilkan fatwa dengan cepat dan menyebarkannya secara meluas berpotensi memperkukuh rangkaian itu, terutama dalam kalangan diaspora Muslim yang mencari rujukan agama dalam talian.
Isu itu pada hakikatnya mempertemukan dua kerangka legitimasi iaitu tradisi ulama bertauliah dan keupayaan teknologi.
Bagi penyokong AI, ia “mendemokrasikan” ilmu agama dengan mengurangkan pergantungan pada institusi yang dianggap terlalu birokratik.
Namun, pengkritik melihat risiko pencerobohan epistemologi iaitu apabila pengetahuan agama terdedah pada tafsiran tanpa kawalan mutu atau pemahaman mendalam.
Kesilapan atau bias algoritma boleh membawa kepada fatwa yang bercanggah dengan maqasid syariah atau kepentingan umum.
Debat itu memberi isyarat jelas bahawa jika Al-Azhar dan institusi agama Mesir gagal menyatukan teknologi secara strategik sambil mengekalkan standard ilmiah dan autoriti moral, mereka berisiko semakin terpinggir.
Penyelesaian mungkin memerlukan model hibrid, apabila AI digunakan sebagai alat sokongan untuk ulama, bukan pengganti.
Dengan itu, kelajuan dan capaian teknologi dapat digabungkan dengan kebijaksanaan manusia yang memahami konteks sosial, sejarah dan budaya.
Seorang penganalisis menyimpulkan: “Apa yang berlaku bukan sekadar pertukaran teknologi, malah cabaran terhadap struktur autoriti agama itu sendiri.
“Sama ada institusi ini bertahan atau tidak bergantung pada keupayaan mereka untuk membuat penyesuaian tanpa mengorbankan legitimasi.”
Fatwa berasaskan AI kini menjadi medan ujian bagi keseimbangan antara tradisi dengan inovasi dalam Islam kontemporari di Mesir.
Ia bukan sahaja menguji kewibawaan Al-Azhar sebagai autoriti agama, bahkan mendedahkan bagaimana teknologi boleh menjadi alat bagi pihak politik seperti Ikhwanul Muslimin untuk memperluas pengaruh.
Di tengah kemelut itu, satu perkara menjadi jelas iaitu masyarakat Mesir semakin menuntut panduan agama yang cepat, tekal dan relevan.
Jika institusi agama gagal menjawab tuntutan itu, AI dengan segala kelebihan dan kelemahannya mungkin akan mengisi kekosongan tersebut sepenuhnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg