Kecerdasan buatan (AI) mempunyai potensi besar dalam membantu proses penyelidikan menghasilkan fatwa, kata Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Namun, beliau menekankan bahawa penggunaan AI tidak bermakna peranan Mufti atau Jawatankuasa Fatwa tidak lagi diperlukan.
Menyentuh tentang kepentingan memanfaatkan AI dalam penghasilan fatwa semasa ucapannya di Simposium Makmal Fatwa 2025 pada 23 Jun di hotel Fairmont Singapore, Dr Nazirudin berkata:
“Dalam menguruskan pengeluaran fatwa di Singapura, kami rasakan bahawa AI ada potensi untuk membantu dalam kajian, bukan untuk mengganti Mufti atau Jawatankuasa Fatwa, tetapi untuk membantu dalam kajian dalam erti kata mempercepatkan lagi proses kajian kerana isu-isu yang kita hadapi hari ini adalah isu-isu yang amat rumit, pelbagai dimensi.”
Menjelaskan lanjut, beliau berkata dalam melihat sesuatu masalah, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan.
Ini termasuk aspek sosiologi, kesihatan, teknologi dan sebagainya.
Oleh itu, AI membantu mengumpulkan maklumat berkaitan semua aspek ini semasa proses kajian dan membantu Jawatankuasa Fatwa menilai isu atau masalah baru dengan lebih menyeluruh.
Selain itu, penggunaan AI dapat mempercepat waktu kajian sebelum suatu fatwa itu dibentuk.
“Jika kita bandingkan dengan kajian tradisional... sebagai contoh, kita perlu merujuk kepada banyak penulisan kitab dan sumber-sumber maklumat. Kadangkala proses ini memakan masa yang begitu panjang.
“Kadangkala, mungkin terlepas pandang sesuatu aspek yang penting kerana kemampuan manusia secara semula jadi, kita mungkin tidak mampu untuk menggarap segala dimensi dan aspek sesuatu masalah.
“Jadi, AI membantu mengumpulkan segala dimensi tersebut tanpa membuat keputusan,” ujar Dr Nazirudin.
Dalam ucapannya, Mufti juga berkata keputusan untuk menggunakan AI bukanlah demi mengikuti trend terkini atau kerana ia tampak menarik.
“Tetapi kerana tugas dan amanah kita adalah untuk menyampaikan yang terbaik untuk ummah, dengan membuat persediaan sebaik mungkin untuk menangani masalah yang sukar dan kompleks,” tekan beliau.
Bahkan, penggunaan AI dalam kajian fatwa merupakan antara topik yang dibincangkan sebagai sebahagian inisiatif Makmal Fatwa.
Menurut kajian yang dilakukan penyelidik Makmal Fatwa, AI berpotensi mempercepat kajian fatwa dan meningkatkan sifat syumulnya.
Namun, bimbingan daripada ulama yang berkelayakan tetap penting meskipun AI bermanfaat dalam pembentukan fatwa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg