Topik diikuti
Pergi ke BHkuGabungan maritim Saudi dijangka ubah landskap keselamatan Laut Merah
RIYADH: Keputusan Arab Saudi menubuhkan gabungan maritim antarabangsa bagi melindungi laluan perkapalan di Laut Merah menandakan perubahan besar dalam strategi keselamatan Riyadh.
Jika sebelum ini kerajaan Arab Saudi lebih berhati-hati daripada terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan di perairan itu, kini ia memilih untuk mengetuai satu pakatan baharu ketika ancaman terhadap laluan perdagangan global semakin meningkat.
Langkah itu bukan sekadar tindak balas terhadap serangan kumpulan Houthi dari Yaman, malah mencerminkan kebimbangan bahawa keselamatan ekonomi Arab Saudi kini bergantung kepada kemampuan negara itu memastikan Laut Merah kekal terbuka kepada perdagangan antarabangsa.
Perkembangan ini berlaku ketika konflik di Asia Barat memasuki fasa baharu selepas perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran mengubah sepenuhnya peta logistik tenaga dunia.
Sebelum konflik itu tercetus, sebahagian besar eksport minyak Teluk melalui Selat Hormuz.
Namun, selepas Iran mengetatkan kawalan ke atas laluan berkenaan, Arab Saudi mengalihkan sebahagian besar eksport minyaknya melalui saluran paip darat ke Laut Merah sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.
Keadaan itu menjadikan Laut Merah dan Selat Bab el-Mandeb sebagai nadi baharu eksport minyak Saudi.
Apabila Houthi mengisytiharkan sekatan terhadap kapal Saudi yang melalui Laut Merah pada 20 Julai lalu, Riyadh bukan sahaja berdepan ancaman keselamatan, malah risiko besar terhadap sumber pendapatan utama negaranya.
Minyak masih menyumbang sebahagian besar hasil kerajaan Arab Saudi. Sebarang gangguan terhadap laluan eksport boleh menjejaskan pendapatan negara, projek pembangunan mega di bawah Wawasan 2030 serta kestabilan ekonomi domestik.
Atas sebab itu, pembentukan gabungan maritim bukan lagi dilihat sebagai pilihan, tetapi keperluan strategik.
Menurut Kementerian Pertahanan Arab Saudi, sekitar 50 negara telah dijemput menyertai gabungan itu, dengan 14 negara termasuk Turkey, Mesir, Pakistan, Nigeria serta beberapa negara Arab dan Afrika sudah menyatakan sokongan awal.
Pakatan itu akan berpusat di Arab Saudi dan memberi tumpuan kepada perkongsian risikan, latihan bersama serta operasi keselamatan maritim bagi melindungi laluan perdagangan antarabangsa.
Riyadh turut menegaskan gabungan itu bersifat defensif dan tidak disasarkan terhadap mana-mana negara tertentu.
Walaupun demikian, sasaran sebenar usaha itu sukar dipisahkan daripada ancaman Houthi yang semakin agresif di Laut Merah.
Sejak perang Gaza meletus pada 2023, Houthi menjadikan serangan terhadap kapal di Laut Merah sebagai sebahagian daripada sokongan mereka kepada Palestin.
Namun, selepas konflik Amerika-Israel dengan Iran tercetus tahun ini, tumpuan kumpulan itu berubah apabila mereka mula menyasarkan kepentingan Arab Saudi.
Kedudukan Houthi yang menguasai sebahagian besar kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb memberi mereka kelebihan strategik untuk melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap kapal yang melalui laluan berkenaan.
Agensi pemantauan maritim Windward melaporkan jumlah kapal Saudi dan kapal dagang lain yang melalui Selat Bab el-Mandeb sudah merosot kira-kira 20 peratus sejak sekatan diumumkan.
Penurunan itu memberi kesan bukan sahaja kepada eksport minyak Saudi, malah kepada rantaian bekalan global kerana Laut Merah merupakan laluan utama menuju Terusan Suez, yang menghubungkan Asia dengan Eropah.
Gangguan di dua laluan utama, iaitu Selat Hormuz dan Laut Merah, meningkatkan kos penghantaran, premium insurans maritim serta risiko kelewatan bekalan tenaga dan barangan ke pasaran dunia.
Dari sudut geopolitik, pembentukan gabungan baharu ini turut memperlihatkan perubahan pendekatan Riyadh terhadap keselamatan serantau.
Sebelum ini, Arab Saudi memilih untuk tidak menyertai secara terbuka Operasi Penjaga Kemakmuran, operasi keselamatan maritim yang diketuai Amerika bagi melindungi kapal di Laut Merah.
Keputusan itu dibuat kerana Riyadh ketika itu berusaha memperbaiki hubungan dengan Iran dan mengelakkan konfrontasi baharu dengan Houthi selepas perang Yaman yang berlarutan hampir sedekad.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila serangan terhadap kapal Saudi semakin meningkat, selain ancaman terhadap kemudahan minyak negara itu.
Malah, Arab Saudi baru-baru ini turut menyertai serangan udara bersama Amerika terhadap kumpulan militia yang disokong Iran di Iraq selepas beberapa kemudahan minyaknya menjadi sasaran.
Perkembangan itu menunjukkan Riyadh kini semakin bersedia mengambil pendekatan lebih tegas bagi melindungi kepentingan strategiknya.
Namun, kejayaan gabungan maritim baharu itu masih belum pasti.
Beberapa negara Barat termasuk Amerika dan negara Eropah dilaporkan masih berhati-hati untuk menyertainya kerana mahu mendapatkan penjelasan mengenai struktur operasi, skop tanggungjawab serta implikasi politik penyertaan mereka.
Tambahan pula, Kesatuan Eropah sudah mempunyai operasi keselamatan maritim sendiri di Laut Merah menerusi Aspides, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada gabungan baharu itu akan melengkapi atau bertindih dengan misi sedia ada.
Dari sudut ekonomi pula, Arab Saudi berdepan tekanan yang semakin meningkat.
Ekonomi negara itu menguncup 4.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan penyusutan aktiviti sektor minyak.
Gangguan berterusan terhadap eksport tenaga dijangka memberi tekanan lebih besar kepada usaha Riyadh mempelbagaikan ekonominya.
Sebagai langkah sementara, sebahagian kapal Saudi kini dialihkan ke laluan alternatif melalui Terusan Suez atau saluran paip lain.
Namun, laluan itu lebih panjang dan boleh menambah sehingga sebulan tempoh penghantaran minyak ke Asia, pasaran eksport terbesar Arab Saudi.
Pembentukan gabungan maritim baharu bukan sekadar langkah mempertahankan keselamatan pelayaran, tetapi mencerminkan perubahan besar dalam strategi keselamatan dan ekonomi Arab Saudi.
Sekiranya gabungan itu berjaya menarik lebih banyak penyertaan antarabangsa, ia berpotensi menjadi mekanisme keselamatan baharu di Laut Merah.
Namun, jika ancaman Houthi terus berlarutan dan konflik serantau gagal diredakan, Laut Merah berisiko menjadi satu lagi titik panas geopolitik yang bukan sahaja menjejas Asia Barat, malah memberi kesan langsung kepada perdagangan serta pasaran tenaga dunia. – Agensi berita.
