Gencatan senjata baru di Gaza: Mesir terima isyarat positif dari Israel
Gencatan senjata baru di Gaza: Mesir terima isyarat positif dari Israel
DOHA: Mesir, salah satu perantara utama dalam usaha menamatkan konflik di Gaza, menerima maklum balas positif dari Israel terhadap satu cadangan baru gencatan senjata yang sedang dirundingkan, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.
Cadangan tersebut termasuk pelaksanaan fasa peralihan dan perjanjian agar Hamas membebaskan lima tebusan Israel setiap minggu. Delegasi keselamatan dari Mesir dilaporkan telah berlepas ke Doha, Qatar, pada 27 Mac untuk meneruskan rundingan bersama wakil Hamas dan pihak Qatar.
Menurut saluran Al Qahera News yang dikaitkan dengan pemerintah Mesir, perbincangan juga akan merangkumi peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta pembebasan baki tebusan yang masih ditahan.
Konflik di Gaza kembali memuncak sejak 18 Mac lalu, selepas gencatan senjata selama dua bulan yang dimeterai pada Januari gagal diteruskan. Kedua-dua pihak Israel dan Hamas saling menuduh satu sama lain melanggar perjanjian yang memberi kelegaan sementara kepada 2.3 juta penduduk Gaza.
Dalam masa lebih seminggu selepas keganasan tercetus semula, serangan udara bertubi-tubi Israel telah meragut lebih 850 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.
Seorang sumber Palestin yang rapat dengan Hamas mendedahkan kepada AFP bahawa perbincangan di Doha tertumpu kepada pelaksanaan gencatan senjata menjelang sambutan Aidilfitri dan Paskah Yahudi. Perbincangan juga memberi tumpuan kepada usaha menjamin laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.
“Mesyuarat bermula petang ini antara delegasi Mesir yang mengetuai rundingan di Doha dan delegasi Hamas dalam usaha memperkukuh gencatan senjata,” kata sumber itu.
Tambah beliau, perantara dari Qatar juga memainkan peranan aktif. “Delegasi perantara mengadakan perbincangan intensif dengan semua pihak untuk beralih ke fasa kedua perjanjian.”
Hamas yang masih menahan 59 daripada lebih 250 tebusan dalam insiden 7 Oktober 2023 menyatakan kesediaan memberi maklum balas positif terhadap sebarang cadangan yang mampu menghentikan pertempuran.
Namun, seorang lagi sumber Palestin menegaskan bahawa belum ada kemajuan ketara dalam rundingan. “Perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata mungkin tercapai, tetapi kejayaannya bergantung kepada kelulusan Israel dan kesediaannya untuk membenarkan proses ini,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap cadangan terbaru itu. Seorang jurucakap pula mengesahkan bahawa tiada delegasi Israel berada di Doha ketika ini.
Israel menyatakan kesediaan untuk melanjutkan gencatan senjata sementara sekiranya Hamas melepaskan lebih ramai tebusan, namun menolak untuk terus ke fasa kedua rundingan yang melibatkan penamatan perang secara kekal. Israel juga menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima kehadiran Hamas di Gaza sebagai sebahagian daripada masa depan wilayah tersebut.
Cadangan untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata turut mendapat sokongan daripada utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff, yang kini terlibat secara langsung dalam usaha rundingan.
Sementara itu, ketegangan terus meningkat selepas Netanyahu mengancam akan merampas sebahagian wilayah Gaza sekiranya tebusan tidak dibebaskan.
Hamas pula memberi amaran keras bahawa tebusan hanya akan “dikembalikan dalam keranda” jika Israel meneruskan serangan. - Agensi berita

