Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas dakwa tumpaskan kumpulan bersenjata pro-Israel di Gaza

Oct 22, 2025 | 11:54 AM
radea, gaza, hamas
Hamas telah menubuhkan unit khas yang dinamakan Radea, yang bermaksud “pencegahan”, dengan tujuan untuk “menguatkuasakan ketenteraman dan undang-undang” di kawasan Gaza. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Kumpulan Hamas, mendakwa pasukan keselamatannya yang dikenali sebagai Radea telah “menumpaskan” sebuah kumpulan bersenjata di Gaza yang dituduh bekerjasama dengan Israel, sekali gus menandakan peningkatan ketegangan dalaman selepas gencatan senjata baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada 21 Oktober, Hamas berkata operasi itu dilancarkan pada awal pagi di selatan Jaluran Gaza dengan menumpukan sasaran terhadap kumpulan bersenjata yang diketuai oleh Yasser Abu Shabab.

“Pasukan keselamatan Radea telah berjaya menahan beberapa anggota kumpulan Angkatan Popular yang diketuai Abu Shabab dan merampas pelbagai peralatan ketenteraan serta alat yang digunakan dalam aktiviti subversif mereka,” menurut kenyataan itu.

Hamas menegaskan operasi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada “langkah pencegahan berterusan terhadap sarang pengkhianatan”.

Unit Radea, yang ditubuhkan sekitar akhir 2024 diambil daripada perkataan Arab bermaksud “pencegahan”, dan menurut Hamas, bertujuan “menguatkuasakan ketenteraman dan undang-undang” di kawasan Gaza yang kini bergolak.

Pertembungan antara Radea dengan kumpulan bersenjata lain dilaporkan tercetus beberapa hari lalu di kejiranan Shujaiya, Bandar Gaza melibatkan beberapa pasukan bersenjata termasuk kumpulan Abu Shabab.

Hamas menuduh kumpulan itu menjarah bantuan kemanusiaan dan menerima bekalan senjata daripada Israel.

Angkatan Popular yang diketuai Abu Shabab dikatakan mula beroperasi di Rafah, wilayah selatan Gaza, dan sebelum ini sering dikaitkan dengan kegiatan penyelewengan bantuan.

Pada Julai lalu, Abu Shabab secara terbuka mengaku kumpulannya boleh bergerak bebas di zon yang dikawal tentera Israel dan “berkomunikasi terlebih dahulu” sebelum menjalankan operasi mereka.

Kenyataan itu mengundang persoalan apabila pada Jun lalu, pihak berkuasa Israel sendiri mengakui telah menyalurkan senjata kepada kumpulan Palestin yang menentang Hamas, tanpa menamakan secara khusus kumpulan Abu Shabab.

Sejak gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada 10 Oktober, Hamas dilihat berusaha meneguhkan semula kuasanya ke atas Gaza yang musnah akibat perang.

Saluran televisyen rasmi Hamas sebelum ini menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan hukuman mati terhadap lapan individu yang dituduh sebagai “pengkhianat”, ditembak di hadapan khalayak ramai di jalan Bandar Gaza.

Seorang pegawai Hamas yang tidak dinamakan berkata tindakan keras ini perlu “untuk menegakkan undang-undang dan menghentikan pengkhianatan dalam kalangan rakyat sendiri”.

Namun, langkah tersebut dikritik beberapa kumpulan Palestin lain yang menuduh Hamas menggunakan alasan keselamatan bagi menghapuskan pesaing politiknya.

Dalam masa yang sama, muncul pula kumpulan bersenjata anti-Hamas yang beroperasi dari kawasan yang kini dikuasai Israel di Gaza.

Antara yang paling lantang ialah Angkatan Popular dan Pasukan Serangan Anti-Pengganasan.

“Kami anak Gaza, lelaki muda yang menentang Hamas; sekarang masanya untuk membersihkan Gaza daripada mereka,” kata Encik Abu Awad, jurucakap Angkatan Popular dalam satu kenyataan dari timur Rafah.

Kurang 10 kilometer dari Rafah, Encik Hossam al-Astal mengetuai kumpulan Pasukan Serangan Anti-Pengganasan di timur Gaza.

Beliau mendakwa sudah menjalin hubungan dengan pentadbiran Presiden Amerika Donald Trump, mengenai pelan pascaperang dan mahu bekerjasama dengan mantan Perdana Menteri Beritain, Encik Tony Blair.

“Kami mempunyai kredibiliti di lapangan. Dalam masa terdekat, kami yang akan mengambil alih, bukan Hamas,” katanya.

Kedua-dua kumpulan itu menafikan dakwaan bekerjasama dengan Israel tetapi mengaku mereka “berkerjasama” untuk mengekalkan kehadiran di kawasan di bawah kawalan tentera Israel.

Menurut penyelidik projek Pangkalan Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata, sejak Oktober 2023 terdapat lebih 245 insiden keganasan antara rakyat Palestin sendiri yang mengakibatkan kira-kira 400 kematian.

Separuh daripada insiden itu melibatkan unit polis Hamas seperti Sahm (bermaksud “anak panah”) dan Radea yang ditubuhkan pada 2024 untuk memburu pengkhianat dan penjenayah.

Data Acled menunjukkan kumpulan Angkatan Popular dan sekutunya di timur serta utara Gaza menjadi sasaran utama operasi Hamas. Abu Shabab, yang berasal dari suku Badwi Tarabin, sebelum ini dipenjarakan oleh Hamas atas kesalahan penyeludupan dadah sebelum perang bermula pada Oktober 2023.

Dari Rafah, Encik Abu Awad mendakwa kumpulannya kini mempunyai 5,000 anggota, walaupun tanpa bukti yang kukuh.

“Kami ada lima kali ganda tentera daripada Hamas dan bersedia untuk menyerang. Kami akan menghantar mereka dan keluarga mereka ke neraka,” katanya dengan nada mengancam.

Ketegangan semakin meningkat apabila beberapa puak di Gaza, termasuk puak Doghmush, berperang dengan Hamas di kawasan Sabra, Bandar Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, termasuk wartawan warga Palestin Encik Saleh al-Jafawari.

Rakaman video menunjukkan tujuh anggota Doghmush ditembak di khalayak ramai atas tuduhan bekerjasama dengan Israel – tuduhan yang dinafikan keluarga itu.

Keluarga Doghmush dalam kenyataan menegaskan bahawa “700 ahli keluarga kami telah gugur mempertahankan Gaza” dan menuduh Hamas bertindak kejam terhadap rakyat sendiri.

Dalam pada itu, penganalisis memberi amaran bahawa sebahagian keganasan ini mungkin dirancang oleh Israel untuk melemahkan Hamas dengan memecahbelahkan masyarakat Gaza.

Encik Netanyahu sendiri pernah mengaku dalam satu video bahawa Israel telah “mengaktifkan beberapa puak di Gaza” untuk menentang Hamas.

Sejak perang bermula, serangan udara Israel telah menyasarkan hampir 100 lokasi yang berkaitan dengan struktur pentadbiran Hamas termasuk balai polis, mahkamah dan pejabat bandar.

Sementara itu, laporan turut menunjukkan bahawa Israel membekalkan senjata kepada kumpulan anti-Hamas untuk mempercepatkan kejatuhan pergerakan itu.

Encik Nasser Khdour, penyelidik kanan Acled di Timur Tengah, berkata pihaknya mengumpul laporan yang menunjukkan Israel membenarkan kumpulan seperti Angkatan Popular “mengawal bantuan dan laluan bekalan” di beberapa kawasan.

Namun, kemarahan meningkat di Israel apabila laporan media mendedahkan Hamas selepas gencatan senjata berjaya merampas puluhan trak pikap dan ratusan senjata yang pada asalnya diperuntukkan kepada kumpulan anti-Hamas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg