SPH Logo mobile
Langgan|

Hamas mengaku serang hentian bas di Baitulmakdis

Hamas mengaku serang hentian bas di Baitulmakdis

Sep 10, 2025 | 11:50 AM

Hamas mengaku serang hentian bas di Baitulmakdis

Ramot, Baitulmakdis Timur
Anggota perkhidmatan kecemasan Israel mengutip sampel di lokasi kejadian tembakan di persimpangan jalan Ramot, Baitulmakdis Timur, pada 8 September. Penyerang Palestin melepaskan tembakan ke arah sebuah hentian bas di kawasan itu, mengorbankan enam orang dan mencederakan beberapa yang lain. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/DOHA: Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, pada 9 September mengaku bertanggungjawab atas kejadian tembakan di sebuah hentian bas sehari sebelumnya di Baitulmakdis yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.

Menurut kenyataan Hamas, anggota mereka melepaskan tembakan di persimpangan Ramot, kawasan di utara Baitulmakdis.

Israel menawan Ramot selepas perang Arab-Israel 1967 dan kemudian mengisytiharkannya sebagai sebahagian daripada wilayahnya, walaupun Palestin serta kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai petempatan haram di tanah jajahan.

Kenyataan Hamas menyebut bahawa dua anggotanya terbunuh dalam serangan itu.

Namun, mereka mendakwa berjaya membunuh tujuh orang – angka lebih tinggi – daripada enam yang diumumkan pihak berkuasa Israel.

“Perang Israel di Gaza dan penjajahan mereka di Tebing Barat akan terus disambut dengan ketabahan rakyat dan keberanian anggota,” kata Hamas dalam kenyataan tersebut.

Beberapa jam selepas pengakuan Hamas, Israel melancarkan serangan mengejut ke atas pemimpin Hamas di Doha, Qatar.

Ketika itu, para pemimpin Hamas sedang membincangkan usulan berhubung gencatan senjata yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan bersama Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan serangan ke atas Doha sebagai tindak balas wajar.

“Hamas tidak pernah berhenti melancarkan operasi pembunuhan terhadap Israel dan rakyatnya, termasuk serangan pengganas semalam (8 September) di Baitulmakdis,” kata kenyataan itu.

Namun, tindakan Israel di Qatar sebuah negara yang lama menjadi tuan rumah rundingan damai segera mengundang kecaman daripada negara Arab lain di rantau Asia Barat.

Pihak berkuasa Israel turut menghantar puluhan askar ke dua kampung berhampiran Ramallah, iaitu Qatanna dan Al-Qubeiba, tempat tinggal dua anggota Hamas yang terbunuh dalam serangan hentian bas tersebut.

Datuk Bandar Qatanna, Encik Diaa al-Faqih, berkata tentera Israel menutup semua jalan keluar kecuali satu, menyebabkan kelewatan berjam-jam bagi enam pesakit dialisis dan tiga wanita hamil yang perlu segera ke hospital di Ramallah.

“Bekalan asas dan ubat-ubatan juga semakin berkurangan,” katanya dalam temu bual.

Di Al-Qubeiba pula, Datuk Bandar Nafez, Encik Ibrahim Hamouda, memaklumkan sekurang-kurangnya 70 peratus rumah telah digeledah tentera Israel menjelang petang 9 September, dengan perintah berkurung ketat dikuat kuasa.

Encik Katz, turut mengumumkan pembatalan semua 750 permit kerja dan masuk ke Israel bagi penduduk dua kampung tersebut.

Beliau turut mengarahkan perobohan “semua struktur haram” di kawasan itu, walaupun masih tidak jelas bangunan manakah yang dimaksudkan.

Penganalisis politik Timur Tengah melihat perkembangan itu sebagai bukti jalan ke arah perdamaian semakin jauh.

“Serangan di Baitulmakdis dan serangan balas di Doha hanya menguatkan lagi kebuntuan rundingan gencatan senjata,” kata seorang penganalisis di Doha. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg