MAKKAH: Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Arab Saudi menggunakan kelebihan teknologi dron untuk menghantar ubat-ubatan ke lokasi haji, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran daripada lebih sejam sebelum ini kepada enam minit saja.
Pengurangan drastik bagi tempoh diperlukan untuk menghantar ubat-ubatan itu menandakan satu lonjakan penting dalam aspek pengurusan logistik, sekali gus membantu mengurangkan risiko terutama dalam kes kritikal yang mungkin berpotensi membawa maut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Temujanji Perubatan dan Rujukan, Profesor Dr Nawfal Aljerian, berkata kepada Berita Harian Malaysia (BHM) tujuan utama inovasi dalam pengurusan logistik penjagaan kesihatan itu adalah untuk memastikan rawatan kritikal dapat sampai kepada pesakit tanpa kelewatan.
“Inisiatif menggunakan kelebihan teknologi ini selaras komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan sewaktu berlangsung perhimpunan tahunan terbesar dunia.
“Kemajuan teknologi ini (membawa) satu perubahan besar (dalam pengurusan kesihatan berkaitan haji),” katanya kepada media Malaysia ketika lawatan ke pusat berkenaan di Mina, pada 2 Jun.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan beroperasi di bawah Kementerian Kesihatan dan berfungsi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.Ia mengintegrasikan data masa nyata daripada pelbagai hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans, dengan semua maklumat disalurkan secara langsung melalui sistem elektronik seperti Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Sistem Maklumat Hospital (HIS).
Keadaan itu membolehkan pasukan kesihatan membuat keputusan secara pantas dan berdasarkan data tepat.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, hampir 49,000 jemaah menerima rawatan di pusat kesihatan utama, manakala jabatan kecemasan mengendalikan lebih 19,000 kes.
Klinik pesakit luar menerima hampir 1,000 pesakit dan lebih 3,500 individu dimasukkan ke hospital termasuk 1,730 ke unit rawatan rapi (ICU).
Kerajaan Arab Saudi, sebelum ini, memaklumkan suhu ketika tempoh ibadah haji dijangka mencecah maksimum 40 hingga 45 darjah Celsius, sekali gus mencetus kebimbangan mengenai risiko akibat terdedah kepada cuaca panas.
Terkini, Kerajaan Arab Saudi meminta jemaah haji musim ini tidak berada di luar antara 10 pagi dengan 6 petang, di samping jemaah juga dilarang berjalan kaki dari Makkah ke Arafah bagi mengelak kesihatan terjejas.
Sementara itu, Pusat Operasi Keselamatan Kebangsaan Arab Saudi (NCSO) menyatakan komitmen bahawa setiap panggilan kecemasan diterima melalui talian 911 akan dijawab dalam tempoh kurang dua saat.
Jurucakap rasmi NCSO, Encik Abdulaziz Z Al Ghamdi, ketika bercakap kepada media Malaysia memaklumkan, dalam tempoh 45 saat pula laporan akan dihantar kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata jaminan itu sebagai peningkatan ketika Arab Saudi menerima hampir dua juta jemaah haji, dengan pelan operasi menyeluruh dilancarkan bagi menangani keperluan logistik dan keselamatan berskala besar sepanjang musim ibadah ini.
Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi melaporkan 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia dijadualkan menunaikan ibadah haji tahun ini (2025).
Daripada jumlah itu, 1,611,310 jemaah haji luar, manakala jemaah tempatan seramai 221,854 orang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg