BEIRUT: Tentera Israel berkata pada awal 1 April ia menyerang kumpulan militan Hezbollah di pinggir selatan Beirut, beberapa hari selepas Israel melakukan serangan di situ.
Ia sekali gus menguji gencatan senjata selama empat bulan yang goyah antara Israel dengan kumpulan yang bersekutu dengan Iran itu.
“Serangan itu menyasarkan seorang pengganas Hezbollah yang baru-baru ini mengarahkan operasi Hamas dan membantu mereka dalam merancang serangan ke atas orang awam Israel,” tambah tentera dalam satu kenyataan.
Saksi berkata pesawat kedengaran terbang rendah di atas ibu kota Lebanon dan letupan kuat kedengaran di seluruh bandar.
Gencatan senjata mulai November 2024 yang diusahakan oleh Amerika Syarikat menghentikan konflik selama setahun dan memberi mandat supaya selatan Lebanon bebas daripada anggota Hezbollah.
Menyusulinya, tentera Lebanon ditempatkan ke kawasan itu dan tentera darat Israel berundur dari zon tersebut.
Namun, setiap pihak saling menuduh satu sama lain kerana gagal mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata.
Gencatan senjata kelihatan semakin rapuh sejak kebelakangan ini.
Israel menangguhkan pengunduran tenteranya yang dijanjikan pada Januari dan berkata pada Mac ia telah memintas roket yang dilancarkan dari Lebanon.
Atas alasan itu, Israel mengebom sasaran di pinggir selatan Beirut dan selatan Lebanon.
Hezbollah telah menafikan serangan roket tersebut.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel akan terus menyerang kawasan di Lebanon untuk menentang ancaman dan menguatkuasakan perjanjian gencatan senjata.
Selepas pertempuran lebih setahun antara Hezbollah dengan Israel, yang bermula susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, Lebanon kini berdepan krisis pemulihan yang rumit.
Hampir 3,000 bangunan di Dahiya, selatan Beirut, telah musnah atau rosak teruk dan lebih 3,700 rakyat Lebanon terbunuh. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg