Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hussein al-Sheikh dilantik Naib Presiden PLO

Dijangka bakal ganti Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dengan ada jawatan baru itu
May 2, 2025 | 10:44 AM
Encik Hussein al-Sheikh, Mahmoud Abbas, PLO, Palestin
Encik Hussein al-Sheikh dilantik sebagai Naib Presiden, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) selepas jawatan itu diwujudkan dalam satu konvensyen di Ramallah pada 26 April. - Foto AFP

RAMALLAH: Encik Hussein al-Sheikh, tokoh kanan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah dilantik sebagai Naib Presiden pertama badan itu.

Ia disifatkan sebagai langkah politik penting dalam usaha Presiden Mahmoud Abbas untuk merangka pelan peralihan kuasa selepas lebih dua dekad menerajui pentadbiran Palestin.

Pelantikan al-Sheikh, 64 tahun, diumumkan secara rasmi pada 26 April, selepas jawatankuasa eksekutif PLO meluluskannya dalam sesi ke-32 Majlis Pusat Palestin yang berlangsung di Ramallah.

Jawatan Naib Presiden PLO itu diwujudkan hanya dua hari sebelum pengumuman tersebut dibuat, sekali gus menimbulkan spekulasi luas bahawa al-Sheikh sedang dipersiapkan untuk menggantikan Encik Abbas, yang kini berusia 89 tahun.

Beliau dianggap sebagai orang kepercayaan presiden itu.

Al-Sheikh merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif PLO, iaitu badan tertinggi dan paling berkuasa dalam struktur PLO.

Beliau turut mengetuai Hal Ehwal Awam di bawah Penguasa Palestin (PA), menjadikannya individu utama yang bertanggungjawab mengatur permit perjalanan rakyat Palestin ke Israel bagi tujuan kerja dan rawatan perubatan.

Dilahirkan di Ramallah, al-Sheikh pernah dipenjarakan selama 11 tahun di penjara Israel pada usia muda.

Di situ beliau mempelajari bahasa Ibrani dan membina pemahaman mendalam tentang politik keselamatan Israel.

Pengalamannya sebagai mantan anggota pasukan keselamatan Palestin juga memberikannya kredibiliti dalam kalangan institusi keselamatan negara itu.

“Keadaan amat mencabar. Kadangkala kita tidak ada pilihan selain bekerjasama dengan Israel demi membantu rakyat kita,” kata al-Sheikh dalam satu wawancara bersama agensi berita, Associated Press, pada 2022.

Namun hubungan rapatnya dengan Israel dan Amerika Syarikat menyebabkan beliau menjadi tokoh kontroversi dalam kalangan rakyat Palestin sendiri.

Sesetengah pihak menganggap beliau terlalu berlembut terhadap pendudukan Israel dan mengkhianati aspirasi kebebasan Palestin.

Menurut pegawai Palestin, Arab Saudi menyambut baik ‘langkah reformasi’ yang diambil Encik Abbas dalam melantik al-Sheikh sebagai timbalannya di PLO serta Negara Palestin, yang diiktiraf oleh hampir 150 negara.

“Langkah-langkah reformasi ini akan mengukuhkan usaha politik Palestin... khususnya hak untuk menentukan nasib sendiri melalui penubuhan negara merdeka.

“Ini berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara,” kata Kementerian Luar Arab Saudi.

Langkah mewujudkan jawatan itu dibuat susulan tekanan antarabangsa bertahun-tahun untuk melakukan reformasi dalam PLO.

Keputusan itu juga seiring dengan hasrat kuasa Arab dan Barat membayangkan peranan yang lebih luas untuk PA dalam pentadbiran selepas perang di Jaluran Gaza.

PA kini berada di ambang kejatuhan kewangan dan selepas serangan Hamas terhadap Israel yang mencetuskan perang di Gaza.

Ini susulan beberapa penderma antarabangsa semakin menegaskan bahawa sokongan kewangan perlu dikaitkan dengan reformasi politik dan institusi konkrit.

Pelantikan itu dibuat pada saat Encik Abbas, dilihat semakin kehilangan sokongan rakyat.

Mandat asalnya sebagai presiden tamat sejak 2009, namun beliau enggan mengadakan pilihan raya baru dan tidak pernah menamakan pengganti secara rasmi.

“Terdapat keperluan mendesak untuk meletakkan tokoh yang boleh diterima oleh kuasa-kuasa besar dan Israel.

“Al-Sheikh berada dalam kedudukan itu. Beliau telah ‘digilap’ sejak 2007 untuk peranan ini,” jelas penganalisis politik kanan di Al Jazeera, Encik Marwan Bishara.

Walaupun pelantikan al-Sheikh sebagai naib presiden menjadikannya tokoh utama untuk mengambil alih, ia bukan jaminan beliau akan menjadi pengganti mutlak.

Mengikut undang-undang PLO, sekiranya Encik Abbas meninggal dunia atau tidak mampu menjalankan tugas, naib presiden hanya akan memangku jawatan presiden buat sementara waktu.

Jawatankuasa Eksekutif PLO akan membuat keputusan akhir mengenai pengganti tetap.

“Jawatan ini memperkukuh kedudukan al-Sheikh, tetapi tidak bermakna laluan ke puncak itu pasti miliknya. PLO penuh dengan tokoh-tokoh lain yang juga mengintai jawatan presiden,” jelas Encik Marwan.

Kumpulan Hamas, yang tidak menjadi sebahagian daripada PLO dan telah menguasai Gaza sejak 2007, menyatakan bantahan tegas terhadap pelantikan tersebut.

Menurut pegawai kanan Hamas, Dr Bassem Naim, pelantikan al-Sheikh tidak mewakili kehendak sebenar rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin bukanlah kelompok yang boleh diserahkan begitu sahaja kepada pemimpin yang dipilih tanpa suara mereka lebih-lebih lagi tokoh yang memiliki rekod mencurigakan dan yang telah menggadaikan masa depan negara kepada penjajah,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg