ATHENS: Industri perkapalan berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan amaran bahawa Teheran mungkin bertindak balas terhadap kapal perdagangan, berikutan serangan udara Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran.
Greece, yang memiliki kapasiti kapal tangki minyak terbesar di dunia, mengingatkan pemilik kapalnya agar mempertimbangkan semula rancangan mereka sekiranya mereka berhasrat memasuki Teluk Parsi selepas serangan udara Amerika.
Kapal yang merancang belayar melalui Selat Hormuz – laluan perairan utama di pintu masuk Teluk Parsi – dinasihatkan supaya “menilai semula perjalanan” sehingga keadaan kembali seperti sediakala, menurut satu pekeliling yang dihantar oleh Kementerian Perkapalan Greece kepada pemilik kapal.
Ia turut menasihatkan agar kapal dari Greece menunggu di beberapa pelabuhan selamat lain yang berhampiran.
Pasukan tentera laut di kawasan tersebut memberi amaran bahawa kapal-kapal, khususnya yang ada kaitan dengan Amerika, mungkin menghadapi risiko lebih tinggi.
Syarikat perkapalan, A.P. Moller-Maersk, menyatakan bahawa ia masih meneruskan pelayaran melalui Selat Hormuz, namun bersedia menilai semula keputusannya berdasarkan maklumat terkini.
Tindakan industri maritim – dan sejauh mana ia sanggup mengambil risiko – akan menjadi aspek penting susulan serangan tersebut, memandangkan lokasi Iran yang berhampiran Selat Hormuz, iaitu laluan bagi seperlima bekalan minyak dunia dan merupakan satu-satunya laluan laut ke Teluk Parsi.
Amaran dari Athens adalah petunjuk terbaru mengenai tekanan yang dihadapi pasaran perkapalan, sedang serangan terhadap Iran kian meningkat.
Pendapatan kapal tangki telah melonjak hampir 90 peratus sejak Israel mula melancarkan serangan udara pada 13 Jun.
Nasihat dari Greece – salah sebuah negara pemilik kapal terbesar di dunia – kepada pemilik kapalnya dijangka memberi kesan besar terhadap pasaran pengangkutan komoditi, terutama minyak.
Ada kemungkinan pemilik kapal akan mengabaikan nasihat tersebut kerana Teluk Parsi merupakan wilayah perdagangan yang terlalu penting untuk mereka, dan harga barangan dan khidmat pengiriman boleh dinaikkan bagi menampung risiko belayar ke rantau tersebut.
Pengendali kapal yang memilih untuk belayar melalui Selat Hormuz dinasihatkan mengamalkan tahap keselamatan tertinggi dan mengekalkan jarak maksimum yang mungkin dari perairan Iran.
Dalam pemberitahuan bertarikh 22 Jun itu, kementerian itu menyatakan bahawa nasihat tersebut diberikan kerana kebimbangan bahawa Selat Hormuz mungkin ditutup.
Dalam perkembangan berkaitan, bandar-bandar utama di Amerika kini memperketat langkah keselamatan selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, melancarkan serangan udara ke atas Iran – satu campur tangan ketenteraan langsung yang meningkatkan peranan Washington dalam perang Israel dengan Teheran.
Serangan udara itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan balas oleh Iran.
Iran, pada awal 22 Jun, memberi amaran bahawa serangan Amerika, yang dinamakan, ‘Operation Midnight Hammer’ oleh Pentagon, akan membawa “kesan berkekalan”, dan menyatakan bahawa ia “berhak menggunakan semua pilihan” untuk bertindak balas.
Susulan serangan itu, polis di New York, Washington, DC dan Los Angeles telah meningkatkan rondaan di institusi keagamaan, kemudahan diplomatik dan ruang awam. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg