Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran serang pangkalan udara AS di Qatar, Trump sifatkan tindakan ‘lemah’

Presiden Amerika gesa Iran dan Israel berdamai
Jun 24, 2025 | 3:01 PM
Pangkalan Udara Al Udeid, Qatar, Iran, peluru berpandu
Tangkap layar menunjukkan serangan peluru berpandu balistik Iran disasarkan terhadap Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar. - Foto tangkap layar X GLOBAL-MIL-INFO

DOHA/ISTANBUL: Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat di Qatar pada 23 Jun yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Dalam reaksinya, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan serangan itu sebagai “tindak balas yang lemah” terhadap sasaran, sambil menggesa Iran dan Israel agar berdamai selepas 11 hari saling serang-menyerang.

Serangan ke atas Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar itu mengancam untuk meluaskan konflik yang bermula pada 13 Jun, apabila Israel melancarkan serangan dengan menyasarkan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.

Namun, selepas serangan tersebut, Iran dan Israel dikatakan bersetuju dengan satu gencatan senjata.

Sebelum ini, Iran telah mengancam bertindak balas selepas Amerika melepaskan bom seberat 13,600 kilogram ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Iran pada 21 Jun, sekali gus menyertai perang udara Israel terhadap Iran.

Encik Trump juga telah membangkitkan kemungkinan pemerintah Iran digulingkan.

“Kami tidak menyerang sesiapa, dan kami tidak akan pernah menerima diserang oleh sesiapa,” kata Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu kenyataan.

“Kami tidak akan tunduk kepada pencerobohan, ini adalah logik negara Iran,” tegasnya.

Dalam serangan ke atas pangkalan Amerika di Qatar itu, Iran telah memberi notis pemberitahuan awal kepada Amerika dan Qatar melalui saluran diplomatik, beberapa jam sebelum serangan itu dilancarkan.

Encik Trump menganggap langkah Iran itu sebagai petanda positif.

“Saya ingin berterima kasih kepada Iran kerana memberi kami notis awal, yang memungkinkan tiada nyawa terkorban dan tiada sesiapa yang cedera,” tulis Encik Trump di laman media Truth Social miliknya.

“Mungkin Iran kini boleh meneruskan ke arah mencapai keamanan dan keharmonian dan saya akan menggalakkan Israel melakukan perkara yang sama dengan penuh semangat,” ujar Encik Trump.

Beliau berkata Iran telah melepaskan 14 peluru berpandu ke pangkalan udara itu, yang disebutnya sebagai “tindak balas yang sangat lemah dan telah dibalas dengan sangat berkesan”.

“Saya gembira melaporkan bahawa tiada rakyat Amerika cedera dan hampir tiada kerosakan yang ditimpakan.

“Paling penting, mereka telah mengeluarkan semua perasaan marah itu, dan diharapkan, tiada lagi kebencian,” tulis Encik Trump.

Cara Iran mengendalikan serangan itu mengingatkan kembali pertempuran awal dengan Amerika dan Israel, dengan Teheran mencari keseimbangan antara mengelakkan malu dengan tindak balas ketenteraan, tanpa mencetuskan kitaran peningkatan konflik di luar kemampuannya.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dalam kenyataan yang disiarkan oleh akaun Telegram kementerian itu berkata negaranya bersedia bertindak balas sekali lagi sekiranya berlaku tindakan lanjut oleh Amerika.

Serangan itu dilaporkan turut merenggangkan hubungan Iran dengan negara-negara jiran Arab seperti – Qatar telah mengutuknya, begitu juga Bahrain, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Kuwait dan Iraq. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg