Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran usir ratusan ribu pelarian Afghanistan

Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Pelarian Afghanistan yang membawa barangan peribadi mereka tiba di di pusat lintasan sempadan Islam Qala antara Afghanistan dengan Iran pada 28 Jun 2025, selepas diusir dari Iran. 
Pelarian Afghanistan yang membawa barangan peribadi mereka tiba di di pusat lintasan sempadan Islam Qala antara Afghanistan dengan Iran pada 28 Jun 2025, selepas diusir dari Iran.  - Foto AFP

TEHERAN: Gelombang pengusiran pelarian dan migran Afghanistan dari Iran semakin membesar sejak tamatnya perang 12 hari antara Iran dengan Israel pada 24 Jun.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), pada 2025 sahaja, lebih 1.5 juta pelarian dan migran Afghanistan dihantar pulang, dengan lebih 410,000 daripadanya diusir selepas tamat konflik.

Palang Merah turut menjangkakan angka itu boleh mencecah dua juta menjelang akhir 2025.

Walaupun Iran telah menampung berjuta-juta rakyat Afghanistan sejak beberapa dekad lalu, pendekatan terkini pemerintah menunjukkan perubahan drastik daripada sikap toleransi kepada pengusiran besar-besaran.

“Seolah-olah kami dijadikan sasaran kerana kami paling mudah dipersalahkan dan tak banyak pilihan,” kata Encik Ahmad, seorang migran tanpa dokumen berusia 27 tahun yang tinggal di Teheran.

“Saya jarang keluar dari bangunan tempat saya bekerja kerana takut ditahan dan dihantar pulang.”

Encik Ahmad bekerja sebagai penjaga sebuah bangunan di bahagian barat ibu negara Teheran.

Beliau menerima pendapatan sekitar AS$80 ($102) sebulan, namun kerana tidak layak membuka akaun bank sendiri, gajinya disalurkan ke akaun milik seorang warga Iran.

Dengan pendapatan yang terhad itu, beliau tetap berusaha menghantar wang kepada keluarganya di Afghanistan apabila berpeluang.

Gelombang pengusiran berlaku serentak dengan tindakan pemerintah membina tembok sepanjang sempadan timur Iran dengan Afghanistan dan Pakistan.

Langkah itu bertujuan menyekat kemasukan migran tanpa dokumen serta penyeludupan dadah dan bahan api.

Parlimen Iran turut mencadangkan penubuhan organisasi migrasi nasional bagi menyelaras tindakan pengusiran dan kawalan sempadan dengan lebih sistematik.

Ketua Jabatan Warga Asing, Pejabat Gabenor Teheran, Encik Vahid Golikani, berpendapat, “warga asing tanpa dokumen tidak patut diambil bekerja kerana ia menjejas peluang pekerjaan rakyat tempatan”.

Malah, media pemerintah dan pegawai keselamatan mendakwa sebahagian warga Afghanistan terlibat dalam kegiatan perisikan untuk Israel.

Televisyen negara menyiarkan beberapa ‘pengakuan’ daripada tahanan Afghanistan, walaupun jumlahnya jauh lebih kecil berbanding jumlah yang diusir.

Rakaman menunjukkan individu yang matanya tertutup dan wajah dikaburkan, mengaku menghantar maklumat kepada agensi risikan Israel, Mossad.

Namun, Ahli Parlimen dari Qom, Encik Mohammad Mannan Raeesi, menyanggah dakwaan melampau itu dengan berkata:

“Tiada seorang pun migran Afghanistan terlibat sebagai perisik Israel. Malah, ada yang gugur mempertahankan Iran.”

Kenyataan beliau disokong mantan Menteri Luar, Encik Mohammad Javad Zarif, yang berkata, “Apabila kita bercakap tentang penyusupan, kita tak sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada wajah yang berbeza daripada kita.”

Iran secara rasmi melaporkan terdapat 6.1 juta warga Afghanistan di negara itu, tetapi hanya 780,000 yang diberikan status pelarian sah.

Selebihnya bekerja dalam sektor tidak formal seperti pembinaan, pertanian, dan perkhidmatan.

Pemerintah membelanjakan berbilion dolar untuk subsidi barangan keperluan seperti bahan api, elektrik dan roti, subsidi yang dinikmati oleh semua termasuk migran tanpa dokumen.

Menurut jurucakap pemerintah Cik Fatemeh Mohajerani, pengusiran itu adalah “tuntutan rakyat” bagi mengurangkan tekanan ke atas belanjawan negara.

Namun begitu, tiada perangkaan sah yang menunjukkan sejauh manakah rakyat Iran menyokong tindakan tersebut.

Beberapa tinjauan pendapat tidak rasmi di media sosial menggunakan tanda pagar seperti “#TuntutanNasional” untuk menggalak pengusiran.

Seorang guru yang juga penyunting video berketurunan Afghanistan yang dilahirkan di Iran, Cik Zahra Aazim, 22 tahun, meluahkan rasa kecewa.

“Keluarga saya sudah 45 tahun di sini, tapi saya masih tak boleh dapat lesen memandu, kad pengenalan, atau sijil lahir dari Iran. Peraturan jadi semakin ketat setiap tahun,” katanya.

Beliau juga menerima ratusan mesej ancaman selepas perang.

“Saya rasa tidak selamat, malah beberapa rakan Iran saya pun sudah berubah. Apabila rakyat tak boleh marah kepada pemimpin, mereka akan cari tumpuan lebih lemah sebagai sasaran,” tambahnya.

Adiknya yang berusia 23 tahun turut ditahan buat sementara waktu di sebuah kafe di Teheran atas tuduhan pengintipan, sebelum dibebaskan tanpa sebarang bukti.

Iran kini berada di persimpangan antara keselamatan, tekanan ekonomi, dengan tanggungjawab kemanusiaan.

Dalam usaha membendung ancaman luar dan mengawal sempadan, negara itu berdepan dilema besar – adakah pengusiran besar-besaran itu akan melegakan beban dalaman, atau menambah luka melibatkan hubungan antara dua bangsa berjiran itu?

Menteri Luar Taleban, Encik Amir Khan Muttaqi, menyuarakan kebimbangan terhadap pengusiran besar-besaran itu.

Beliau menggesa pemerintah Iran agar melaksanakan proses pemulangan secara berperingkat dan berperikemanusiaan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dilaporkan memberi jaminan bahawa pengusiran seterusnya akan dijalankan dengan lebih berhati-hati dan menghormati maruah insan.

Namun, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Iran, Encik Mai Sato, memberi amaran bahawa “Afghanistan masih tidak selamat di bawah pemerintahan Taleban.

“Pemulangan besar-besaran ini melanggar undang-undang antarabangsa dan meletakkan wanita, kanak-kanak dan minoriti dalam risiko penganiayaan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg