TEL AVIV: Serangan udara besar-besaran Israel pada 13 Jun 2025 bukan sekadar demonstrasi keupayaan ketenteraan tetapi juga kemuncak kepada operasi perisikan terancang yang menjadikan wilayah Iran seumpama “taman permainan” bagi agensi perisikan Israel, Mossad.
Laporan yang disahkan pegawai keselamatan Israel menunjukkan senjata, dron letupan dan sistem persenjataan tepat telah diseludup ke dalam Iran berbulan-bulan sebelum jet pejuang Israel berlepas.
Dengan asas serangan yang berada di dalam negara sasaran sendiri, hasilnya ialah lebih 100 serangan udara oleh kira-kira 200 pesawat yang kembali tanpa sebarang kehilangan, satu petunjuk jelas bahawa pertahanan udara Iran sudah dilemahkan dari dalam.
Menurut seorang pegawai keselamatan Israel yang enggan dinamakan, Mossad “menubuhkan pangkalan dron di pinggir Tehran” dan menyelaraskan tembakan ke atas pelancar peluru berpandu serta sistem pertahanan udara ketika gelombang serangan pertama bermula.
Operasi itu turut melibatkan pasukan komando Mossad yang beroperasi di beberapa bandar utama Iran, termasuk ibu kota, bagi meletupkan pelancar balistik dan radar pertahanan.
Natijahnya, juruterbang Tentera Udara Israel dapat mengebom sasaran strategik dengan “kebebasan operasi” yang biasanya sukar dicapai ke atas negara sebesar Iran.
Penganalisis keselamatan di Washington Institute, Holly Dagres, merumuskan fenomena ini dengan berkata, “Mossad telah memperlakukan Iran seperti taman permainannya selama bertahun-tahun.
Daripada membunuh saintis nuklear hingga merosakkan kemudahan pengayaan, Israel secara konsisten memegang kelebihan dalam perang bayang yang kini terdedah secara terbuka.”
Kenyataan itu tidak berlebihan. Sejak awal dekad 2010-an, Iran mendakwa Israel mendalangi beberapa siri pembunuhan saintis nuklear di Tehran; bekas Menteri Pertahanan Israel Encik Moshe Ya’alon pada 2015 secara tersirat mengesahkan apabila menyatakan Israel tidak boleh dipersalahkan “atas jangka hayat saintis nuklear Iran”.
Serangan terkini mengorbankan Encik Fereydoon Abbasi, satu-satunya saintis yang terselamat cubaan bunuh 2010 sekali gus menyempurnakan senarai sasaran lama Mossad.
Rekod lampau turut memperlihatkan kemampuan Mossad mendapatkan risikan set empat arkib nuklear Iran pada 2018, dibawa keluar ke Israel dan dipamerkan secara langsung oleh Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu.
Episod itu akhirnya mendorong pentadbiran Trump menarik diri daripada Perjanjian asal Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) dan menambah sekatan ke atas Teheran.
Kebolehan mengakses arkib yang dijaga rapi menggambarkan dua perkara: pertama, keupayaan teknikal dan manusia Mossad untuk menembusi sistem keselamatan kompleks; kedua, hakikat bahawa unsur dalam birokrasi Iran sendiri cenderung membantu operasi asing sama ada atas wang, ideologi atau kekecewaan terhadap rejim.
Faktor dalaman Iran memainkan peranan penting. Encik Ram Ben Barak, bekas timbalan ketua Mossad, menegaskan kejayaan berterusan agensi itu terhasil daripada “sebuah rejim yang sangat dibenci sebahagian besar rakyatnya, sekali gus memudahkan penembusan risikan.”
Kombinasi ketidakpuasan masyarakat, ekonomi tertekan, dan perpecahan elit mewujudkan ekosistem subur bagi operasi penyusupan.
Seorang pegawai keselamatan Israel kedua mengakui “operasi ini dirancang selama bertahun-tahun” melibatkan rangkaian logistik kompleks untuk menyeludup senjata ketepatan tinggi dan membina aset manusia di lapangan.
Implikasi strategik kepada Iran amat mendalam.
Pertama, kebolehan Mossad beroperasi tanpa halangan nyata merosakkan kredibiliti pasukan keselamatan tempatan. Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tidak sekadar mengalami kerugian fizikal, malahan pemasungan moral apabila pertahanan udara mereka ditembusi.
Kedua, pembunuhan kepimpinan tertinggi termasuk Komander IRGC Jeneral Hossein Salami serta ketua angkatan aeroangkasa Jeneral Amir Ali Hajizadeh – menjejaskan keupayaan Iran untuk mengkoordinasikan tindak balas.
Kesinambungan rantaian perintah terpaksa dipulihkan segera, suatu proses yang memerlukan masa.
Bagi Israel, hasil operasi ini dua serampang mata.
Di satu pihak, ia mengurangkan ancaman misil dan potensi kemajuan nuklear Iran buat sementara; pergantungan Teheran pada sistem SAM jarak sederhana S-300 dan Bavar-373 terbukti tidak memadai.
Di sisi lain, terdapat risiko bahawa Teheran mengambil keputusan politik untuk meninggalkan Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT) dan mempercepat “lumba senjata nuklear” serantau.
Bagi Israel kerosakan fizikal dan psikologi yang ditanggung Iran mencukupi untuk menunda program nuklear tanpa mencetuskan perlumbaan terbuka; namun andaian ini bergantung pada tahap rasionaliti kepimpinan Iran pasca trauma.
Keupayaan mengatur serangan dari dalam wilayah musuh juga mempersoalkan fungsi pertahanan konvensional dalam era peperangan hibrid.
Pergantungan eksklusif pada radar, pelancar misil dan kubu bawah tanah menjadi tidak relevan apabila ancaman diseludup melalui trak atau pelaku berpakaian awam.
Operasi ofensif Mossad sedikit sebanyak menggoyang asas doktrin ketenteraan Iran dan memaksa pertimbangan semula perseimbangan kuasa di Asia Barat.
Namun ia juga mengandungi paradoks strategik: semakin berjaya sabotaj Israel, semakin kuat dorongan Tehran atas nama maruah negara untuk melangkah garis merah nuklear.
Di sinilah letaknya dilema keselamatan serantau; keberkesanan operasi perisikan mungkin melengahkan ancaman, tetapi belum tentu menghapuskannya.
Dalam konteks inilah diplomasi pencegahan dan mekanisme pengurusan krisis perlu diperkasa, sebelum “taman permainan” bertukar menjadi gelanggang perang terbuka yang menjerumuskan rantau ke dalam kitaran konflik tak bertepi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg