Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel akan gantung operasi puluhan kumpulan kemanusiaan di Gaza mulai Januari

Dec 31, 2025 | 7:05 AM
Warga Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima agihan makanan di sebuah dapur amal di kem pelarian Nuseirat, tengah Jaluran  Gaza, pada 20 Disember 2025. Kebuluran yang diisytiharkan di Gaza pada Ogos lalu kini telah berakhir susulan peningkatan akses bantuan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 19 Disember 2025. Namun, PBB memberi amaran bahawa situasi makanan di wilayah Palestin itu masih kritikal. Walaupun gencatan senjata antara Israel dan kumpulan militan Hamas yang berkuat kuasa sejak Oktober telah melonggarkan sebahagian sekatan terhadap barangan dan bantuan, penghantaran bantuan kekal tidak menentu, terhad dan tidak sekata di seluruh Gaza. (Foto oleh Eyad Baba / AFP)
Warga Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima agihan makanan di sebuah dapur amal di kem pelarian Nuseirat, tengah Jaluran Gaza, pada 20 Disember 2025. Kebuluran yang diisytiharkan di Gaza pada Ogos lalu kini telah berakhir susulan peningkatan akses bantuan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 19 Disember 2025. Namun, PBB memberi amaran bahawa situasi makanan di wilayah Palestin itu masih kritikal. Walaupun gencatan senjata antara Israel dan kumpulan militan Hamas yang berkuat kuasa sejak Oktober telah melonggarkan sebahagian sekatan terhadap barangan dan bantuan, penghantaran bantuan kekal tidak menentu, terhad dan tidak sekata di seluruh Gaza. (Foto oleh Eyad Baba / AFP) - Foto AFP

GAZA/TEL AVIV: Sekitar 37 kumpulan kemanusiaan antarabangsa akan digantung kebenaran beroperasi di Jaluran Gaza bermula 1 Januari, selepas didakwa gagal mematuhi peraturan pendaftaran baru yang ditetapkan oleh pemerintah Israel, menurut Kementerian Hal Ehwal Diaspora Israel pada 30 Disember.

Di bawah keputusan itu, kumpulan terlibat perlu menghentikan operasi secara berperingkat dan mengosongkan kawasan Gaza selewat-lewatnya Mac, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar komuniti antarabangsa ketika wilayah itu terus bergelut dengan krisis kemanusiaan yang parah.

Beberapa pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa (INGO) terkemuka, termasuk ActionAid, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Majlis Pelarian Norway merupakan antara pertubuhan yang lesen operasinya akan digantung mulai tahun baru 2026, dengan semua aktiviti mereka diwajibkan dihentikan dalam tempoh 60 hari.

Antara organisasi yang terkesan ialah Doktor Tanpa Sempadan (MSF), sebuah badan perubatan antarabangsa yang memainkan peranan penting dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan di Gaza sepanjang konflik dua tahun lalu.

Pegawai Israel berkata, peraturan baru itu bertujuan menghalang penyusupan militan ke dalam organisasi bantuan, termasuk melalui saringan lebih ketat terhadap kakitangan tempatan Palestin. Antara syarat utama ialah penyerahan senarai penuh pekerja Palestin untuk tujuan semakan keselamatan.

Menurut pihak berkuasa Israel, kumpulan-kumpulan berkenaan gagal menyerahkan maklumat yang diminta sebelum tarikh akhir hujung tahun, walaupun telah diberikan lanjutan operasi atas dasar “niat baik” sejak Mac lalu.

Namun, tindakan Israel itu menerima kritikan keras daripada beberapa negara sekutu Barat. Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar 10 negara, termasuk Canada, Perancis, Britain, Jepun, Switzerland dan negara Nordik, menggesa Israel memastikan kumpulan kemanusiaan dapat “beroperasi di Gaza secara berterusan dan boleh dijangka”.

“Sebarang usaha untuk menyekat keupayaan mereka beroperasi adalah tidak boleh diterima,” kata kenyataan bersama itu. Menurut mereka, tanpa sumbangan organisasi bantuan, “mustahil untuk memenuhi keperluan mendesak pada skala yang diperlukan”.

Walaupun gencatan senjata rapuh yang bermula pada Oktober masih bertahan, kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza terus berdepan kekurangan makanan, perkhidmatan kesihatan dan tempat perlindungan selepas dua tahun peperangan.

MSF dalam satu kenyataan menegaskan bahawa setakat 30 Disember, pihaknya belum menerima sebarang keputusan rasmi berhubung penggantungan atau keperluan pendaftaran baharu tersebut.
“Menghalang perkhidmatan daripada memasuki Gaza akan membawa kesan yang memusnahkan kepada rakyat Palestin,” kata MSF. Menurut organisasi itu, mereka menyokong kira-kira 20 peratus katil hospital di Gaza dan terlibat dalam satu daripada setiap tiga kelahiran bayi di wilayah itu.

Kami sedang berusaha mencari penyelesaian segera supaya dapat terus menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat,” kata MSF, sambil menegaskan komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan.

Sebaliknya, pihak berkuasa Israel menolak dakwaan bahawa kumpulan terbabit memainkan peranan kritikal dalam operasi bantuan. Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat), agensi Israel yang menyelaras kemasukan bantuan ke Gaza, berkata sumbangan kumpulan yang digantung itu adalah sangat kecil. “Gabungan sumbangan mereka hanya merangkumi kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan bantuan,” kata Cogat dalam satu kenyataan. Menurut agensi itu, penguatkuasaan keputusan pemerintah “tidak akan menjejas jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza”.

Cogat menegaskan bantuan akan terus disalurkan setiap minggu melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara penderma, sektor swasta dan lebih 20 organisasi antarabangsa lain.
“Cubaan organisasi tertentu untuk menggambarkan sistem kemanusiaan di Gaza sebagai bergantung kepada kehadiran mereka adalah tidak selari dengan realiti di lapangan,” kata Cogat.

Isu ini turut membangkitkan kebimbangan keselamatan kakitangan bantuan. Pada Mei lalu, 55 organisasi kemanusiaan telah menyuarakan bantahan terhadap peraturan baru Israel, dengan menyatakan ia melemahkan prinsip kebebasan kemanusiaan dan mendedahkan pekerja kepada risiko.

“Dalam keadaan di mana pekerja kemanusiaan dan kesihatan sering berdepan gangguan, penahanan dan serangan langsung, langkah ini menimbulkan kebimbangan serius dari segi perlindungan,” kata kumpulan itu.

Israel sebelum ini menuduh PBB dan beberapa organisasi bantuan membenarkan penyusupan militan, termasuk Hamas, ke dalam operasi kemanusiaan. Pada 2024, PBB memecat sembilan kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) selepas Israel mendakwa mereka terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, walaupun siasatan kemudian membersihkan 10 individu lain daripada tuduhan serupa.

Dalam kenyataan bersama mereka, menteri luar negara Barat turut menggesa Israel menarik balik “sekatan berlebihan” terhadap barangan tertentu seperti peralatan perubatan dan bahan perlindungan, serta membuka semua pintu masuk bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan ke Gaza.

Namun, keputusan Israel itu menerima sokongan sebahagian sekutunya. Duta Amerika Syarikat ke Israel, Encik Mike Huckabee, menyokong langkah tersebut di media sosial, sambil menuduh beberapa organisasi mempunyai “pengganas dalam senarai gaji mereka”. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg