Israel akui lakukan serangan kedua ragut nyawa petugas PBB di Gaza
Israel akui lakukan serangan kedua ragut nyawa petugas PBB di Gaza
Israel akui lakukan serangan kedua ragut nyawa petugas PBB di Gaza
GAZA: Tentera Israel pada 24 April mengakui menembak bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza dengan tembakan kereta kebal pada 19 Mac, yang menyebabkan seorang kakitangan PBB terbunuh dan enam lagi cedera.
Kejadian itu berlaku di kawasan Deir al-Balah, dan mencetuskan tindakan segera Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, yang menarik keluar satu pertiga daripada kakitangan antarabangsa PBB dari Gaza atas faktor keselamatan.
Mangsa dikenali sebagai Encik Marin Valev Marinov, warganegara Bulgaria berusia 51 tahun, yang telah berkhidmat dengan PBB sejak 2016.
Menurut kenyataan rasmi, Encik Marinov, sebelum ini bertugas sebagai pemeriksa maritim di Yaman sebelum berpindah ke Gaza.
“Kami kesal atas kejadian serius ini dan sedang melakukan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti kelemahan operasi serta langkah tambahan bagi mencegah kejadian serupa daripada berlaku pada masa akan datang,” kata kenyataan tentera Israel.
Kenyataan itu menjelaskan serangan itu berlaku kerana bangunan tersebut “dianggap menempatkan musuh dan tidak dikenal pasti sebagai kemudahan PBB oleh pasukan di lapangan”.
Sebelum ini, Israel menafikan terlibat dalam serangan tersebut dan mendakwa Hamas berlindung di kemudahan PBB.
Namun, dalam pengakuan terkini itu, Israel turut memohon maaf secara rasmi kepada PBB.
Jurucakap PBB, Encik Stéphane Dujarric, berkata: “Kedudukan kemudahan kami sudah dimaklumkan kepada tentera Israel, termasuk lokasi bangunan yang diserang.
“Kami hargai adanya kerjasama dan ketelusan, tetapi ia masih belum mencukupi.
“Kami perlukan kebertanggungjawaban untuk semua kejadian, bukan hanya yang ini. Rakan-rakan kami telah terbunuh, dan bangunan PBB telah diserang berkali-kali.”
Menurut rekod PBB, sekurang-kurangnya 285 kakitangan PBB telah terkorban di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, menjadikannya konflik paling berdarah dalam sejarah PBB melibatkan kakitangannya.
Pada hujung Mac, satu lagi kejadian berlaku apabila tentera Israel menembak konvoi ambulans dan trak bomba di kawasan Rafah, selatan Gaza.
Konvoi tersebut sedang menggunakan lampu kecemasan, dan antara kenderaan yang menjadi sasaran termasuk sebuah van PBB yang berlogo rasmi.
Seramai 15 pekerja kemanusiaan, termasuk daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Pertahanan Awam Palestin, ditemui terbunuh dalam satu kubur besar bersama bangkai ambulans dan kenderaan PBB.
Laporan bedah siasat menunjukkan ramai mangsa ditembak di kepala dan dada.
Israel mulanya menyatakan tembakan dilepaskan kerana ambulans didapati tidak menggunakan lampu dan bergerak secara mencurigakan, serta mendakwa terdapat anggota Hamas dalam konvoi. Namun tiada bukti dikemukakan.
Susulan siasatan, tentera Israel pada 20 April menyatakan berlaku “beberapa kegagalan profesional” dalam operasi itu dan seorang timbalan komander pasukan telah dipecat.
Pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa kini semakin hangat dibincangkan.
Konvensyen Geneva dengan jelas melindungi pekerja perubatan dan kemanusiaan daripada menjadi sasaran konflik.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyatakan tindakan membunuh petugas perubatan seperti itu boleh dikategorikan sebagai “jenayah perang”.
“Kami terus mendesak semua pihak dalam konflik ini supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa sepenuhnya – termasuk perlindungan terhadap orang awam serta kakitangan PBB dan kemanusiaan,” kata Encik Dujarric.
Sementara itu, sekitar 53 rakyat Palestin disahkan terkorban dalam serangan udara terbaru yang dilancarkan Israel di Jalruan Gaza pada 24 April, kata pasukan penyelamat dan petugas kesihatan.
Serangan itu berlaku ketika tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu kepada penduduk di beberapa kawasan, menjelang operasi darat yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Encik Avichay Adraee, memaklumkan operasi ketenteraan sedang dijalankan di kawasan Beit Hanoun dan Sheikh Zayed susulan “kegiatanm pengganas berterusan dan tembakan penembak tepat ke arah tentera IDF”.
PBB memberi amaran peluasan arahan pemindahan boleh mencetuskan “pemindahan secara paksa” terhadap penduduk Gaza yang kini berjumlah 2.4 juta.
Agensi kemanusiaan pula menganggarkan majoriti penduduk telah kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula. – Agensi berita.

