Israel akui silap, serangan ragut 15 nyawa petugas kecemasan Palestin
Israel akui silap, serangan ragut 15 nyawa petugas kecemasan Palestin
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin sifatkan laporan siasatan tentera Israel “penuh dengan pembohongan”
Israel akui silap, serangan ragut 15 nyawa petugas kecemasan Palestin
TEL AVIV: Tentera Israel pada 20 April mengakui kesilapan operasi telah menyebabkan kematian 15 petugas kecemasan Palestin dalam satu serangan di selatan Gaza pada 23 Mac.
Laporan siasatan yang diumumkan menyatakan kejadian itu berpunca daripada “beberapa kegagalan profesional” dan “pelanggaran arahan” serta memaklumkan seorang komander lapangan akan dipecat susulan tragedi tersebut.
Namun begitu, laporan tersebut menafikan pihak tentera melepaskan tembakan sewenang-wenangnya, di samping menegaskan beberapa individu yang terbunuh didakwa sebagai militan bersenjata.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Palestin dan organisasi kemanusiaan antarabangsa, yang menyifatkan alasan itu sebagai cubaan menutup kesalahan serius terhadap pekerja bantuan.
Kejadian pada 23 Mac itu menyaksikan 14 petugas perubatan dan seorang kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh selepas konvoi yang terdiri daripada ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), kenderaan PBB dan sebuah trak bomba ditembak tentera Israel.
Dalam kejadian yang berlaku berhampiran bandar Rafah di selatan Jaluran Gaza, petugas kecemasan sedang bertindak balas susulan panggilan kecemasan apabila mereka diserang.
Mereka terdiri daripada anggota perubatan dan penyelamat yang berkhidmat dalam keadaan genting ketika serangan baru oleh tentera Israel dilancarkan ke atas wilayah yang dikuasai Hamas.
PRCS dalam kenyataan rasmi menyelar laporan tentera Israel itu sebagai “penuh dengan pembohongan”, sambil menegaskan semua petugas yang terbunuh adalah kakitangan kemanusiaan yang tidak bersenjata.
Jurucakap PRCS, Cik Nebal Farsakh, berkata laporan tersebut tidak sah dan tidak boleh diterima kerana ia cuba menghalalkan pembunuhan dan mengalihkan tanggungjawab kepada kesilapan individu di peringkat komando lapangan.
“Ia tidak sah dan tidak boleh diterima kerana cuba mewajarkan pembunuhan dan menyalahkan kesilapan individu di lapangan, sedangkan hakikat sebenar adalah jauh berbeza,” tambahnya.
Mereka turut menuduh Israel terus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan menyerang pasukan penyelamat yang berada dalam misi bantuan kecemasan.
Kematian 15 petugas itu menimbulkan reaksi antarabangsa yang tegas, termasuk daripada Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, yang menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku jenayah perang.
“Serangan terhadap petugas bantuan adalah satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang serius,” tegas beliau dalam kenyataan terdahulu.
Laporan siasatan yang diketuai oleh Mejar Jeneral Simpanan Yoav Har-Even, menyebut terdapat kelemahan dalam pengesanan sasaran dan kegagalan untuk melaporkan kejadian dengan lengkap kepada pihak atasan.
Mejar Har-Even secara terbuka mengakui kesilapan telah berlaku di lapangan.
“Kami mengatakan ini adalah satu kesilapan.
“Kami tidak menganggapnya sebagai kesilapan yang berlaku setiap hari, tetapi ia tetap satu kesilapan yang kami akui,” kata beliau kepada wartawan ketika ditanya sama ada kejadian itu mencerminkan masalah sistematik dalam struktur ketenteraan Israel.
Namun, beliau menambah siasatan tidak menemukan bukti pasukan tentera melepaskan tembakan secara rawak atau sengaja menyasarkan petugas bantuan.
Kenyataan itu tidak meyakinkan banyak pihak.
Dalam reaksi balas, beberapa pertubuhan hak asasi dan agensi kemanusiaan antarabangsa menyatakan bahawa permintaan mereka agar satu siasatan bebas dan telus dijalankan masih belum dipenuhi.
Mereka menuntut agar Israel membenarkan siasatan antarabangsa dijalankan bagi menentukan sama ada kejadian tersebut melibatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Kejadian itu kini menambah senarai panjang serangan ke atas kemudahan dan kakitangan kemanusiaan sejak konflik Gaza memuncak semula beberapa bulan lalu.
Organisasi antarabangsa termasuk pertubuhan Pemantau Hak Asasi (HRW), yang berpangkalan di New York, dan Amnesti Antarabangsa telah berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap pola serangan yang menyasarkan pusat rawatan, ambulans, dan petugas bantuan.
Aktivis hak asasi manusia, Encik Adam Shapiro, menyifatkan laporan siasatan Israel berhubung pembunuhan petugas perubatan Palestin di Gaza sebagai satu usaha “menutup kebenaran” dan tidak menyentuh dasar sistematik Israel yang memungkinkan kejadian itu berlaku.
“Saya percaya ini sebenarnya adalah satu penipuan yang disengajakan.
“Ia hanya bertujuan meletakkan kesalahan kepada satu individu, bukannya memberi gambaran sebenar tentang apakah yang berlaku,” katanya kepada Al Jazeera. – Agensi berita.

