SPH Logo mobile
Langgan|

Vivian: Prasarana awam, pekerja perubatan di Gaza mesti dilindungi

Vivian: Prasarana awam, pekerja perubatan di Gaza mesti dilindungi

Israel tidak harus gunakan bantuan kemanusiaan untuk dapatkan kelebihan dalam rundingan; gesa Hamas bebas semua tebusan
Apr 9, 2025 | 5:54 PM

Vivian: Prasarana awam, pekerja perubatan di Gaza mesti dilindungi

Kakitangan kecemasan berpelukan antara satu sama lain di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, pada 30 Mac, ketika mayat responden pertama Palestin yang terbunuh seminggu sebelumnya dalam tembakan tentera Israel, dibawa ke kemudahan itu.
Kakitangan kecemasan berpelukan antara satu sama lain di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, pada 30 Mac, ketika mayat responden pertama Palestin yang terbunuh seminggu sebelumnya dalam tembakan tentera Israel, dibawa ke kemudahan itu. - Foto AFP

Singapura masih amat prihatin tentang penyambungan semula permusuhan di Gaza, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, sambil menggesa agar prasarana awam dan pekerja perubatan dilindungi di tengah-tengah keadaan yang semakin buruk itu.

Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan daripada lima Anggota Parlimen (AP) pada 8 April, Dr Balakrishnan juga menggesa Israel supaya memudahkan bantuan kemanusiaan disambung semula ke Gaza tanpa menggunakannya sebagai “sesuatu yang boleh digunakan untuk mendapatkan kelebihan dalam rundingan” dan menggesa Hamas membebaskan semua tebusan yang masih ada.

Dr Balakrishnan menyatakan bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza telah bertambah buruk, kerana bantuan tidak dibenarkan sejak 2 Mac.

Beliau menekankan bagaimana Singapura telah secara konsisten menyeru agar semua pihak dalam konflik itu mematuhi undang-undang antarabangsa dan memastikan orang awam dijauhkan daripada bahaya, lapor The Straits Times.

“Prasarana awam termasuk kemudahan perubatan, serta pekerja perubatan, mesti diberi perlindungan sewajarnya.

“Kami menyeru Israel supaya memudahkan penyambungan semula bantuan kemanusiaan kritikal bagi menyelamatkan nyawa di Gaza.

“Bantuan sedemikian tidak boleh digunakan untuk mendapatkan kelebihan dalam rundingan,” kata Dr Balakrishnan.

Singapura juga menyeru supaya Hamas membebaskan semua tebusan yang masih ada dengan “segera dan tanpa syarat”, katanya.

Dr Balakrishanan menambah: “Kami menggesa semua pihak supaya menyambung semula rundingan dan membuat kemajuan ke arah satu gencatan senjata kekal.”

Kenyataannya itu dibuat sebagai jawapan kepada soalan daripada kedua-dua belah Dewan Parlimen mengenai implikasi permusuhan yang berlaku semula antara Israel dengan Hamas.

Konflik di Timur Tengah kembali memuncak selepas gencatan senjata terputus pada awal Mac, membawa kepada serangan Israel yang dilaporkan telah memusnahkan hospital dan membunuh pekerja kemanusiaan.

Pada 23 Mac, tentera Israel di Gaza telah membunuh 15 pekerja kecemasan Palestin, dengan bedah siasat menunjukkan mereka ditembak dengan niat untuk membunuh.

Pekerja kecemasan itu adalah daripada pertubuhan Palang Merah, Bulan Sabit Merah Palestin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.

Dr Balakrishnan menyatakan bahawa Singapura masih sangat prihatin tentang kehilangan nyawa awam dan pemindahan dalaman rakyat Palestin yang berterusan.

Beliau menegaskan pendirian teguh Singapura bahawa semua pihak mesti mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengutamakan perlindungan orang awam.

Singapura bekerjasama rapat dengan rakan serantau untuk menilai kemungkinan mengerahkan bantuan perubatan selanjutnya oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini menyatakan bahawa SAF sedang mengkaji rancangan menyediakan sokongan perubatan tambahan.

Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) telah bertanya tentang pertimbangan keselamatan sekitar penghantaran kakitangan perubatan Singapura dan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berterusan.

Dr Balakrishnan berkata Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah berhubung rapat dengan pasukan Mercy Relief semasa misi mereka ke Tebing Barat pada Mac 2025.

Beliau juga menyatakan bahawa pasukan itu terdiri daripada karyawan berpengalaman yang mahir menyampaikan bantuan dalam keadaan sukar dan berisiko tinggi.

“Saya memuji mereka atas usaha mereka membantu rakyat Palestin bagi pihak Singapura,” katanya.

AP Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan (Hougang), telah bertanya tentang daya maju bantuan perubatan Singapura di Gaza, serta sama ada membawa orang awam Palestin yang memerlukan prosedur perubatan yang lebih kompleks ke kemudahan perubatan Singapura untuk rawatan adalah alternatif yang berdaya maju.

“Kami belum menerima sebarang permintaan untuk membawa pesakit Palestin yang mungkin memerlukan penjagaan yang lebih kompleks ke Singapura setakat ini, tetapi permintaan sedemikian perlu dinilai dengan teliti, dengan mengambil kira faktor risiko perubatan terutama yang berkaitan dengan pengangkutan jarak jauh pesakit yang memerlukan penjagaan rumit dan pilihan rawatan,” kata Dr Balakrishnan.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) juga bertanya tentang rancangan Singapura untuk bantuan kemanusiaan.

Dr Balakrishnan berkata walaupun sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza masih dilaksanakan, Republik ini terus meneroka cara untuk menyampaikan bantuan dengan rakan kongsi Timur Tengahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg