Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Puan Halimah persoal kehilangan nilai moral, kemanusiaan di Gaza

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Puan Halimah persoal kehilangan nilai moral, kemanusiaan di Gaza

Feb 26, 2024 | 03:48 PM



Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, menggesa kepada dunia pada 26 Februari untuk “berdiri di sisi kemanusiaan”, serta mempersoalkan prinsip moral tentang keadaan yang sedang berlaku di Gaza apabila jumlah kematian rakyat Palestin mencecah hampir 30,000.

Dalam catatan di Facebooknya, Puan Halimah menonjolkan usaha yang teragak-agak untuk melaksanakan gencatan senjata, dan menyatakan bahawa “undang-undang antarabangsa dan badan antarabangsa menjadi tidak relevan”.

“Persetujuan umum yang diwujudkan selepas kengerian Perang Dunia II untuk melindungi mereka yang tidak bersalah semasa peperangan telah terjejas teruk,” ujar Puan Halimah.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, telah berkongsi kiriman Puan Halimah di halaman Facebooknya dengan menulis satu ayat sebagai kapsyen – “Mantan Presiden, Puan Halimah, telah menyuarakan pendapatnya dan saya bersetuju dengannya.”

Puan Halimah sebelum ini mengeluarkan kiriman serupa di Facebook yang menggesa campur tangan, serta mempersoalkan keberkesanan undang-undang antarabangsa beberapa bulan sebelumnya.

Dalam kirimannya pada 26 Februari, beliau juga menyentuh tentang jumlah kematian yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serta kemusnahan hospital, rumah, grid elektrik, sekolah, jalan raya dan prasarana awam lain.

“Penduduk Gaza tidak ada tempat untuk mencari perlindungan. Mereka dibom dari darat, laut dan udara di Rafah yang terletak di Gaza Selatan. Mereka meninggalkan Gaza Utara seperti disuruh, hanya untuk mereka dibunuh kemudian,” kata Puan Halimah.

Beliau kecewa dengan “kemerosotan jiwa manusia”, memetik beberapa contoh termasuk tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) bersuka ria di tengah-tengah kemusnahan, dan pengisytiharan awam daripada rakyat Israel bahawa mereka tidak akan membenarkan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan termasuk ramai kanak-kanak.

“Naluri semula jadi kita ialah untuk melindungi mereka yang paling lemah dan paling terdedah di kalangan kita. Apa telah berlaku kepada jiwa manusia?

“Selepas ini (peperangan) berakhir, adakah mereka dapat hidup dengan hati nurani mereka mengetahui bahawa mereka menyumbang kepada kematian dan kemusnahan beribu-ribu nyawa yang tidak bersalah?” tambah Puan Halimah.

Kirimannya mendapat hampir seribu reaksi dan lebih 400 perkongsian dan komen pada masa artikel ini diterbitkan.

Krisis kemanusiaan Gaza telah meningkat dalam tempoh lima bulan sejak perang bermula, dengan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan perang sudah memasuki “tahap terdesak yang belum pernah terjadi sebelumnya”.

Menurut laporan itu, sesetengah penduduk Gaza terpaksa memakan sisa jagung busuk, makanan haiwan, daging kuda yang disembelih dan juga daun daripada pokok.

Aliran bantuan yang masuk ke Gaza dari Mesir hampir kehabisan, manakala penunjuk perasaan rakyat Israel telah menyukarkan pengagihan makanan yang dapat dihantar masuk.

Pada Mesyuarat Menteri Luar Kumpulan 20 (G20) yang berlangsung dari 21 hingga 22 Februari di Rio de Janeiro, Brazil, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, mengulangi sokongan Singapura untuk melaksanakan gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza.

Ini untuk memudahkan urusan mendesak seperti penyampaian bantuan kepada orang awam yang terjejas dan menyeru agar semua tebusan awam dibebaskan dengan selamat, segera dan tanpa syarat.

Pada 16 Februari, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) PBB berkata tidak terdapat keperluan untuk langkah kecemasan tambahan bagi melindungi hak rakyat Palestin.


Mahkamah itu berkata “keadaan sangat berbahaya” di Semenanjung Gaza dan di Rafah dan ia khususnya “memerlukan langkah-langkah sementara dilaksanakan dengan segera dan berkesan” mengikut perintahnya pada 26 Januari. Namun, ia berkata keadaan itu “tidak memerlukan langkah-langkah sementara tambahan”.


ICJ akan mendengar hujah daripada lebih 50 negara berikutan permintaan Perhimpunan Agung PBB pada 2022 untuk mengeluarkan pendapat tidak mengikat mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di Palestin.


Perbicaraan itu adalah sebahagian daripada desakan Palestin untuk mendapatkan institusi undang-undang antarabangsa memeriksa kelakuan Israel.


Singapura telah membuat beberapa sumbangan bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk menghantar pasukan perubatan untuk merawat mangsa awam yang dibawa ke Mesir, serta menghantar bekalan seperti ubat, barangan sanitasi dan makanan untuk orang awam.


Pertubuhan bantuan kemanusiaan seperti Palang Merah Singapura (SRC) dan Humanity Matters juga telah menghantar bekalan bantuan bernilai ratusan ribu dolar kepada pekerja kemanusiaan yang membantu orang awam terperangkap dalam perang itu.


Satu usaha pengumpulan dana untuk menyediakan bantuan bagi masyarakat di Gaza telah mengumpul lebih daripada $4 juta pada November 2023.


Serangan oleh militan Hamas pada 7 Oktober 2023 membunuh sekitar 1,400 orang dan menyaksikan lebih 200 orang dijadikan tebusan, manakla Israel melancarkan beberapa siri serangan balas dan mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza, iaitu kira-kira separuh saiz Singapura.


Menurut pegawai perubatan Gaza, jumlah kematian rakyat Palestin mencecah hampir 30,000 sejak perang itu bermula.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >