Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa bunuh jurucakap sayap bersenjata Hamas

Sep 1, 2025 | 12:59 PM
Israel, bunuh, jurucakap, Hamas, Abu Obeida
Sejak perang bermula, jurucakap kumpulan Hamas, Encik Abu Obeida, telah mengeluarkan puluhan kenyataan di televisyen dan sentiasa tampil dalam pakaian tentera dan selendang ‘keffiyeh’ merah untuk mengaburi wajahnya. - Foto AFP

BANDA GAZA: Israel berkata pada 31 Ogos, tenteranya telah membunuh jurucakap sayap bersenjata Hamas dalam serangan ke atas Gaza sehari sebelumnya – kematian terkini dalam kalangan barisan pemimpin kanan kumpulan itu dalam perang hampir dua tahun.

“Jurucakap Hamas Abu Obeida telah disingkirkan di Gaza,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, dalam satu hantaran di X, selepas Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, menyatakan sebelum ini bahawa Abu Obeida telah menjadi sasaran dalam satu serangan Israel.

Israel yang telah memusnahkan kepimpinan Hamas selama 23 bulan dalam serangan dahsyat di Jaluran Gaza, menyatakan ia telah berusaha menghapuskan kumpulan bersenjata itu dan mengembalikan tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.

Ketua Tentera Israel, Encik Eyal Zamir, berjanji untuk terus menyasarkan kepimpinan Hamas, yang kebanyakannya kini berada di luar negara.

Hamas tidak mengulas mengenai pembunuhan jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Encik Abu Obeida itu.

Sejak perang bermula, beliau telah mengeluarkan berpuluh-puluh kenyataan yang disiarkan di televisyen – sentiasa muncul dalam pakaian tentera dan selendang keffiyeh merah untuk mengaburi wajahnya.

Beliau juga menerbitkan mesej audio, siaran akhbar dan siaran media sosial.

Di Bandar Gaza, penduduk dilihat memeriksa kerosakan di sebuah khemah yang musnah akibat pengeboman semalaman oleh tentera Israel.

Pelarian Palestin yang berlindung di kawasan itu, Encik Ashraf Abu Amsha, berkata bahawa “kengerian, ketakutan, kemusnahan dan kebakaran melanda kawasan perkhemahan”.

Tentera Israel bersiap sedia untuk menduduki Bandar Gaza, dengan meningkatkan pengeboman di kawasan itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ketika Kabinet Israel dijangka bermesyuarat pada 31 Ogos untuk membincangkan rancangan itu, kumpulan kempen Forum Tebusan dan Keluarga Hilang memberi amaran terhadap operasi ketenteraan Israel yang boleh membahayakan nyawa tebusan di Gaza.

Daripada 251 tebusan yang ditawan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, seramai 47 masih ditahan di Gaza, termasuk 25 yang dikatakan tentera telah mati.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza, serangan dan pengeboman tentera Israel di seluruh wilayah itu pada 31 Ogos membunuh sekurang-kurangnya 63 orang, dengan 24 daripadanya berhampiran tapak pengagihan bantuan.

Pembunuhan Encik Abu Obeida adalah yang terkini dalam rentetan serangan yang menyasarkan tokoh kanan Hamas, termasuk pemimpin kanan, Encik Yahya Sinwar, yang dituduh Israel mendalangi serangan 2023.

Operasi Israel juga telah membunuh ketua politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, ketua sayap bersenjatanya, Encik Mohammed Deif, dan komander serta tokoh politik lain, yang dikatakan telah melemahkan pergerakan tersebut.

Terdahulu pada 31 Ogos, Hamas mengesahkan kematian Encik Mohammed Sinwar, abang Encik Yahya Sinwar, lebih tiga bulan selepas Israel berkata ia telah membunuhnya dalam serangan udara di Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg