SPH Logo mobile
Langgan|

Israel didakwa tembak mati 17 penduduk Gaza di lokasi agih bantuan

Israel didakwa tembak mati 17 penduduk Gaza di lokasi agih bantuan

Jun 10, 2025 | 4:15 PM

Israel didakwa tembak mati 17 penduduk Gaza di lokasi agih bantuan

Penduduk Palestin menerima dan membawa bekalan bantuan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF)  yang disokong Amerika Syarikat, di Rafah, selatan Jaluran Gaza pada 9 Jun 2025.
Penduduk Palestin menerima dan membawa bekalan bantuan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF)  yang disokong Amerika Syarikat, di Rafah, selatan Jaluran Gaza pada 9 Jun 2025. - Foto REUTERS

GAZA: Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat tembakan tentera Israel ketika ribuan penduduk yang dipindahkan menghampiri lokasi pengagihan bantuan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat di Gaza tengah pada 10 Jun, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Petugas perubatan berkata mangsa telah dibawa ke dua hospital iaitu Hospital Al-Awda di kem Nuseirat di Gaza tengah, dan Hospital Al-Quds di Bandar Gaza, di utara.

Tentera Israel menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.

Terdahulu Israel telah memberi amaran kepada rakyat Palestin supaya tidak menghampiri laluan menuju ke lokasi GHF antara pukul 6 petang dan 6 pagi waktu tempatan, dengan menyatakan bahawa laluan tersebut merupakan zon tentera tertutup.

Tiada kenyataan segera diberikan oleh GHF berhubung insiden pada 10 Jun itu.

GHF mula mengedarkan pakej makanan di Gaza pada akhir Mei, dengan mengendalikan model baru pengagihan bantuan yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak bersifat berkecuali atau tidak memihak.

Bagaimanapun, ramai penduduk Gaza berkata mereka terpaksa berjalan selama berjam-jam untuk sampai ke lokasi tersebut, menyebabkan mereka perlu bergerak awal sebelum subuh bagi mempunyai peluang memperoleh makanan.

Walaupun GHF menyatakan tiada insiden berlaku di lokasi pengagihan selamat mereka, rakyat Palestin yang mencari bantuan menggambarkan keadaan tidak teratur, manakala laluan menuju ke lokasi tersebut dipenuhi kekacauan dan keganasan maut.

“Saya pergi ke sana jam 2 pagi dengan harapan dapat makanan, dalam perjalanan saya lihat ramai yang pulang dengan tangan kosong, mereka kata bantuan habis dalam lima minit, ini gila dan tak cukup,” kata Encik Mohammad Abu Amr, 40 tahun, seorang bapa dua anak.

“Berpuluh ribu orang datang dari kawasan tengah dan juga utara, ada yang berjalan lebih 20 kilometer, hanya untuk pulang dengan kecewa,” katanya kepada Reuters menerusi aplikasi sembang.

Beliau berkata mendengar tembakan tetapi tidak melihat apa yang berlaku.

Israel membenarkan operasi terhad yang diketuai PBB disambung semula pada 19 Mei selepas sekatan selama 11 minggu di wilayah yang mempunyai 2.3 juta penduduk itu, di mana pakar memberi amaran bahawa kebuluran sedang menghampiri.

PBB menggambarkan bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza sebagai “setitis dalam lautan”.

Saksi berkata sekurang-kurangnya 40 buah trak yang membawa tepung untuk gudang PBB telah dirompak oleh penduduk yang terdesak dan pencuri berhampiran bulatan Nabulsi di sepanjang jalan pesisir di Bandar Gaza. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg