RIYADH/ABU DHABI: Hubungan antara Arab Saudi dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sedang memasuki fasa baharu yang lebih terbuka dan konfrontasi, dengan pertikaian merentasi beberapa medan geopolitik utama termasuk Yaman, Sudan, Somalia dan hubungan dengan Israel.
Perkara yang sebelum ini terselindung di sebalik bahasa diplomatik kini semakin dizahirkan secara terbuka, menandakan satu peralihan penting dalam landskap politik Asia Barat dan Tanduk Afrika ketika rantau itu melangkah ke 2026.
Perubahan itu bukan sekadar pertelingkahan taktikal, malah, mencerminkan pertembungan dua pendekatan strategik yang semakin berbeza antara Riyadh dengan Abu Dhabi.
Ketegangan terkini di Yaman, termasuk serangan udara Saudi ke atas pelabuhan Mukalla yang didakwa menyasarkan penghantaran senjata berkait UAE, menjadi lambang jelas peralihan hubungan daripada persaingan terpendam kepada pertikaian terbuka.
Dalam kenyataan luar biasa yang jarang berlaku antara dua negara Teluk, Arab Saudi menuduh UAE terlibat dalam tingkah laku “amat berbahaya” yang mengancam keselamatan negara itu.
UAE pula membalas dengan menuduh Riyadh menyebarkan “ketidaktepatan asas”.
Pertukaran tuduhan itu, ditambah dengan kritikan terbuka daripada penganalisis dan tokoh awam kedua-dua negara, memperlihatkan bahawa hubungan dua kuasa Teluk ini mungkin telah melepasi titik kawalan tradisional.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Arab Saudi dan UAE sebenarnya telah berbeza pandangan dalam beberapa isu penting.
Ia termasuk dasar pengeluaran minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) Plus; perang saudara di Sudan dan peranan kumpulan bersenjata bukan negara.
Namun, perbezaan tersebut jarang dizahirkan secara terbuka.
Perbezaan utama krisis terkini terletak pada sifatnya yang lebih langsung dan bersifat ketenteraan, sekali gus menandakan peralihan daripada perselisihan tersirat kepada konfrontasi terbuka antara pihak-pihak yang terlibat.
Serangan Saudi ke atas sasaran yang didakwa berkait UAE di Yaman menandakan satu garis merah baru.
Seperti yang dinyatakan oleh penganalisis Saudi, Dr Abdulaziz Alghashian, “kini jelas bahawa keadaan sedang memasuki fasa di mana hubungan mungkin tidak kembali seperti sediakala”.
Menurut Dr Alghashian, kumpulan pemisah di rantau itu sedang berusaha mengubah realiti politik dan sempadan “yang menguntungkan UAE tetapi merugikan Arab Saudi.”
Analisis itu mencerminkan kebimbangan Riyadh pendekatan Abu Dhabi terhadap kumpulan bersenjata bukan negara boleh menggugat kestabilan wilayah dan keselamatan sempadannya sendiri.
Salah satu garis pemisah paling jelas antara kedua-dua negara ialah pendekatan terhadap kumpulan bersenjata bukan negara.
UAE dilihat semakin selesa menyokong pasukan paramiliter dan gerakan pemisah, sama ada di Yaman melalui Majlis Peralihan Selatan (STC) atau di Sudan melalui dakwaan sokongan kepada Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
STC ialah kumpulan politik dan bersenjata di Yaman yang memperjuangkan pemisahan Yaman Selatan.
Ditubuhkan pada 2017 dan berpangkalan di Aden, STC menerima sokongan ketenteraan dan politik dari UAE, khususnya kerana kepentingan strategik di kawasan pelabuhan dan laluan maritim selatan Yaman.
RSF pula merupakan pasukan paramiliter di Sudan yang lahir daripada militia Janjaweed dan kini menjadi aktor utama dalam perang saudara negara itu.
Dipimpin oleh Encik Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti), RSF dituduh menerima sokongan luar termasuk daripada UAE, dakwaan yang dinafikan tetapi sering dibangkitkan oleh penganalisis dan pemantau antarabangsa.
Encik Kristian Ulrichsen, pakar Teluk dan zamil di Institut Baker menyatakan bahawa “UAE mungkin sedang menghampiri titik genting dalam keupayaannya mengimbangi hubungan dengan rakan utama seperti Arab Saudi dan Mesir, sambil terus menyokong aktor bersenjata bukan negara.”
Beliau menyebut Yaman dan Sudan sebagai contoh utama.
Sebaliknya, Arab Saudi semakin menampilkan diri sebagai kuasa yang mempertahankan kedaulatan negara dan sempadan sedia ada.
Encik Hesham Alghannam, penganalisis pertahanan Saudi di Pusat Timur Tengah Carnegie menjelaskan bahawa kelebihan Riyadh kini terletak pada “kewajaran legitimasi antarabangsa, kedalaman strategik, pengaruh ekonomi dan pengajaran yang dipelajari daripada konflik lampau.”
“Riyadh telah beralih daripada peperangan ekspedisi berskala besar kepada pendekatan yang menekankan pencegahan, tekanan terpilih dan hasil politik,” katanya.
Pendekatan itu mencerminkan penilaian semula strategi Saudi selepas pengalaman pahit di Yaman, di mana kekuatan ketenteraan semata-mata gagal membawa kemenangan muktamad.
Ketegangan Saudi-UAE tidak terhad kepada Yaman.
Di Sudan, Arab Saudi menyokong tentera rasmi dan menganjurkan rundingan damai, manakala UAE dituduh menyokong RSF, satu dakwaan yang dinafikan Abu Dhabi tetapi telah menimbulkan tekanan antarabangsa.
Di Somalia pula, perbezaan pendirian semakin ketara apabila Arab Saudi menyertai kecaman terhadap pengiktirafan Israel ke atas Somaliland, manakala UAE tidak menyertai kecaman tersebut dan diketahui bekerjasama rapat dengan wilayah itu, termasuk pembinaan pangkalan ketenteraan.
Corak itu menunjukkan perbezaan mendasar: Saudi berusaha mengekalkan struktur negara sedia ada, manakala UAE lebih cenderung memanfaatkan aktor tempatan untuk membina pengaruh strategik jangka panjang, khususnya di kawasan pesisir dan laluan perdagangan utama.
Hubungan dengan Israel turut menjadi satu lagi sumber pergeseran.
UAE telah memulihkan hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham pada 2020 dan terus memperdalam kerjasama tersebut.
Dr Kristin Diwan, dari Institut Negara-Negara Teluk Arab, berkata: “Amiriah semakin mendekatkan diri dengan Israel sejak Perjanjian Abraham.”
Arab Saudi pula berada dalam kedudukan lebih berhati-hati, khususnya selepas perang Gaza, yang menjadikan pemulihan hubungan dengan Israel secara terbuka satu langkah berisiko dari sudut politik domestik dan serantau.
Akibatnya, UAE dilihat meningkatkan penyelarasan dengan kuasa serantau bukan Arab lain seperti Turkey, satu perkembangan yang berpotensi membentuk penjajaran baharu yang lebih kompleks.
Beberapa penganalisis menilai krisis semasa itu lebih serius berbanding perpecahan Teluk pada 2017 yang melibatkan Qatar.
Krisis pada 2017 tercetus apabila Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Doha, dengan tuduhan Qatar menyokong kumpulan Islam politik dan mengekalkan hubungan terlalu rapat dengan Iran.
Ketika itu, Saudi dan UAE berada di pihak yang sama, dan krisis akhirnya diselesaikan melalui pengantaraan serantau.
Encik Alghannam, menambah, “Episod Qatar adalah keretakan diplomatik yang akhirnya dapat diterbalikkan.
“Krisis hari ini lebih sukar kerana ia berpunca daripada strategi serantau yang bersaing”.
Kuwait dan Oman yang sebelum ini bertindak sebagai pengantara mungkin menghadapi kesukaran memainkan peranan sama kali ini.
Namun, tidak semua penganalisis melihat krisis itu sebagai perpecahan kekal.
Encik Bader Al-Saif dari Universiti Kuwait berpendapat pertikaian terbuka bukanlah sesuatu yang luar biasa di Teluk.
“Ini negara-negara biasa yang berbeza pendapat. Kita tidak perlu mengasingkan Teluk seolah-olah ia unik,” katanya.
Beliau menambah bahawa kepentingan bersama dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan akhirnya boleh memaksa kedua-dua pihak kembali kepada bentuk kerjasama pragmatik.
“Masalahnya bukan konflik itu sendiri, tetapi bagaimana konflik itu diuruskan,” ujar Encik Al-Saif.
Memasuki 2026, Timur Tengah berkemungkinan ditentukan oleh cara Saudi dan UAE mengurus persaingan terbuka ini.
Sekiranya Riyadh berjaya membina pakatan politik yang lebih luas berasaskan kewajaran negara, dan Abu Dhabi terus mengembangkan pengaruh melalui proksi dan jaringan maritim, rantau itu mungkin menyaksikan penjajaran baru yang lebih cair dan berlapis.
Penganalisis Kanan di Atlantic Council, sebuah badan pemikir berpengaruh yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat, Encik Emadeddin Badi, berkata:
“Jika satu pakatan luas menentang UAE benar-benar terbentuk, ia akan menjadi anjakan geopolitik yang belum pernah berlaku sebelum ini.”
Namun, sama ada senario itu akan menjadi realiti atau sekadar tekanan sementara, masih bergantung kepada keupayaan kedua-dua kuasa Teluk itu menyeimbangkan persaingan dengan keperluan kestabilan serantau.
Semakin ketara, ketegangan antara Arab Saudi dengan UAE kini telah melangkaui kerangka isu dalaman Teluk semata-mata.
Ia kini menjadi faktor penentu dalam membentuk semula penjajaran kuasa di Asia Barat dan Afrika pada tahun-tahun mendatang, ujar Encik Badi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg