Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel nanti mayat tebusan terakhir selepas pemulangan mayat warga Thailand

Dec 5, 2025 | 12:19 PM
tebusan israel, hamas, jihad islam, beit Lahia, jaluran gaza
Militan Jihad Islam dan Hamas mengusung beg mayat putih yang dipercayai membawa jenazah seorang tebusan Israel di bandar Beit Lahia, utara Jaluran Gaza, pada 3 Disember. - Foto AFP

GAZA: Israel masih menunggu pemulangan mayat tahanan terakhir yang ditahan militan Palestin di Gaza, ketika tentera Israel pada 4 Disember mengesahkan mayat seorang warga Thailand telah dikenal pasti selepas diserahkan oleh kumpulan militan.

Di bawah fasa pertama gencatan senjata yang dirunding Amerika Syarikat antara Israel dengan Hamas, semua 48 tebusan termasuk 20 yang masih hidup sepatutnya dipulangkan.

Namun setakat ini, hanya mayat warga Israel, Encik Ran Gvili, seorang pegawai unit elit Yasam yang berusia 24 tahun ketika serangan Hamas tercetus, masih belum dikembalikan, sekali gus mencetuskan ketegangan baru.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan berkata sebuah delegasi telah dihantar ke Kahirah pada 4 Disember bagi membincangkan usaha membawa pulang mayat Encik Gvili.

Israel menuduh militan Palestin “melengah-lengahkan” pemulangan baki mayat tebusan.

Di Dataran Tahanan Tel Aviv, lokasi simbolik yang menjadi tumpuan perhimpunan mingguan menuntut pembebasan semua tebusan, suasana pagi 4 Disember penuh dengan emosi bercampur baur.

Poster wajah Encik Gvili dan Encik Sudthisak Rinthalak, warga Thailand yang mayatnya dipulangkan dipamerkan bersama bendera Israel dan reben kuning, lambang perjuangan menuntut pembebasan tebusan.

“Kami rasa gembira kerana seorang lagi tebusan kembali, tetapi dalam masa yang sama kesedihan mendalam kerana seorang masih tertinggal,” kata Cik Orly, seorang ahli farmasi dari Tel Aviv, kepada agensi berita, AFP.

Bagi Encik Mirala Gal, seorang sukarelawan, perjuangan itu belum selesai.

“Ia kewajipan kami memastikan mereka semua pulang ke rumah,” katanya.

Tentera Israel mengesahkan mayat Encik Rinthalak dikenal pasti selepas diserahkan Hamas dan sekutunya, Jihad Islam.

Beliau terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan mayatnya dibawa ke Gaza.

Encik Rinthalak, 43 tahun, bekerja dalam sektor pertanian dan kematiannya disahkan secara rasmi pada Mei 2024.

Menurut Forum Keluarga Tahanan dan Individu Hilang, kumpulan utama yang mewakili keluarga tebusan, pemulangan mayat Encik Rinthalak memberikan sedikit kelegaan.

“Dalam kedukaan mereka dan kesedaran bahawa hati itu tidak akan sembuh sepenuhnya, kepulangan Sudthisak memberi sedikit ketenangan selepas lebih dua tahun ketidakpastian,” kata kenyataan itu.

Encik Netanyahu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Encik Rinthalak dan kerajaan Thailand.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata di wadah X, Israel akan memberikan “bantuan dan manfaat kepada keluarganya”.

Encik Gvili terbunuh ketika bertempur pada 7 Oktober dan mayatnya dibawa ke Gaza.

“Yang pertama pergi, yang terakhir kembali… Kami tidak akan berhenti sehingga kamu pulang,” tulis ibunya, Cik Talik Gvili, di X bersama gambar anaknya.

Secara keseluruhan, militan Hamas telah menculik 251 orang pada Oktober 2023, dalam serangan yang mengorbankan 1,221 orang.

Serangan balas Israel ke atas Gaza pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 70,125 orang, berdasar angka Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pemulangan mayat Encik Rinthalak berlaku ketika gencatan senjata yang bermula 10 Oktober semakin rapuh, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian.

Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan satu serangan udara Israel di Al-Mawasi pada 3 Disember telah membunuh lima orang termasuk dua kanak-kanak.

Tentera Israel pula berkata pihaknya menyasarkan seorang militan Hamas selepas berlaku pertempuran yang mencederakan lima askar Israel.

Rakaman AFP menunjukkan puluhan penduduk Khan Younis meratapi kematian ahli keluarga mereka pada 4 Disember.

Wanita-wanita menangis sambil memegang beg plastik putih yang berisi mayat insan tersayang.

“Mereka hanya orang awam dan kanak-kanak yang sedang tidur… Adakah ini matlamat Israel? Untuk membunuh rakyat Palestin?” kata Encik Raafat Abu Hussein, yang kehilangan beberapa ahli keluarga.

“Kami berharap dunia berdiri bersama kami dan menghentikan pertumpahan darah ini, supaya fasa kedua perjanjian dapat bermula, diikuti fasa ketiga pembinaan semula, agar kami boleh kembali hidup seperti dahulu,” katanya.

Sejak gencatan senjata bermula, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 366 penduduk Palestin terbunuh akibat tembakan Israel, manakala tentera Israel mengesahkan tiga anggota mereka turut maut.

Hamas pula menegaskan proses mencari mayat tebusan yang masih tertinggal agak perlahan kerana banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan selepas dua tahun perang berterusan menjadikan pencarian satu tugas yang semakin sukar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg