Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Thai yang ditahan sebagai tebusan di Gaza pulang ke tanah air

Feb 10, 2025 | 12:50 PM
Pekerja ladang asal Thailand ,Encik Watchara Sriaoun, (kanan) mendakap datuknya, Encik Sompong Sriaoun, sejurus pulang ke pangkuan keluarganya di wilayah Udon Thani pada 9 Februari 2025.
Pekerja ladang asal Thailand ,Encik Watchara Sriaoun, (kanan) mendakap datuknya, Encik Sompong Sriaoun, sejurus pulang ke pangkuan keluarganya di wilayah Udon Thani pada 9 Februari 2025. - Foto: AFP

THAILAND: Apabila Encik Surasak Rumnao meninggalkan rumahnya di wilayah Udon Thani, Thailand, tiga tahun lalu untuk bekerja sebagai petani di bandar Yesha di selatan Israel, keluarganya tidak pernah membayangkan mereka akan terputus hubungan dengannya selama lebih setahun apabila beliau ditahan Hamas pada Oktober 2023.

Namun, hilang gelap timbul cerah apabila pemuda berusia 31 tahun itu dan empat rakan senegaranya pulang ke pangkuan keluarga mereka selepas dibebaskan dari tahanan di Gaza pada 9 Februari.

Menurut pihak berkuasa Israel, kumpulan Hamas telah menahan lebih 240 orang - rakyat Israel dan warga asing - sebagai tebusan dalam serangan mereka pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.

Dalam serangan itu, Hamas telah membunuh lebih 40 warga Thailand dan menahan 31 buruh daripada negara itu, yang sebahagiannya mati dalam tahanan, menurut kerajaan Thailand.

Rakyat Thailand yang terbunuh itu adalah antara lebih 1,200 orang yang maut dalam serangan maut Hamas di selatan Israel.

Lewat 2023, kumpulan pertama tebusan Thailand telah dibebaskan dan selamat pulang ke negara mereka.

Ibu Encik Surasak, Cik Khammee Rumnao, amat berasa lega kerana anaknya tidak dianiaya dan telah selamat pulang ke rumahnya, kira-kira 620 kilometer ke timur laut Bangkok.

“Dia diberi makan roti, dia dijaga dengan baik dan diberi makan tiga kali sehari,” kata Cik Khammee.

Menurut beliau, anak lelakinya itu tidak bercadang untuk kembali bekerja di Israel dan mahu memanfaatkan ilmu pertanian yang dipelajari di negara itu untuk bertani di rumah mereka.

Datuk dan neneknya dan saudara maranya yang lain datang ke rumah mereka untuk menyambutnya pulang.

Ayah tirinya, Encik Janda Prachanan, berkata: “Tiada perkataan yang dapat saya ungkapkan untuk menggambarkan betapa gembiranya saya apabila anak tiri saya selamat dan akhirnya pulang.”

Terdahulu pada 9 Februari, tebusan yang berpakaian jaket musim sejuk, disambut dengan air mata kegembiraan oleh keluarga mereka yang menunggu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok.

“Kami semua sangat terharu kerana selamat kembali ke tempat kelahiran kami. Kami semua benar-benar bersyukur.” kata seorang lagi tebusan, Encik Pongsak Thaenna.

Sebelum konflik, kira-kira 30,000 buruh daripada Thailand bekerja di sektor pertanian Israel, menjadikan mereka salah satu kumpulan pekerja asing terbesar di negara itu.

Hampir 9,000 rakyat Thailand dihantar pulang berikutan perang yang meletus pada 7 Oktober 2023 itu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg