Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel serang pusat nuklear, kilang peluru berpandu Iran

Iran lancar sekitar 100 dron ke arah Israel sebagai tindak balas
Jun 13, 2025 | 4:42 PM
Bangunan di Tehran ini terkena serangan udara Israel pada 13 Jun 2025. Israel mengesahkan telah melancarkan serangan ke atas ‘program nuklear’ Iran ketika letupan kuat kedengaran di seluruh negara itu.
Bangunan di Tehran ini terkena serangan udara Israel pada 13 Jun 2025. Israel mengesahkan telah melancarkan serangan ke atas ‘program nuklear’ Iran ketika letupan kuat kedengaran di seluruh negara itu. - Foto AFP

TEL AVIV: Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Iran pada 13 Jun, menyasar kemudahan nuklear, kilang peluru berpandu serta pemimpin tentera kanan dan pakar nuklear sebagai permulaan kepada operasi berkekalan untuk menghalang Tehran daripada membina senjata nuklear.

Menurut jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF), Brigedier Jeneral Effie Defrin, kira-kira 100 dron telah dilancarkan oleh Iran sebagai tindak balas, dan sistem pertahanan udara Israel kini sedang berusaha memintas ancaman tersebut.

Media Iran serta saksi melaporkan berlaku letupan di beberapa lokasi termasuk di Natanz, pusat utama pengayaan uranium.

Israel pula mengisytiharkan darurat bagi mengharungi kemungkinan serangan balas peluru berpandu atau dron.

Dalam komennya mengenai situasi di Timur Tengah pada 13 Jun, seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata sejauh ini belum ada sebarang laporan mengenai warga Singapura yang cedera di Israel atau Iran.

“Memandangkan keadaan keselamatan yang tidak menentu, rakyat Singapura dinasihatkan untuk menangguhkan semua perjalanan ke Israel dan Iran.

“Rakyat Singapura di Israel dan Iran dinasihatkan untuk tinggal di dalam rumah, pergi ke tempat perlindungan selamat apabila dimaklumkan, memantau berita dengan teliti dan mematuhi nasihat pemerintah tempatan. Sila kekal berjaga-jaga sepanjang masa,” kata MFA yang berkata ia bimbang dengan ketegangan yang meningkat dalam rantau itu.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam kenyataannya pada 13 Jun menyatakan tiada peningkatan tahap radiasi di tapak Natanz, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Iran.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengesahkan komander utamanya, Encik Hossein Salami, terbunuh, dan markas mereka di Tehran turut jadi sasaran. Difahamkan serangan juga telah meragut nyawa beberapa kanak-kanak di kawasan perumahan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu rakaman video menyifatkan ini sebagai “masa kritikal dalam sejarah Israel.”

Beliau berkata: “Operasi Rising Lion dilancarkan untuk menundukkan ancaman Iran terhadap kelangsungan hidup Israel. Operasi ini akan diteruskan selama mana diperlukan untuk menghapuskan ancaman tersebut.”

Menurut beliau, lebih 200 pesawat pejuang terlibat dalam gelombang pertama serangan yang menyasarkan lebih 100 lokasi di Iran. Israel turut mengesahkan bahawa Ketua Staf Tentera Iran, komander IRGC, dan ketua operasi kecemasan negara terbunuh dalam serangan tersebut.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, membalas dalam satu kenyataan bahawa Israel telah melancarkan “tangan zalim dan berdarah” ke atas Iran dan akan menerima “nasib yang pahit.”

Serangan Israel disokong oleh operasi sabotaj sulit oleh agensi perisikan Mossad, yang mensasarkan kemudahan peluru berpandu dan pertahanan udara Iran.

Media rasmi Iran mengesahkan dua saintis nuklear utama, Encik Fereydoun Abbasi dan Encik Mohammad Mehdi Tehranchi, antara yang terbunuh. Pihak negara itu menegaskan tiada kerosakan dilaporkan pada kemudahan penapisan dan simpanan minyak, dan aktiviti masih berjalan seperti biasa.

Dalam tindak balas keselamatan, Iran menutup ruang udara negara manakala Israel pula menutup Lapangan Terbang Ben Gurion sehingga diberitahu kelak, lapor agensi berita Reuters.

Panglima Angkatan Tentera Israel, Eyal Zamir, berkata puluhan ribu tentera telah dikerah dan “bersedia di semua sempadan.” Beliau menegaskan, “Kita sedang berada dalam kempen bersejarah yang kritikal untuk menghalang ancaman kewujudan Israel.”

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, melakukan banyak panggilan telefon dengan rakan sejawat di seluruh dunia bagi membincangkan tindakan serangan tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump pula menyifatkan Iran tidak boleh membina senjata nuklear dan berharap rundingan damai dapat disambung semula. “Kita akan lihat nanti,” kata Encik Trump kepada Fox News.

Setiausaha Negara Amerika Encik Marco Rubio menegaskan, negara itu tidak terlibat dalam serangan Israel terhadap Iran, sambil menggesa Tehran agar tidak mensasarkan kepentingan atau anggota tentera Amerika di rantau itu.

“Israel telah mengambil tindakan secara unilateral terhadap Iran. Kami tidak terlibat dalam sebarang serangan ke atas Iran dan keutamaan utama kami adalah untuk melindungi pasukan tentera Amerika di rantau ini. Saya ingin tegaskan: Iran tidak seharusnya mensasarkan kepentingan atau anggota tentera Amerika Syarikat,” tambah beliau.

Tentera Amerika pula dilaporkan bersiapsiaga untuk pelbagai kemungkinan di Timur Tengah, termasuk membantu pemindahan warga awam Amerika jika perlu.

Pasaran kewangan Asia menunjukkan reaksi negatif. Bursa saham jatuh manakala harga minyak naik.

Pemimpin dunia turut memberi reaksi masing-masing dan menzahirkan kebimbangan susulan ketegangan meningkat antara Israel dan Iran. Beberapa negara Arab mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan ketenteraan Israel ke atas Iran, selepas rejim Tel Aviv melancarkan siri serangan udara ke atas fasiliti nuklear dan ketenteraan di negara itu.

Arab Saudi menjadi antara negara pertama yang menyuarakan kecaman, menyifatkan tindakan Israel itu sebagai serangan kejam terhadap “Republik Islam Iran yang bersaudara.”

“Kerajaan Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim ini. Kerajaan juga menegaskan bahawa komuniti antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memikul tanggungjawab besar untuk menghentikan pencerobohan ini dengan segera,” menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Arab Saudi.

Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang sebelum ini menjalin hubungan diplomatik rapat dengan Israel melalui Perjanjian Abraham, turut mengkritik keras tindakan tersebut.

Kementerian Luar negara itu menegaskan keperluan mendesak untuk kembali kepada penyelesaian diplomatik dan menghormati undang-undang antarabangsa.

“Kementerian ingin menegaskan kepercayaan UAE bahawa penyelesaian terbaik kepada krisis semasa adalah melalui dialog, pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap kedaulatan negara-negara,” kata kenyataan itu.

Jordan, yang mempunyai perjanjian damai jangka panjang dengan Israel sejak 1994, menyifatkan serangan itu sebagai satu pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Iran, sebuah negara anggota PBB.

PBB melalui jurucakapnya, Encik Farhan Haq, menyeru agar semua pihak menunjukkan “pengekangan maksimum” dan mengelak daripada konflik yang lebih meluas di rantau yang tidak mampu ditanggung lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg