Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel serang Syria selepas serangan dua peluru berpandu

Jun 4, 2025 | 2:09 PM
syria, Quneitra, Daraa, serangan israel
Sumber keselamatan Syria melaporkan beberapa siri serangan Israel menyasarkan beberapa kawasan di luar bandar Damsyik seperti Quneitra dan Daraa. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Tentera Israel berkata ia telah menyerang kawasan selatan Syria selepas melaporkan dua peluru berpandu dilancarkan dari Syria ke Israel pada 3 Jun.

Tidak jelas siapa yang bertanggungjawab bagi pelancaran kedua-dua peluru itu.

Agensi berita negara Syria dan sumber keselamatan melaporkan beberapa siri serangan Israel, yang pertama dalam tempoh hampir sebulan, menyasarkan beberapa kawasan di luar Damsyik seperti Quneitra dan Daraa.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, dipetik sebagai berkata bahawa beliau menganggap Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, bertanggungjawab ke atas dua pelancaran peluru itu.

“Kami menganggap presiden Syria bertanggungjawab secara langsung terhadap sebarang ancaman dan serangan terhadap Israel, dan tindak balas penuh akan menyusul kelak,” tambah Encik Katz.

Kementerian Luar Syria berkata bahawa laporan mengenai pelancaran peluru ke arah Israel masih belum disahkan dan mengulangi bahawa Syria tidak akan menimbulkan ancaman kepada mana-mana pihak di rantau itu, lapor agensi berita Sana.

“Kami percaya terdapat banyak pihak yang mungkin berusaha menjejas kestabilan rantau ini untuk kepentingan mereka sendiri,” tambah kementerian itu.

Syria dan Israel baru-baru ini terlibat dalam rundingan langsung untuk meredakan ketegangan, perkembangan penting dalam hubungan antara dua negara Timur Tengah itu yang menjadi musuh selama beberapa dekad.

Tentera Israel sebelum ini berkata dua peluru melintasi dari Syria ke arah Israel dan jatuh di kawasan terbuka.

Beberapa media Arab dan Palestin mendakwa kumpulan yang kurang dikenali ‘Briged Muhammad Deif’ bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Kumpulan itu dikaitkan dengan ketua tentera Hamas yang terbunuh dalam serangan Israel pada 2024.

Media pemerintah Syria sebelum ini melaporkan serangan Israel di wilayah selatan Daraa, yang menurut Kementerian Luar Syria telah mengakibatkan “kehilangan nyawa dan kerosakan dan material yang ketara”.

Penduduk tempatan berkata mortar Israel menyerang kawasan Wadi Yarmouk, barat wilayah Daraa, berhampiran sempadan dengan Golan Heights yang diduduki Israel.

Kawasan itu telah menyaksikan peningkatan ketegangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk pencerobohan tentera Israel ke kampung-kampung berhampiran.

Israel telah melancarkan kempen pengeboman udara yang memusnahkan kebanyakan infrastruktur ketenteraan Syria.

Ia juga telah menduduki kawasan Golan Heights sejak perang Arab-Israel 1967 dan mengambil lebih banyak wilayah selepas penyingkiran bekas Presiden Syria Encik Bashar al-Assad pada Disember. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg