Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Amerika beri bayangan Gaza hampir capai gencatan senjata

Jun 26, 2025 | 10:49 AM
Perang Gaza, Israel, Presiden Trump
Penduduk Palestin berkumpul di sebuah pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah badan swasta, berhampiran kem pelarian Nuseirat di utara Jaluran Gaza pada 25 Jun. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 25 Jun berkata terdapat kemajuan dalam usaha menamatkan perang antara Israel dengan Hamas di Gaza, ketika satu lagi rundingan gencatan senjata dimulakan, lebih 20 bulan sejak konflik berdarah itu tercetus.

“Saya rasa kemajuan besar sedang berlaku di Gaza,” kata Encik Trump kepada wartawan, sambil menambah bahawa utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, telah memaklumkan bahawa “Gaza kian hampir” mencapai penyelesaian.

Encik Trump menyatakan keyakinan itu susulan berita gencatan senjata yang dicapai antara Israel dengan Iran pada 24 Jun bagi menamatkan perang selama 12 hari antara dua musuh serantau itu.

Iran merupakan sekutu utama Hamas.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kini berdepan tekanan daripada parti pembangkang, anggota keluarga tebusan yang masih ditahan di Gaza dan juga sekutu dalam gabungan pemerintahannya sendiri supaya menghentikan konflik yang tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Qatar, yang bertindak sebagai pengantara utama, mengumumkan pada 24 Jun ia akan memulakan satu lagi usaha bagi mencapai gencatan senjata baru.

Hamas menyatakan pada 25 Jun rundingan telah dipertingkatkan.

“Komunikasi kami dengan pengantara dari Mesir dan Qatar tidak pernah terhenti, malah semakin intensif dalam beberapa jam kebelakangan ini,” kata pegawai Hamas, Encik Taher al-Nunu, kepada agensi berita AFP.

Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa Hamas “belum menerima sebarang cadangan baru” untuk menamatkan perang setakat ini.

Pemerintah Israel enggan mengulas mengenai rundingan terbaru itu, dan hanya menyatakan bahawa usaha untuk membawa pulang tebusan Israel dari Gaza masih diteruskan “di medan tempur dan melalui rundingan”.

Israel menghantar tenteranya ke Gaza bagi membanteras Hamas yang disokong Iran dan menyelamatkan tebusan selepas serangan mengejut Hamas yang membunuh 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan data rasmi.

Sejak itu, kempen ketenteraan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 56,156 orang, juga kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap angka tersebut boleh dipercayai.

Dalam salah satu kejadian paling berdarah bagi tentera Israel sejak perang bermula, tujuh anggotanya terbunuh di selatan Gaza pada 24 Jun.

Ia menjadikan jumlah korban tentera Israel di wilayah itu kini mencecah 441 orang.

Kejadian tersebut mencetuskan kritikan luar biasa daripada pemimpin parti ultra-Ortodoks United Torah Judaism, yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintahan Encik Netanyahu.

“Saya masih tidak faham mengapa kita terus berperang di sana… askar kita terbunuh setiap masa,” kata Ahli Parlimen Encik Moshe Gafni dalam satu sesi di Knesset pada 25 Jun.

Tentera Israel memaklumkan bahawa tujuh anggota tersebut adalah dari Kor Jurutera Tempur dan sedang menjalankan misi tinjauan di kawasan Khan Younis ketika kenderaan mereka disasarkan dengan bahan letupan.

Di majlis pengebumian Sarjan Ronel Ben-Moshe, 20 tahun, di Rehovot, selatan Tel Aviv, tangisan sanak saudara yang tidak dapat menahan kesedihan kedengaran di samping askar muda yang masih berpakaian seragam.

Seorang bekas rakan setugas Sarjan Ben-Moshe berkata perang telah memberi kesan besar terhadap mental askar dan sudah tiba masanya ia ditamatkan.

“Saya sendiri tidak dapat meneruskan perkhidmatan tentera kerana tekanan mental yang melampau.

“ Saya terpaksa diberhentikan,” katanya kepada AFP, hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ariel.

“Saya sudah melihat terlalu ramai rakan muda seperti saya mati. Sudah tiba masanya ia berakhir.”

Kumpulan Hostages and Missing Families Forum, yang mewakili keluarga tebusan di Gaza, turut menyokong desakan untuk menamatkan perang.

“Perang di Gaza sudah sampai ke penghujungnya. Ia dijalankan tanpa hala tuju yang jelas dan tanpa pelan konkrit,” kata kenyataan kumpulan itu.

Daripada 251 tebusan yang diculik oleh kumpulan Hamas semasa serangan Oktober, 49 masih ditahan di Gaza, termasuk 27 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.

Kumpulan hak asasi manusia pula memberi amaran bahawa penduduk Gaza yang berjumlah lebih 2 juta kini berdepan keadaan kebuluran akibat sekatan Israel, dengan kematian hampir setiap hari ketika mereka beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.

Agensi Pertahanan Awam Gaza pada 25 Jun menyatakan bahawa serangan Israel membunuh lagi 35 orang, termasuk enam individu yang sedang menunggu bantuan makanan.

Jurucakap agensi tersebut, Encik Mahmud Bassal, memberitahu AFP bahawa orang ramai yang beratur untuk mendapatkan bantuan terkena “tembakan peluru dan peluru berpandu kereta kebal” di kawasan tengah Gaza, lokasi di mana penduduk Palestin berkumpul setiap malam untuk mendapatkan bekalan makanan.

Apabila diminta mengulas, tentera Israel berkata mereka “tidak mengetahui sebarang kejadian dengan korban jiwa di tengah Jaluran Gaza pagi ini”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  PBB pada 24 Jun mengutuk tindakan menggunakan makanan sebagai senjata perang di Gaza, dan mengkritik sebuah badan bantuan yang disokong Amerika dan Israel yang kini menggantikan peranan kebanyakan pertubuhan kemanusiaan rasmi di wilayah tersebut.

Badan tersebut, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah syarikat beribu pejabat di Amerika yang disokong Israel mula beroperasi di Gaza pada akhir Mei.

Namun, pelaksanaannya penuh dengan kekacauan, kematian dan persoalan tentang ketelusan tentang sama ada mereka mengambil pendekatan berkecuali.

GHF menafikan bahawa kejadian maut berlaku berhampiran titik pengagihan bantuannya.

Namun, Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa sejak akhir Mei, hampir 550 orang terbunuh berhampiran pusat bantuan semasa cuba mendapatkan bekalan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg