Israel pertingkat serangan ke atas Bandar Gaza, tidak hiraukan tekanan antarabangsa
Israel pertingkat serangan ke atas Bandar Gaza, tidak hiraukan tekanan antarabangsa
Daerah Sheikh Radwan di Bandar Gaza yang dihuni puluhan ribu penduduk Palestin jadi sasaran kepungan baru tentera Israel
Israel pertingkat serangan ke atas Bandar Gaza, tidak hiraukan tekanan antarabangsa
BANDAR GAZA: Tentera Israel meneruskan tekanan besar-besaran untuk memaksa ratusan ribu penduduk Palestin di utara Gaza berpindah ke kawasan tengah dan selatan yang sudah sesak.
Penduduk tempatan dan saksi melaporkan puluhan kereta kebal dan kenderaan tentera Israel mara ke sebuah kawasan perumahan utama di Bandar Gaza pada hari kedua serangan darat yang bertujuan menduduki wilayah itu.
Rakaman video menunjukkan kereta kebal, jentolak dan kenderaan perisai bergerak di pinggir daerah Sheikh Radwan di utara Bandar Gaza. Asap tebal kelihatan ketika tentera Israel melepaskan peluru meriam dan bom asap bagi melindungi pergerakan mereka. Sheikh Radwan sebelum ini dihuni puluhan ribu orang dan merupakan antara kawasan paling padat di kota itu.
Israel mendakwa operasi di Bandar Gaza bertujuan membebaskan tahanan yang menjadi tebusan Hamas dan menumpaskan sekitar 3,000 pejuang yang mereka anggap sebagai “kubur terakhir” kumpulan itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada lewat 17 September mengumumkan mereka telah menyerang lebih 150 sasaran di Bandar Gaza dalam dua hari, sebagai sokongan kepada kemaraan pasukan darat.
Media Israel turut melaporkan IDF menggunakan kenderaan tentera lama yang dimuatkan dengan bahan letupan dan dikawal dari jauh untuk diledakkan di kedudukan Hamas.
Operasi IDF ini menerima kecaman antarabangsa yang meluas.
Lebih 20 agensi bantuan utama termasuk Save the Children dan Oxfam mengeluarkan amaran bersama bahawa “situasi di Gaza yang tidak berperikemanusiaan sama sekali tidak boleh diterima akal”.
Di tengah-tengah operasi pengepungan itu dua hospital utama yang masih beroperasi – Hospital al-Shifa dan Hospital al-Ahli – kini bergelut dengan kekurangan bekalan perubatan yang kritikal.
Walaupun masih dibuka, kedua-dua pusat kesihatan itu hanya mampu memberi rawatan asas. Wad kecemasan dipenuhi lebih ramai pesakit berbanding jumlah katil.
“Keadaan semakin parah, kami hampir terputus hubungan dengan dunia luar,” kata seorang petugas perubatan yang enggan dikenali.
Penduduk Sheikh Radwan berkata pencerobohan pada 17 September didahului serangan udara besar-besaran ke atas bangunan dan jalan utama, sebagai persediaan untuk serangan darat.
“Dron memusnahkan segala-galanya dari panel solar, generator, tangki air hingga rangkaian Internet. Hidup jadi mustahil dan itulah yang memaksa orang ramai berpindah walaupun berbahaya,” kata Encik Saad Hamada, penduduk yang melarikan diri ke selatan bersama keluarganya.
Sheikh Radwan meliputi kawasan Abu Iskandar, al-Tawam dan al-Saftawi, serta dilintasi Jalan al-Jalaa yang merupakan nadi penting yang menghubungkan kawasan tengah Bandar Gaza dengan utara. Penduduk percaya jika Israel menguasai kawasan ini, mereka boleh mara lebih jauh ke tengah kota.
Imej kereta kebal di jalan raya Bandar Gaza mencetuskan panik meluas, terutama bagi mereka yang masih tinggal di bahagian barat dan tengah bandar. “Malam tadi sangat sukar, dengan letupan berterusan dari malam hingga subuh. Kenderaan Israel mara dari Sheikh Radwan, Tal al-Hawa dan Shejaiya. Ia malam yang amat menakutkan,” kata seorang penduduk, Encik Nidal al-Sherbi.
Pencerobohan ke Sheikh Radwan mencetuskan gelombang perpindahan baru.
Ribuan keluarga meninggalkan rumah mereka ke arah selatan melalui Jalan Salahedin. Barisan panjang kereta dan pedati sarat dengan barangan dilihat dengan perjalanan mengambil masa berjam-jam dan kos ratusan shekel akibat kekurangan pengangkutan dan kenaikan harga.
Encik Munir Azzam, penduduk di utara Gaza, berkata: “Setiap hari risalah dijatuhkan mengarahkan kami berpindah, sedangkan tentera Israel terus mengebom bangunan di semua arah. Tetapi ke mana kami mahu pergi? Kami tiada perlindungan di selatan.”
IDF mendakwa sekitar 350,000 orang telah meninggalkan Bandar Gaza sejak Ogos, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hanya 190,000 telah berpindah dan sekitar 650,000 masih kekal.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, 98 orang terbunuh dan 385 cedera akibat serangan Israel, manakala empat lagi maut akibat kekurangan zat makanan. Sejak PBB mengisytiharkan kebuluran di Bandar Gaza pada akhir Ogos, jumlah kematian berkaitan kekurangan zat meningkat kepada 154.
Di peringkat antarabangsa, tekanan semakin meningkat terhadap Israel.
Presiden Majlis Eropah, Encik Antonio Costa, menyambut baik cadangan Suruhanjaya Eropah untuk mengenakan sekatan terhadap Israel dan menarik balik status perdagangan istimewa negara itu.
Encik Costa menulis di platform X: “Langkah ini bukan ditujukan kepada rakyat Israel, tetapi untuk menunjukkan bahawa Eropah tidak boleh menerima tindakan pemerintah Israel di Gaza dan Tebing Barat, yang telah melampaui hak sah Israel untuk mempertahankan diri.”
Sementara itu, Senator Amerika Syarikat, Encik Bernie Sanders, menyifatkan serangan Israel ke atas Gaza sebagai “pembunuhan beramai-ramai” dan menggesa Washington menghentikan “keterlibatannya”.
Agensi bantuan termasuk PBB memberi amaran bahawa “kawasan kemanusiaan” di selatan yang diarahkan tentera Israel untuk menempatkan penduduk kini terlalu padat dan tidak mampu menampung kira-kira dua juta orang.
“Orang ramai pergi ke kawasan itu hanya mendapati tiada ruang pun untuk mendirikan khemah, lalu mereka terpaksa kembali ke utara,” kata seorang sukarelawan tempatan.
PBB menegaskan peningkatan operasi Israel hanya akan menjerumuskan orang awam ke dalam “malapetaka yang lebih dalam.”
Pada 16 September suruhanjaya siasatan PBB mengumumkan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza - laporan yang ditolak mentah-mentah oleh Kementerian Luar Israel sebagai “berat sebelah dan palsu.” – Agensi berita.

