JAKARTA: Hujan lebat berterusan selama beberapa hari telah menyebabkan banjir besar di beberapa bahagian Jakarta, memaksa kerajaan wilayah dan agensi pengurusan bencana bertindak pantas menghadapi ancaman bencana yang dijangka berlarutan hingga awal tahun 2026.
Menurut Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), sebanyak 322 rumah terjejas dan 553 penduduk dipindahkan di Jakarta Selatan setakat 2 November lalu akibat hujan berterusan.
Antara kawasan yang paling terjejas ialah Jati Padang di daerah Pasar Minggu, di mana rumah-rumah penduduk telah tenggelam selama lima hari berturut-turut selepas benteng sungai sepanjang 15 meter runtuh di satu bahagian, disusuli kerosakan tambahan sepanjang 25 meter pada 31 Oktober lalu.
Penduduk mengadu mereka masih belum menerima bantuan makanan atau ubat-ubatan.
“Kami terpaksa menjimatkan makanan kering yang ada, sementara sebahagian lagi terpaksa meredah air banjir untuk membeli bekalan asas di kedai berhampiran,” kata seorang penduduk tempatan kepada Kompas.com.
Bencana hujan lebat ini turut meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.
Pada 26 Oktober, seorang lelaki berusia 50 tahun maut apabila sebatang pokok tumbang menimpa keretanya di Jalan Metro Pondok Indah Raya, manakala seorang lagi pemandu terkorban pada 30 Oktober selepas dua pokok besar menghempap kenderaannya di Jalan Dharmawangsa.
Susulan insiden itu, Agensi Taman dan Hutan Bandar Jakarta mempergiat kerja pemangkasan dan penggantian pokok tua di seluruh bandar bagi mengelak kejadian serupa.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, memaklumkan bahawa 62,161 pokok telah dipangkas dan 5,722 diperiksa setakat 31 Oktober, dengan tumpuan khas di kawasan Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat yang mempunyai banyak pokok berusia.
“Saya telah mengarahkan supaya kerja membaik pulih benteng yang rosak disegerakan. Selepas ini, kami akan teruskan program pemulihan sungai Ciliwung dan Krukut,” kata Encik Pramono pada 4 November.
Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Cik Dwikorita Karnawati, menjelaskan bahawa hujan lebat yang melanda Jakarta kini berkait dengan permulaan musim hujan di barat dan tengah Jawa, yang dijangka memuncak antara Disember dan Januari.
“Atmosfera ketika ini sangat tidak stabil dan lembap disebabkan monsun Asia aktif serta suhu permukaan laut yang tinggi. Ini isyarat jelas bahawa kesiapsiagaan perlu ditingkatkan,” katanya dalam sidang media.
BMKG memberi amaran bahawa hujan sangat lebat dijangka berterusan hingga 7 November, dengan Jakarta, Banten dan Jawa Barat diletakkan pada status siaga, tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran cuaca negara.
Pemerintah Wilayah Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI) kini memperkukuh persediaan menghadapi bencana melalui kerjasama dengan Forum Komunikasi Pimpinan Daerah (Forkopimda), melibatkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri).
Pada 4 November, Encik Pramono mengetuai latihan simulasi kesiapsiagaan banjir di bilik kawalan Sungai Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
“Kami bersiap siaga menghadapi musim hujan yang dijangka berlanjutan dari November hingga Februari 2026. Kesiapsiagaan ini bukan sekadar soal alat dan logistik, tetapi juga soal komitmen serta kerjasama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan Jakarta yang dilalui 13 sungai utama dan berada di kawasan rendah menjadikannya sangat rentan. Ancaman bukan hanya dari hujan tempatan, tetapi juga limpahan dari Bogor, Depok dan Puncak, yang berpotensi membawa hujan melebihi 500 milimeter sebulan, selain risiko banjir pasang laut di kawasan pantai utara.
Bagi memperkukuh sistem kawalan banjir, pemerintah wilayah telah menjalankan pengorekan di 1,803 titik sungai dan takungan dengan jumlah sedimen lebih 721,000 meter padu.
Sebanyak 1,187 pam air disediakan termasuk 560 pam tetap dan 627 pam mudah alih di lima wilayah pentadbiran.
Tujuh rumah pam baru dan pintu air sedang dibina untuk menangani ancaman banjir pasang (rob). Pendekatan berasaskan alam turut diterapkan dalam pembinaan kolam takungan dan empangan kecil bagi menahan aliran air hujan.
Selain itu, pasukan khas antara agensi dikenali sebagai “Pasukan Pelangi” dikerahkan bagi memantau dan mengurus kawasan takungan secara pantas. “Kami juga bekerjasama dengan pemerintah pusat bagi operasi modifikasi cuaca antara 5 hingga 10 November,” kata Encik Pramono. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg