Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ikatan keluarga diperkuat melalui ibadah haji

May 31, 2025 | 8:01 PM
haji, Hayati Juraimi, Fatmah Juraimi, Rohaya Juraimi
Cik Hayati Juraimi (tengah) yang pernah mendirikan haji pada 2019 membantu dua kakaknya, Cik Fatmah (kiri) dan Cik Rohaya bagi mempersiapkan perjalanan haji mereka. Mereka berangkat ke Arab Saudi pada 31 Mei. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak 2012, dua beradik – Cik Rohaya Juraimi, 69 tahun, dan Cik Fatmah Juraimi, 67 tahun – telah menyimpan impian untuk menunaikan haji bersama.

Kini, selepas lebih sedekad menanti, mereka akhirnya menerima jemputan yang dinanti-nantikan sebagai tetamu Allah.

Persiapan dimulakan di Singapura dengan bantuan adik bongsu mereka, Cik Hayati Juraimi, 62 tahun, yang pernah menunaikan haji pada 2019.

Beliau memainkan peranan penting dalam membantu kededua kakaknya bersiap sedia untuk ibadah ini.

Cik Hayati Juraimi (tengah) mengucapkan selamat tinggal kepada kakaknya, Cik Fatmah (tengah) dan Cik Rohaya sebelum memasuki balai pelepasan di Lapangan Terbang Changi pada 31 Mei.
Cik Hayati Juraimi (tengah) mengucapkan selamat tinggal kepada kakaknya, Cik Fatmah (tengah) dan Cik Rohaya sebelum memasuki balai pelepasan di Lapangan Terbang Changi pada 31 Mei. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bak aur dengan tebing, ketiga-tiga beradik itu saling melengkapi dan bekerjasama demi menghadapi perjalanan haji.

“Kita memang sudah rancang untuk menunaikan haji bersama, antaranya sebab faktor usia juga.

“Maka, kita pun berharap dapat pergi bersama kerana walaupun kita bercampur dengan orang lain, ia tidak sama seperti adik-beradik sendiri,” ujar Cik Fatmah yang mendaftar bersama Cik Rohaya untuk ke haji pada 2012.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM), adik bongsu tiga beradik itu, Cik Hayati, berkata beliau kerap menasihati dan menenangkan kakak-kakaknya sebelum keberangkatan mereka.

“Bila kita sudah pergi, kita kongsi pengalaman kita kepada mereka. Jangan tertekan, semua disediakan.

“Sebab dulu masa saya hendak pergi, ada rasa takut, tetapi selepas berpengalaman, saya pula berikan mereka panduan,” ujarnya.

Antara nasihatnya kepada kakak-kakaknya ialah untuk menyediakan sabun ketika di Shisha – kawasan penginapan ketika ibadah Haji – kerana tempat itu kecil dan sabun terhad.

“Bagi saya, kalau kita nak pergi haji, tumpukan sepenuhnya pada ibadah haji.

“Tak perlulah fikir nak melancong ke sana sini atau sibuk nak cari barang. Tenaga kita juga terhad,” tambahnya.

Kededua adik beradik itu merupakan antara 44 jemaah haji Singapura, yang mengikuti rombongan ejen penjualan (GSA) pakej haji yang dilantik, Halijah Travel, berangkat ke Arab Saudi pada 31 Mei.

Mereka berlepas menaiki penerbangan Scoot pada sekitar 4.05 petang menuju ke Jeddah.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut menghantar kumpulan jemaah itu di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi.

Ini merupakan kali pertama beliau menghantar jemaah haji sejak memegang jawatan baru pada 23 Mei.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kanan), menghantar 44 jemaah haji Singapura yang berangkat pada 31 Mei.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kanan), menghantar 44 jemaah haji Singapura yang berangkat pada 31 Mei. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Ketika bertemu wartawan, Dr Faishal berkata beliau akur ramai daripada rakyat Singapura yang berharap kuota haji dapat dipertingkatkan, lantas pemerintah akan bekerja keras untuk mencapai hasrat itu.

“Ini adalah satu aspek di mana bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan saya dan Perdana Menteri sendiri (Encik Lawrence Wong) akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan kuota haji.

“Kita akan bekerja keras, mendekati pihak Saudi untuk memberi ruang kuota lebih tinggi untuk lebih ramai jemaah haji kita menunaikan haji,” ujar Dr Faishal.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), seramai 900 jemaah Singapura bakal menunaikan Haji pada 2025.

Kini, berbaki 174 jemaah yang akan berangkat ke Arab Saudi pada hari terakhir keberangkatan, pada 2 Jun.

Mereka terdiri daripada jemaah dari agensi Shahidah Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours, Thoha Travel & Tours, Sha Travel & Tour, serta Azza Travel & Tours.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri – Encik Mohammad Dzulkifli Mohyi Hapipi, 48 tahun, dan Cik Zhalynda Abdul Rahim, 46 tahun – lebih banyak menumpukan perhatian kepada persiapan anak perempuan tunggal mereka yang bakal berjauhan selama 21 hari.

Berbeza dengan jemaah lain yang menumpukan kepada persiapan diri untuk menunaikan haji, mereka memilih untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak mereka yang berusia lapan tahun.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), beramah tamah dengan pasangan suami isteri, Encik Mohammad Dzulkifli Mohyi Hapipi (empat dari kanan) dan isteri, Cik Zhalynda Abdul Rahim (kiri) ketika menghantar jemaah haji Singapura pada 31 Mei.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), beramah tamah dengan pasangan suami isteri, Encik Mohammad Dzulkifli Mohyi Hapipi (empat dari kanan) dan isteri, Cik Zhalynda Abdul Rahim (kiri) ketika menghantar jemaah haji Singapura pada 31 Mei. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pasangan itu sepatutnya menunaikan ibadah haji pada 2017, namun ketika itu, Cik Zhalynda sedang sarat mengandung, lantas terpaksa menangguhkan haji pada 2025.

Usaha mempersiapkan anak mereka bermula sejak 2023.

Ketika itu, mereka bertiga menunaikan ibadah umrah bersama dan mengambil peluang untuk mengajar anak mereka mengenai tempat-tempat yang akan mereka kunjungi ketika haji dan itu berjaya untuk menenangkan si anak, kata Cik Zhalynda.

“Tahun ini (2025) ketika Ramadan, dia sedar kami akan berangkat, maka kami perlu terus mempersiapakannya dan menjelaskan kepadanya haji ialah Rukun Islam.

“Kami juga membelikannya buku haji untuk kanak-kanak dan dia sedikit sebanyak tahu kepentingan mengenai ibadah haji.

“Selepas memahami mengenai haji, dia kemudian kata ‘Ya ibu, ibu boleh pergi’,” ujar Cik Zhalynda.

Ketika di lapangan terbang, pasangan itu mengenakan pakaian sedondon berwarna ungu bersama anak mereka, agar si kecil turut menikmati suasana mengenakan seragam seperti jemaah haji lain termasuk ibu bapanya.

Mereka akan pulang ke Singapura pada 20 Jun.

Pasangan suami isteri, Encik Mohammad Dzulkifli Mohyi Hapipi (kanan) dan Cik Zhalynda Abdul Rahim (kiri) memakai baju sedondon berwarna ungu dengan puteri mereka (dua dari kanan) agar dia juga dapat menikmati suasana persis jemaah haji yang bakal berlepas dengan seragam sedondon seperti ibu bapanya.
Pasangan suami isteri, Encik Mohammad Dzulkifli Mohyi Hapipi (kanan) dan Cik Zhalynda Abdul Rahim (kiri) memakai baju sedondon berwarna ungu dengan puteri mereka (dua dari kanan) agar dia juga dapat menikmati suasana persis jemaah haji yang bakal berlepas dengan seragam sedondon seperti ibu bapanya. - Foto BM oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg