KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan lebih banyak tawaran palsu berkaitan pakej haji akan ditawarkan oleh sindiket penipuan susulan langkah kerajaan memperketatkan pengeluaran visa mujamalah bagi musim haji 2025.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang tawaran yang menjanjikan peluang menunaikan haji di luar saluran rasmi dan disarankan menyemak terlebih dahulu status pendaftaran syarikat atau ejen terbabit.
“Setakat ini kami telah menerima satu laporan berhubung penipuan pakej haji dengan jumlah kerugian bernilai RM71,000 ($21,695).
“Tahun ini kerajaan sudah mengehadkan pengeluaran visa mujamalah untuk rakyat Malaysia. Maka permit haji melalui saluran ini menjadi amat terhad dan ketat.
“Namun, kita percaya wujudnya pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan pelbagai pakej menarik yang bertujuan memperdaya mangsa.
“Seorang mangsa sudah tampil membuat laporan kerana ditipu,” katanya dalam satu sidang akhbar khas pada 30 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Muhammed Hasbullah berkata trend penipuan pakej haji meningkat walaupun jumlah mangsa mengecil.
“Pada 2023, sebanyak 11 kes penipuan pakej haji dicatatkan dengan jumlah kerugian mencecah RM649,631. Walaupun jumlah kes menurun kepada hanya empat pada 2024, nilai kerugian dilaporkan meningkat ketara kepada RM874,100.
“Manakala pada 2024, hanya empat kes dilaporkan tetapi nilai kerugian melonjak kepada RM874,100. Ia satu trend yang membimbangkan,” katanya.
Susulan itu, Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas telah ditubuhkan pada 2024 bagi menyelaras siasatan, mengurus dokumentasi dan melaksanakan tangkapan terhadap individu serta pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan.
“Pasukan ini diaktifkan secara berkala setiap kali musim haji berlangsung. Bagi musim tahun 2025, kami meneruskan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji.
“Usaha ini menjadi sebahagian daripada inisiatif memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu jemaah haji yang terkandas dengan lebih terancang dan berkesan, berlandaskan bidang kuasa agensi terlibat,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan menyemak status pendaftaran syarikat pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran.
Visa mujamalah, atau dikenali juga sebagai visa jemputan, merupakan visa khas yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi di luar kuota rasmi.
Visa ini lazimnya diperoleh menerusi undangan daripada pihak tertentu seperti individu berpengaruh atau agensi pelancongan yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Saudi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg