TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dijangka mengadakan mesyuarat Kabinet Keselamatan pada 7 Ogos bagi membincangkan cadangan untuk meluaskan operasi ketenteraan Israel ke seluruh Jaluran Gaza – satu langkah yang semakin mengundang kritikan hebat di dalam dan luar negara.
Mesyuarat itu dijangka meluluskan pelan yang sangat kontroversial meskipun wujud kebimbangan besar bahawa ia akan membahayakan nyawa kira-kira 50 tebusan yang masih berada di Gaza, termasuk 20 yang dipercayai masih hidup.
“Penolakan Hamas untuk melepaskan tebusan memaksa kami membuat keputusan tambahan untuk mencapai matlamat perang,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.
“Matlamat kami ialah menghapuskan Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan keselamatan masyarakat Israel berdekatan Gaza.”
Israel kini mendakwa telah menguasai lebih 75 peratus kawasan Gaza, namun matlamat yang sering dilaungkan iaitu, “kemenangan total ke atas Hamas” masih belum tercapai, lapor The New York Times.
Rundingan damai dan pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin telah terhenti, manakala krisis kebuluran yang teruk melanda Gaza akibat sekatan Israel telah membunuh puluhan rakyat Palestin, mencetuskan kecaman sejagat termasuk daripada sekutu rapat Israel.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dikatakan tidak akan campur tangan dalam keputusan pemerintah Israel.
Dua pegawai kanan Amerika memberitahu Axios bahawa Encik Trump membiarkan Israel membuat keputusan sendiri, walaupun beliau terkesan dengan video seorang tebusan Israel yang dipaksa menggali kuburnya sendiri oleh Hamas.
“Saya tidak boleh kata apa-apa. Ia terpulang sepenuhnya kepada Israel,” kata Encik Trump ketika ditanya mengenai kemungkinan pendudukan penuh Israel ke atas Gaza.
Pada masa yang sama, pegawai Amerika menyatakan bahawa pentadbiran Trump tidak menyokong rancangan Israel mengambil alih secara sepihak mana-mana bahagian Gaza – satu lagi kemungkinan yang turut dibincangkan oleh para pegawai Israel.
Cadangan Encik Netanyahu untuk meneruskan serangan ke bahagian tengah Gaza dan Bandar Gaza kawasan yang dipercayai menempatkan tebusan ditentang oleh tentera sendiri.
Ketua Turus Tentera, Jeneral Eyal Zamir, memberi amaran kepada Encik Netanyahu bahawa langkah tersebut bakal membahayakan nyawa tebusan dan boleh membawa kepada pemerintahan tentera Israel ke atas lebih dua juta penduduk Palestin.
“Anda sedang masuk ke dalam perangkap,” ujar Jeneral Zamir kepada Encik Netanyahu dalam satu mesyuarat pada 5 Ogos, lapor media Israel.
Keluarga tebusan turut membantah keras rancangan tersebut.
“Kami tidak akan membenarkan tebusan dikorbankan demi peperangan yang tiada penghujung. Perlu ada perjanjian sekarang,” kata Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang dalam satu kenyataan susulan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh Israel pada 5 Ogos.
Pemimpin pembangkang daripada parti tengah, Encik Yair Lapid, turut mengadakan pertemuan dengan Encik Netanyahu dan menyatakan bantahannya terhadap rancangan pendudukan penuh Gaza.
“Saya beritahu beliau bahawa pendudukan Gaza ialah idea yang sangat buruk,” kata Encik Lapid.
Beliau turut memberi amaran langkah tersebut bukan sahaja akan membunuh semua tebusan melalui kelaparan dan penyeksaan, bahkan juga mengorbankan lebih ramai askar Israel.
Beberapa penganalisis politik percaya rancangan itu mungkin bukan bertujuan dilaksanakan sepenuhnya, sebaliknya sebagai tekanan psikologi terhadap Hamas agar mereka bersetuju dengan perjanjian.
Namun, terdapat juga tekanan dari dalam kalangan sekutu paling kanan Encik Netanyahu yang mendesak agar Israel menduduki sepenuhnya Gaza dan membuka semula penempatan Yahudi di sana, dua dekad selepas tentera dan peneroka Israel berundur dari wilayah itu pada 2005.
Sokongan blok sayap kanan adalah penting untuk Netanyahu terus mengekalkan kuasanya.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 60,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak serangan balas Israel dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel dan menyaksikan 250 individu dibawa ke Gaza sebagai tebusan.
Sebahagian besar daripada dua juta penduduk Gaza telah dipindahkan beberapa kali, dan sebahagian besar wilayah tersebut kini menjadi runtuhan.
Rakaman video dua orang tebusan yang kurus kering dan kelihatan lemah yang disiarkan pada 3 Ogos telah mengejutkan rakyat Israel dan menimbulkan persoalan mengenai berapa lama lagi mereka boleh bertahan.
Walaupun tentera dan rakyat semakin mempersoalkan keberkesanan dan moral operasi ketenteraan di Gaza, pejabat Encik Netanyahu menegaskan tekanan ketenteraan merupakan satu-satunya cara memaksa Hamas bertolak-ansur.
“Kami tidak akan kekal dalam kebuntuan ini dan tidak akan tunduk kepada tuntutan Hamas, maka hanya tinggal satu pilihan, iaitu mengambil langkah drastik.
“Ini ialah kad terakhir yang kami ada,” kata pembantu Encik Netanyahu kepada Axios. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg