WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, enggan menyatakan pendirian sama ada beliau menyokong atau menolak kemungkinan penawanan penuh Jaluran Gaza oleh Israel, sebaliknya menegaskan bahawa keutamaan pentadbirannya ketika ini adalah memastikan bekalan makanan sampai kepada penduduk Palestin yang sedang menderita akibat serangan berterusan.
“Saya tahu kami kini berada di sana cuba memberi makanan kepada rakyat,” kata Encik Trump kepada pemberita pada 5 Ogos. “Bagi hal-hal lain, saya tidak boleh berkata apa-apa. Itu bergantung kepada Israel sepenuhnya.”
Encik Trump juga menyebut bahawa Israel dan negara-negara Arab akan membantu dalam agihan makanan dan bantuan kewangan di Gaza, namun tidak memperincikan bagaimana bantuan itu akan disalurkan.
Pada hari yang sama, media melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu telah mengadakan mesyuarat bersama pegawai keselamatan tertinggi untuk memuktamadkan strategi baru dalam perang yang hampir dua tahun itu. Menurut laporan, Encik Netanyahu menyokong rancangan penawanan ketenteraan sepenuhnya ke atas Gaza.
Pendirian Encik Trump ini muncul selepas beliau sendiri pernah mencadangkan pada awal 2025 bahawa Amerika Syarikat mengambil alih Gaza - satu cadangan yang dikutuk hebat oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Arab, pakar hak asasi manusia dan rakyat Palestin sendiri.
Susulan laporan mengenai kemungkinan peluasan operasi Israel ke seluruh Gaza, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Encik Miroslav Jenca menyatakan kebimbangannya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
“Langkah ini, jika benar, berisiko membawa kesan bencana... dan boleh mengancam nyawa tebusan yang masih berada di Gaza,” katanya. “Undang-undang antarabangsa jelas dalam perkara ini; Gaza adalah dan mesti kekal sebagai sebahagian daripada negara Palestin masa hadapan.”
Wakil tetap China ke PBB, Encik Geng Shuang turut menggesa Israel menghentikan tindakan berbahaya itu serta-merta. “Kami mendesak gencatan senjata segera, dan menyeru negara-negara yang mempunyai pengaruh agar mengambil langkah konkrit untuk merealisasikannya,” tegas beliau.
Israel kini menggunakan perintah perpindahan paksa untuk mengecilkan kawasan penempatan penduduk Palestin, menjadikan lebih 86 peratus wilayah Gaza sebagai zon tentera. Namun, sebarang operasi lanjut di kawasan yang masih dihuni berisiko memburukkan lagi krisis kemanusiaan, termasuk kebuluran yang semakin meruncing.
Dalam tempoh hampir dua tahun serangan ketenteraan Israel, puluhan ribu penduduk telah terkorban, hampir seluruh populasi dipindahkan secara paksa, dan tuduhan genosid serta jenayah perang telah difailkan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Israel menafikan tuduhan itu, dan menyatakan tindakannya adalah mempertahankan diri susulan serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 orang dan menyebabkan lebih 250 tebusan ditawan.
Beberapa pegawai kanan Israel dari parti sayap kanan turut mendesak agar penempatan Israel di Gaza diwujudkan semula, malah Encik Netanyahu dilaporkan menyokong pelan untuk “menghapuskan” semua penduduk Palestin dari Gaza yang dikritik sebagai bentuk pembersihan etnik. Encik Trump juga pernah menyuarakan semula idea tersebut pada Februari lalu apabila beliau mencadangkan agar Gaza dikosongkan daripada rakyat Palestin untuk dibangunkan sebagai “riviera Timur Tengah”.
Dalam sidang Majlis Keselamatan yang sama, Encik Ilay David, abang kepada tebusan Israel, Encik Evyatar David memohon PBB menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan pembebasan segera semua tebusan dan memastikan mereka mendapat bantuan kemanusiaan.
“Setiap saat yang berlalu membawa kami lebih hampir kepada penamat yang tragik,” katanya.
Beliau menyifatkan abangnya dalam video yang diterbitkan oleh Hamas sebagai “rangka hidup”, tidak mampu bercakap dan kelihatan hampir tidak bernyawa. “Ayah saya tidak boleh tidur, dan ibu saya tidak berhenti menangis sejak melihat rakaman itu,” tambahnya.
Encik Trump mengulangi bahawa pentadbirannya telah menyumbang AS$60 juta ($77.2 juta) kepada Gaza, termasuk AS$30 juta kepada tapak pengagihan bantuan yang disokong Amerika, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Beliau berkata: “Kita telah beri AS$60 juta baru-baru ini untuk bekalan makanan, banyak makanan, sebenarnya untuk rakyat Gaza yang jelas sekali sedang bergelut.” “Saya tahu Israel akan bantu kita dalam hal agihan dan juga kewangan. Negara-negara Arab juga akan membantu dalam bentuk dana dan mungkin juga dalam agihan,” tambahnya.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada 5 Ogos menggesa Israel dan Hamas mencapai perjanjian bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza serta memudahkan hubungan dengan tawanan yang ditahan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, ICRC menyatakan kesediaan untuk menghantar ubat-ubatan, makanan dan mesej daripada ahli keluarga kepada tawanan, namun menegaskan bahawa operasi sedemikian memerlukan persetujuan awal antara kedua-dua pihak.
Namun begitu, Israel masih menyekat hampir semua bantuan masuk sejak Mac, menjadikan tapak GHF satu-satunya tempat rakyat Gaza boleh mendapatkan makanan. Ratusan rakyat Palestin telah ditembak ketika cuba mendapatkan bantuan daripada GHF di kawasan yang dikawal Israel. Malah, tentera Israel turut dituduh mengebom individu yang cuba mencapai trak bantuan di utara Gaza.
Beberapa trak makanan dan bantuan melalui udara telah dibenarkan masuk dalam beberapa hari kebelakangan ini, tetapi kuantiti tersebut masih jauh daripada mencukupi untuk keperluan 2.3 juta penduduk Gaza. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg